Tags

Raja Bot

Y.M Raja Haji Bot merupakan pemerintah Lukut setelah kemangkatan ayahandanya, Raja Jumaat bin Raja Jaafar pada tahun 1864. Bondanya Tengku Senai atau Tengku Nai merupakan anakanda kepada Paduka Sri Sultan Muhammad Shah – Selangor ke-3.

Y.M Raja Haji Bot telah didedahkan dengan selok belok pentadbiran dan perniagaan bijih timah iaitu nadi utama Lukut seawal usia belasan tahun lagi.

Raj Bot Raja Jumaat

Raja Bot diapit adinda-adindanya ketika menjadi Raja Lukut

Lukut adalah sebahagian daripada pengaruh penguasaan Negeri Selangor. Era pemerintahan Y.M Raja Haji Bot merupakan permulaan era kemerosotan Lukut kerana terdapat pelbagai masalah yang dihadapi semasa pemerintahannya. Di antaranya adalah tuntutan wilayah Lukut oleh Sungai Ujong, penentangan Y.M Raja Sulaiman (Pembesar Sungai Raya), bebanan hutang yang semakin berat dan hasil pengeluaran biji timah yang semakin merosot.

Lukut yang pernah mencapai kegemilangannya sejak dari pemerintahan Y.M Raja Jumaat bin Raja Ja’afar Ibni Almarhum Sultan Ali Ala’ uddin Shah Ibni Almarhum Daeng Kamboja [Raja Ali I]) Ibni Daeng Parani. Malangnya Y.M Raja Haji Bot telah kehilangan kuasa ke atas Lukut dalam pembahagian sempadan Negeri Sembilan dan Selangor oleh Inggeris hingga membawa kepada penghijrahannya ke Selangor pada tahun 1882.

Pada tahun 1887, Y.M Raja Haji Bot telah dilantik sebagai Penghulu Sungai Buloh dan telah menganggotai Majlis Mesyuarat Negeri Selangor pada tahun 1888 sehingga ke akhir hayatnya. Manakala pada tahun 1890, Y.M Raja Haji Bot telah dipilih menjadi ahli Lembaga Kebersihan Bandar Kuala Lumpur.

Sesungguhnya Y.M Raja Haji Bot merupakan seorang pemimpin melayu yang turut menyumbang ke arah kemajuan negeri Selangor, antara sumbangannya ialah cadangan mengadakan peraturan import eksport, pengurusan pelabuhan di Selangor serta menggalakkan pendidikan di kalangan orang Melayu.

Pada 11-04-1916, Y.M Raja Haji Bot bin Raja Jumaat telah mangkat di Johor Bharu. Y.M Raja Haji Bot merupakan pemerintah Lukut setelah kemangkatan paduka ayahandanya.

Sesungguhnya juga Kota Lukut yang kini masih berdiri telah melahirkan tokoh besar seperti Raja Hassan @ Raja Busu Ibni Raja Muda Nala ibni Almarhum Sultan Ibrahim, Raja Jaafar, Raja Jumaat Bin Raja Jaafar dan Raja Bot Bin Raja Jumaat yang merintis sejarah kegemilangan Lukut.