Tags

pingat pjk selangor

Hiasan : Pingat Jasa Kebaktian

Tatacara pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran serta Pingat adalah sangat terperinci dan memakan masa selama lima bulan iaitu dari mula calon dicadangkan hingga kepada upacara Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran di Balairung Seri pada 11 Disember.

Ianya bermula pada bulan Jun setiap tahun apabila Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri dan organisasi lain diminta menyerahkan senarai calon kepada Kerajaan Negeri pada pertengahan bulan Ogos. Pencalonan disalur melalui proses penapisan oleh Kerajaan Negeri dan seterusnya Dato’ Menteri Besar menghadap Baginda Sultan pada akhir bulan Oktober untuk menyembahkan calon-calon yang tersenarai.

Baginda Sultan adalah sumber bagi segala kehormatan dan kebesaran dalam negeri. Baginda sahaja yang boleh mengurniakan gelaran dan kebesaran serta mewujudkan Darjah, Pingat Penghormatan dan Kebesaran.

Walaupun pengurniaan Darjah Kebesaran adalah hak mutlak Baginda Sultan, Perlembagaan Negeri memperuntukkan Baginda Sultan merujuk kepada Dewan di-Raja.

Pada awal bulan November, senarai nama pencalonan Darjah dan Bintang Kebesaran yang telah ditentukan bagi setiap kategori bersama dengan biodata dan sokongan yang terperinci setiap calon dibentangkan terlebih dahulu di mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Dewan di-Raja. Di sini dipastikan bahawa calon mempunyai kelayakan mengikut Garis Panduan dan kriteria yang telah ditetapkan serta pandangan dan pendapat ahli Jawatankuasa mengenai setiap calon yang dikemukakan.

– Ahli Majlis Mesyuarat Teknikal amat teliti dalam pemprosesan maklumat mengenai setiap calon. Sebarang maklumat yang tidak menepati atau pengecualian akan dibangkitkan kepada Majlis, walaupun hal tersebut mungkin kecil.

– Sidang Majlis Dewan di-Raja yang dipengerusikan oleh Baginda Sultan, akan bersidang pada hari yang berikutnya untuk meneliti setiap pencalonan. Di dalam kes-kes yang mendapat perhatian wajar oleh Majlis Jawatankuasa Teknikal, Baginda Sultan akan merujuk kepada ahli Dewan untuk pandangan dan nasihat mereka sebelum membuat keputusan muktamad untuk diperkenankan.

– Setiap nama calon yang terpilih kemudiannya diserahkan oleh Kerajaan Negeri kepada Polis, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dan Jabatan Insolvensi bagi tujuan penyiasatan dan kelulusan. Dalam masa yang sama, borang setujuterima (dengan syarat bahawa laporan yang menunjukkan tiada sebarang masalah dari pihak berkuasa) dihantar kepada calon-calon bersama dengan Surat Akuan Bersumpah bahawa mereka bukan muflis dan bebas dari apa-apa kesalahan Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

– Laporan siasatan dari pihak berkuasa dan borang setujuterima dan Surat Akuan Bersumpah daripada calon-calon diterima sebelum akhir bulan November. Jika terdapat laporan yang negatif mengenai seseorang calon, tindakan semakan semula akan dijalankan sebelum calon tersebut digugurkan.

– Setelah mendapat pengesahan dari pihak berkuasa, penerima Darjah dan Bintang Kebesaran dikehendaki hadir untuk raptai upacara Istiadat Pengurniaan di Istana pada minggu pertama bulan Disember. Senarai penerima yang dikenakan sekatan siaran diberi kepada media massa, beberapa hari sebelum 11 Disember.

Seseorang penerima Darjah-Darjah Kebesaran apabila meninggal dunia, maka tanda Kebesaran yang telah dikurniakan kepadanya itu hendaklah dipulangkan oleh waris atau wakilnya kecuali diperkenankan dengan limpah kurnia Duli Yang Maha Mulia Raja Yang Dipertuan Negeri Selangor untuk disimpan oleh waris Ahli yang meninggal dunia itu.

Bagi seseorang penerima yang mendapat kurniaan Darjah Kebesaran yang lebih tinggi, tanda kebesaran yang lebih rendah yang mereka terima sebelumnya hendaklah dikembalikan.

Sumber :
Setiausaha, Dewan DiRaja Selangor – Mengikut buku aturcara Istiadat Pengurniaan Pingat tahun 2005