Negeri-negeri Melayu Bersekutu ialah sebuah sistem persekutuan untuk empat negeri Semenanjung Tanah Melayu iaitu Pahang, Perak, Selangor, dan Negeri Sembilan. Sistem ini dilaksanakan oleh pihak British pada tahun 1895 dan ia bertahan sehingga tahun 1946, apabila ianya bersama-sama dengan Negeri-Negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu digabungkan bagi membentuk Malayan Union. Dua tahun kemudian, Malayan Union dibatalkan dan Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan. Akhirnya pada tahun 1963, Malaysia diasaskan dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura.

Pihak British bertanggunjawab dalam hal ehwal luar negeri dan keselamatan sementara negeri-negeri bertanggungjwab dalam polisi domestik. Walau bagaimanapun, pihak sultan pada realitinya hanya berkuasa dalam hal ehwal agama Islam dan adat resam. Pihak negeri terpaksa mengikut nasihat yang diberikan oleh Residen Jeneral.

Ibu kota persekutuan ialah Kuala Lumpur yang ketika itu merupakan sebahagian daripada Selangor. Residen Jeneral pertamanya ialah Sir Frank Swettenham.

Negeri-negeri Melayu Bersekutu mempunyai benderanya yang tersendiri sehinggalah tahun 1946. Bendera itu mempunyai empat jalur yang terdiri daripada empat warna berbeza; mengikut turutan daripada atas ke bawah iaitu putih, merah, kuning, dan hitam. Gabungan mana-mana warna terbabit dapat membentuk warna untuk negeri-negeri terlibat:-
Merah, Hitam dan Kuning untuk Negeri Sembilan; Putih dan Hitam untuk Pahang; Hitam, Putih dan Kuning untuk Perak; dan Merah dan Kuning untuk Selangor.

Sumber : http://ms.wikipedia.org