Artikel ini diambil dari blog rasmi Persatuan Melayu Bugis Selangor – Daerah Sepang berhubung KENYATAAN BALAS PENASIHAT PERSATUAN MELAYU BUGIS SELANGOR – DAERAH SEPANG, Y.D.M TENGKU DATO’ DR. JAMALUDDIN BIN TENGKU MAHMUD SHAH AL-HAJ BERHUBUNG PENULISAN ARTIKEL “JANGAN ENGKAU CIUM TANGAN YANG MEMUKULMU” ATAS INDIVIDU YANG BERNAMA FADIAH NADWA FIKRI.

Hina Raja

Artikel yang bersifat Anti Sistem Beraja

Kenyataan yang disiarkan di laman sesawang https://malaysiamuda.wordpress.com bertarikh 9 Julai 2018 atas nama Fadiah Nadwa Fikri yang merupakan seorang Peguam Hak Asasi Manusia setelah diteliti dan amati, diperhalusi dan difahami maka setiap perkataan yang dinyatakan merujuk kepada ayat-ayat dalam beberapa perenggan yang mempunyai maksud yang tersurat dan tersirat dalam kandungan artikel tersebut. Jelas sekali memperlihatkan “kecenderungan menghasut” sebagaimana yang termaktub dalam Akta 15 – Akta Hasutan 1948 iaitu “bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan; sebagaimana perkataan-perkataan dipetik seperti di bawah;

 

PEREBUTAN KUASA DALAMAN TANPA AKHIR INI MELANGKAH TINGKAT BARU APABILA GAMBAR ANWAR, MEMBONGKOK SAMBIL MENCIUM TANGAN SULTAN JOHOR MUNCUL DI INTERNET.
MEMANDANGKAN WUJUDNYA HUBUNGAN TEGANG ANTARA PERDANA MENTERI SEKARANG DENGAN MONARKI, TIDAK MENGHAIRANKAN MENGAPA YANG DIKATAKAN BAKAL PERDANA MENTERI MELAKUKAN SEDEMIKIAN.
APA YANG MERESAHKAN TENTANG PERLAKUAN YANG DIABADIKAN GAMBAR ITU ADALAH BUDAYA FEUDAL YANG TIDAK BOLEH DIPERTAHANKAN DAN IMPLIKASI BESAR YANG DISAMPAINYA.

DALAM MELAWAN LUPA, KITA PERLU DIINGATKAN BAHAWA RATA-RATA DI DUNIA, KEWUJUDAN MONARKI TELAH LAMA LAPUK DITELAN ZAMAN.
SEJARAH MENUNJUKKAN BAHAWA ABSURDITAS INSTITUSI INI TIDAK LAGI BOLEH DITERIMA, DIPERTAHAN, DAN DIWAJARKAN. MELETAKKAN SATU KELAS MANUSIA LEBIH TINGGI DARIPADA MANUSIA LAIN HANYA KERANA MEREKA DILAHIRKAN DI KALANGAN GOLONGAN BANGSAWAN ADALAH SATU PEMIKIRAN YANG MEMUALKAN – SATU PERMIKIRAN YANG BERTENTANGAN DENGAN NILAI KEBEBASAN DAN MARTABAT INSANI.

orang-besar-daerah-sepang-tengku-orang-kaya-maha-bijaya-sepang-tengku-dato-prof-dr-jamaluddin1.jpg

Y.D.M TENGKU DATO’ DR. JAMALUDDIN BIN TENGKU MAHMUD SHAH AL-HAJ

Penulisan yang tersiar tersebut bersifat sangat biadap dan menghasut dalam gerakan menghapuskan institusi beraja yang diamalkan oleh negara Malaysia iaitu sistem Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan. Fadiah Nadwa Fikri yang merupakan bekas penuntut dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang harus bermunasabah diri dan mengenal jati diri sebagai bangsa Melayu dan menyedari hak-hak kebebasan yang diperjuangkan olehnya sebagai Peguam yang pemegang Sarjana Undang-Undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa dari Oxford University bukan ruang untuknya bersifat anti-Raja dan bukannya jalan membawa budaya luar yang tidak beriring dengan budaya ketimuran masyarakat Malaysia yang berpegang pada istilah Melayu Islam Beraja di negara ini. Sebagai seorang peguam, sepatutnya lebih berpengetahuan bahawa kebebasan bersuara tidaklah memberikan jaminan mutlak kepada warganegara untuk menggunakan hak tersebut secara semberono kerana kebebasan itu juga mempunyai had atau sekatan yang diperuntukkan di bawah Perkara 10(2).

