Raja Bot Bin Raja Jumaat

Raja Bot Bin Raja Jumaat

Sekitar tahun 1863, Raja Abdullah Bin Raja Jaafar dan Dato’ Kelana Sending telah berunding mengenai pertelingkahan sempadan negeri Selangor dan Sungai Ujong. Turut hadir dalam perundingan itu ialah Residen Melaka, Kapten Playfair, yang bersahabat baik dengan Dato’ Kelana Sending.

Masalah sempadan di antara negeri Selangor dengan Sungai Ujong berpunca bila orang-orang Bugis mulai bertapak dan berpengaruh di Selangor di awal abad ke-18. Kedudukan Sungai Sepang pada asalnya adalah di dalam Negeri Sembilan tetapi telah menjadi wilayah Selangor semasa orang-orang Bugis memperluaskan kuasa hingga ke Sungai Linggi. Sungai Linggi merupakan kawasan Dato’ Kelana Sending. Beliau bertanggungjawab terhadap kutipan hasil cukai bijih di kawasan itu. Dalam tahun 1862, Dato’ Kelana Sending telah menyampaikan bantahannya kepada Sultan Abdul Samad kerana Negeri Selangor mengambil Sungai Linggi dan Tanjung Tuan. Ekoran daripada ini maka pada hari ini dalam tahun 1863, Raja Abdullah sebagai wakil negeri Selangor telah berunding dengan Dato’ Kelana Sending untuk menyelesaikan pertelingkahan sempadan tersebut. Dalam rundingan itu Raja Abdullah dengan berat hati terpaksa menyerahkan kawasan Lukut dan Sungai Linggi kepada Sungai Ujong secara lisan. Sungguhpun begitu pembesar-pembesar negeri Selangor masih terus memerintah Lukut dan Sungai Linggi.

Sultan Abdul Samad. SULTAN OF SELANGOR, KERIS BERUK BERAYUN

Paduka Sri Sultan Sir Abdul Samad Ibni Almarhum Tunku Panglima Besar Abdullah

Tiga tahun kemudian, iaitu dalam tahun 1866, masalah sempadan negeri Selangor – Sungai Ujong timbul semula. Akhirnya pada 11 Julai 1868, Sultan Abdul Samad secara bertulis menyerahkan Sungai Linggi kepada Dato’ Kelana Sending sebagai batas sempadan kedua-dua negeri. Keputusan ini telah ditentang oleh pembesar-pembesar Kelang dan Lukut dan akhirnya pertelingkahan terus berlarutan. Sehingga beberapa tahun bertelingkah akhirnya Residen Selangor, B. Douglas, Residen Sungai Ujong P.J. Murray, Sultan Abdul Samad dan Dato’ Kelana telah dapat menyelesaikan masalah sempadan kedua-dua negeri itu melalui satu perjanjian pada 10.02.1878, satu perjanjian mengenai sempadan Negeri Selangor dan Sungai Ujung dibuat di antara Yang Dipertuan Negeri Selangor – Paduka Sri Sultan Abdul Samad dengan Dato’ Kelana Sungai Ujung – Tunku Syed Abdul Rahman.

Perjanjian itu antara lain menyatakan bahawa:-

Pertama: Dengan nasihat Kapten Bloomfield Douglas (Residen British di Selangor) Sultan Abdul Samad Yang Dipertuan Negeri Selangor bagi pihak dirinya, dan puteranya Raja Musa atau sesiapa juga penggantinya yang akan ditabalkan sebagai Sultan dan waris-warisnya, mulai saat itu mengaku bahawa kawasan Lukut yang pada masa itu diperintah oleh Raja Bot Bin Raja Jumaat dan semua kawasan tanah dalam Sungai Raya yang sekarang diperintah oleh Raja Daud Bin Raja Sulaiman, yang kesemuanya itu adalah di bawah kekuasaan Sultan Abdul Samad.

Kedua: Dengan nasihat Kapten Murray (Residen British di Sungai Ujung) Tengku Saiyid Abdul Rahman Dato’ Kelana Sungai Ujung bagi pihak dirinya, pengganti-penggantinya dan waris-warisnya atau sesiapa juga yang memerintah Sungai Ujung dan bergelar Dato’ Kelana, mengaku bahawa mulai dari saat itu kawasan yang terletak di Seberang Tebing Sungai Langat bernama Rekoh dan semua tanah bernama Labu adalah diserahkan kepada Sultan Abdul Samad Selangor, pengganti-penggantinya dan waris-warisnya untuk selama-lamanya.

Dengan perjanjian ini pihak kerajaan Inggeris yang telah mencampuri urusan pemerintahan di Sungai Ujung itu dapat pula masuk campur dalam hal ehwal Lukut. Bagaimanapun, perjanjian itu telah dibantah oleh Raja Bot yang memerintah Lukut kerana beliau tidak diajak berunding mahupun diminta pendapatnya dalam rundingan mengenai perjanjian itu. Raja Bot membantah keras mengenai keputusan memasukkan Lukut dalam perintah Sungai Ujung kerana daerah itu adalah kepunyaan ayahandanya, Raja Jumaat.

Surat persetujuan penyerahan Lukut kepada Sungai Ujong telah dicapai setelah satu rundingan di antara Paduka Sri Sultan Abdul Samad Selangor, Dato’ Kelana Sungai Ujong – Tunku Syed ‘Abdu’l Rahman bin Syed Ahmad al-Qadri [Waris Hilir], Tunku Klana Petra Sri Jaya, Raja Bot Bin Raja Jumaat [ Raja Lukut ] dan Raja Daud bin Raja Sulaiman Ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah [ Penghulu of Sungai Raya dan Ulu Langkat ] yang telah diadakan di Singapura pada 30.07.1880.

Melalui persetujuan yang ditandatangani ini bersama ini penyelesaian hal Lukut yang telah dimasukkan ke dalam Daerah Sungai Ujong. Melalui surat persetujuan ini berakhirlah pemerintahan Raja Bot dan ayahya Raja Juma’at ke atas Lukut yang memakan masa 32 tahun. Melalui perjanjian ini juga Raja Bot dan keluarga beliau menerima wang berjumlah RM 27,000. Pertikaian berkenaan daerah Lukut bermula apabila pada tahun 1862 Y.A.M. Dato’ Sending [Waris Hulu], Dato’ Shah Bandar, Dato’ Klana Petra Sri Jaya, yang menjadi Dato’ Kelana Sungai Ujong beliau menuntut daerah Lukut dan mengatakan Lukut sebahagian daripada daerah Sungai Ujong. Ekoran daripada ini rundingan-rundingan telah diadakan di antara pihak Selangor dan Sungai Ujong akhirnya pada hari ini 30 Julai 1880 penyelesaian telah dicapai berkaitan dengan masalah Lukut.