Slide1

D.Y.T.M Raja Muda Amir Shah menerima Watikah Pengisytiharan Pelantikan sebagai Felo Di-Raja UPM

Pada 2 Jun 2018 – DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menerima Watikah Pengisytiharan Pelantikan sebagai Felo Di-Raja UPM pada Majlis Berbuka Puasa dan Solat Terawih di UPM. Pelantikan DYTM Raja Muda Amir Shah sebagai Felo DiRaja UPM dilihat bagai sireh pulang ke ganggang dalam menitis kembali sejarah UPM yang bermula sebagai Sekolah Pertanian Malaya yang telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sir Ala’uddin Suleiman Shah pada Mac 1930 dan dikurniakan tanah dalam membangunkan sebuah institusi pertanian.

Slide7

Sekolah Pertanian tahun 1931

Baginda Sultan Sir Ala’uddin Suleiman Shah mengikut jejak langkah keperibadian paduka ayahanda Baginda mendalami kemahiran secara tidak formal dan formal mengenai pertanian sehingga pembangunan ekonomi desa dan teknologi sangat dekat dihati Baginda, ini kerana Baginda sememangnya dari remaja lagi telah mempelajari ilmu pertanian dan perladangan. Oleh sebab itu, apabila perkara-perkara yang melibatkan industri desa, pasti Baginda akan menyokong. Sebagai contoh ketika pameran Malaya diadakan baginda telah meluangkan banyak masa bagi melihat segala hasil industri desa yang dipamerkan dalam lawatan tersebut. Bukti yang jelas apabila Baginda telah membuka ladang tebu beberapa ekar luasnya di Bandar Langat dan menanam kelapa, bersawah padi kemudian dibangunkan pula oleh Baginda sebuah kilang tebu untuk di proses untuk perusahaan membuat gula.

Sifat-sifat baginda kemudian diteruskan oleh Sultan Sir Hisham’uddin Alam dengan membuka tanah seluas 100 ekar ketika menyandang gelaran Y.A.M Tengku Panglima Raja Selangor bagi mengusahakan tanaman seperti keledek, limau dan ubi kayu bersama-sama rakan dibangku persekolahan baginda. Baginda juga turut menubuhkan Perusahaan Melayu Selangor dan baginda telah dipilih sebagai Yang Dipertua. Pada Februari 1934, baginda berjaya mengadakan pameran segala barangan hasil usaha orang-orang melayu dan telah membuka sebuah kedai dengan nama Perusahaan Melayu Selangor di Sultan Street, Klang untuk memasarkan barangan tersebut. Di era baginda juga Sekolah Pertanian ini dinaik taraf sebagai Kolej Pertanian Malaya oleh Sir Edward Gent, Gabenor Malayan Union ketika itu. Penubuhan Universiti Pertanian Malaysia seterusnya tercetus apabila Sekolah Pertanian di Serdang ini bergabung dengan Fakulti Pertanian, Universiti Malaya.

Demikian juga dengan peranan dan keprihatinan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang merupakan Nenda kepada DYTM Raja Muda Amir Shah dalam hal ehwal yang berkaitan dengan Universiti Putra Malaysia. Pada 23 Julai 1973, Universiti Pertanian Malaysia memulakan sesi akademiknya menerusi pengambilan seramai 1,559 pelajar dan pada 3 April 1997, ditukar namanya kepada Universiti Putra Malaysia bagi menggambarkan status UPM sebagai pusat pengajian tinggi yang merangkumi pelbagai bidang, terutama sains dan teknologi maklumat yang menjadi keperluan kepada pembangunan negara di alaf baru ini.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah meneruskan legasi menaungi UPM sehingga ke hari ini sebagai Canselor UPM, peranan dan pandangan jauh Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor yang telah memainkan peranan penting dalam merealisasikan penubuhan dan kecemerlangan UPM sehingga ke hari ini

Sebagai pemegang ijazah Sarjana Muda Ekologi dan Biologi Alam Sekitar dari Universiti Leeds oleh DYTM Raja Muda Amir Shah mampu meneruskan legasi yang ditinggalkan dan mengembangkan slogan UPM iaitu Pertanian, Inovasi, Kehidupan ( Agriculture, Innovation, Life) ini boleh dilihat keprihatinan DYTM Raja Muda Amir Shah yang banyak terlibat secara langsung dengan aktiviti berkaitan alam sekitar seperti penanaman semula pokok kayu bakau atas cintanya kepada alam sekitar.

Biografi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj sebagai Waris Utama Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala Daerah Takluknya.

Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah diputerakan pada 12 Disember 1990 merupakan putera tunggal kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dan Che Puan Nur Lisa Idris binti Abdullah. Baginda merupakan Raja Muda Selangor dan merupakan pewaris takhta bagi Kerajaan dan Negeri Selangor Darul Ehsan.

Baginda merupakan putera tunggal (dan juga anakanda bongsu) kepada baginda Sultan Selangor. Baginda mempunyai dua orang kakanda sebapa iaitu Tengku Zerafina dan Tengku Zatashah. Baginda mendapat pendidikan awal dan menengah di Alice Smith School, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pendidikan di Wellington College, UK pada 2004 hingga selesai peringkat A Level pada 2009. Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekologi dan Biologi Alam Sekitar di Leeds University, UK.

Slide5

Tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekologi dan Biologi Alam Sekitar di Leeds University, UK.

Baginda telah dilantik sebagai Raja Muda Selangor mulai 3 Mei 2002 setelah berunding dengan Dewan Diraja Selangor pada mesyuarat kali ke-109, 30 April 2002, pengumuman tersebut telah dibuat oleh Dato’ Menteri Besar Selangor iaitu Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir, pelantikan Raja Muda dibuat mengikut Fasal (2) Perkara XIV Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959. Pada 8 Oktober 2016 baginda telah menjalani pengesah jawatan mengikut adat istiadat raja-raja sedaulat iaitu Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli sebagai Raja Muda Selangor di Istana Alam Shah, Klang.

Slide3

Menerima Watikah Tauliah Pegawai Muda Tentera Darat Luar Negara pada 19 Julai tahun 2016 berpangkat Leftenan Muda.

Selepas tamat pendidikan, Baginda menjalani kursus persediaan ketenteraan di Akademi Tentera Darat (ATD) di Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum mendaftar diri di Akademi Ketenteraan Diraja Sandhurst, UK pada 3 Mei 2015 dan menamatkan latihan dengan cemerlang pada 15 April 2016. Baginda kemudian ditempatkan di Batalion ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan menerima Watikah Tauliah Pegawai Muda Tentera Darat Luar Negara pada 19 Julai tahun 2016 berpangkat Leftenan Muda. Baginda merupakan satu-satunya Kerabat DiRaja yang telah mengikuti Kursus Asas Pasukan Aturgerak Cepat (APAC) pada 5 September 2016 sehingga 2 Oktober 2016. Pada 15 Mac 2017, Baginda telah dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged PARA.

Slide2

Penganugerahan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged PARA

Penganugerahan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged PARA kepada Baginda menunjukkan bahawa Baginda diberikan penghormatan tertinggi daripada pasukan berkenaan. Kebiasaannya pengiktirafan ini hanya kepada individu yang dipilih berdasarkan kecemerlangan perhubungan perkhidmatan dan penerimaan ke dalam pasukan elit, Pasukan Aturgerak Cepat 10 Briged PARA.

Baginda sangat dikenali sebagai seorang putera yang berjiwa rakyat dan sentiasa mengambil berat akan kebajikan rakyat jelata khususnya di Selangor. Baginda juga merupakan penaung kepada pertubuhan kebajikan, Selangor Cheshire Home, Make a Wish dan Yayasan Raja Muda Selangor.

Sumber Foto : Google dan Instagram RMSelangor

Advertisements