 

Ingin saya tegaskan dan peringatkan kepada mereka diluar sana, bahawa Kebawah Duli Tuanku Raja-Raja Melayu senantiasa dari masa ke semasa menzahirkan pelbagai subjek, atas hasrat untuk memastikan bahawa negara terus kukuh dan aman – warga terus sejahtera dan makmur. Perbuatan oleh pihak tertentu memanipulasi fakta memberi implikasi yang menimbulkan salah faham di kalangan sebahagian rakyat.

Kecenderungan menghasut dalam artikel tersebut sangat jelas dalam setiap perkataan-perkata yang tersiar seperti di bawah, ianya boleh diklasifikasikan cubaan merobohkan tiang-tiang seri Negara yang dinaungi oleh Raja-Raja Melayu dan perbuatan ini bagai memberikan momokkan akan istilah-istilah negatif, dikaitkan dengan feudalisme dan autokrasi. Istilah-istilah sedemikian dipelopori oleh mereka yang bersifat anti-Raja.

BUKAN SAHAJA MONARKI ANTI DEMOKRASI, MALAH IA SERANGAN LANGSUNG KE ATAS MARTABAT KITA SEBAGAI MANUSIA. TATKALA PENYOKONG PENINGGALAN KUNO INI MENGHUJAHKAN BAHAWA MONARKI SEBAGAIMANA WUJUDNYA PADA HARI INI HANYALAH PERHIASAAN PERLEMBAGAAN YANG NEUTRAL, REALITI MENUNJUKKAN SEBALIKNYA. KITA HARUS MELIHAT MELAMPAUI APA YANG TERTULIS DI DALAM PERLEMBAGAAN UNTUK MEMAHAMI POLITIK YANG DIAMALKAN INSTITUSI INI, KEPENTINGAN SIAPA YANG IA WAKILI, DAN DI PIHAK MANA IA BERADA.

JELAS SEKALI BAHAWA IA TIDAK PERNAH MEMIHAK KEPADA MASYARAKAT TERBANYAK. MEREKA YANG PERCAYA BAHAWA INSTITUSI KUNO INI ADALAH SATU SIMBOL PENYATUAAN, DENGAN MEMIHAK KEPADA PENINDAS SEMENTARA MASYARAKAT TERBANYAK DINAFIKAN HAK UNTUK KEHIDUPAN YANG BAIK DALAM NEGARA YANG DIBINA ATAS DASAR KEKUASAAN, KETIDAKSAMARATAAN, DAN EKSPLOITASI HANYA AKAN MEMBANGKITKAN SATU PENYATUAN: PENYATUAAN DALAM PENINDASAN.

Sesungguhnya budaya feudalisme dan budaya autokrasi berlaku kerana perbuatan individu, apabila individu menjadi taksub kepada individu, maka berlakulah pendewaan terhadap individu, hingga takut melampaui kepada individu. Maka budaya feudalisme dan budaya autokrasi bukan budaya yang boleh dikaitkan dengan institusi. Budaya feudalisme dan budaya autokrasi juga turut dilakukan di kalangan yang bukan berketurunan Raja, malah ianya berlaku di kalangan rakyat biasa; dalam sistem demokrasi dan lain-lain sistem seperti komunisme, sosialisme, republik, pemerintahan berpaksikan tentera dan dalam sistem atas nama agama.

Hakikat yang perlu diketahui umum, takhta pemerintahan senantiasa berpendirian berkecuali, berada di atas pentas politik kepartian dalam menjalankan perananan secara saksama sebagai payung negeri serta dapat diterima tanpa ragu sebagai institusi penyatuan dalam kepelbagaian, terutama untuk menangani sebarang pertentangan dan pertelagahan yang berlaku di kalangan rakyat-rakyat yang bernaung di bawah Kebawah Duli Tuanku Raja-Raja Melayu.

raja-melayu

Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu sebelum menandatangani Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu

Memetik titah D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah ketika menyandang gelaran D.Y.T.M Raja Muda Perak “ dalam Forum Khas Mengenai ‘Melayu Islam Beraja’ atas tema ‘Kecemerlangan Institusi Beraja’;

Sistem Raja Berperlembagaan perlu ditafsir sebagai perkongsian kuasa antara Raja dan rakyat. Raja menjadi sumber rujukan ketika berlakunya krisis di kalangan rakyat. Raja memastikan bahawa berlakunya secara adil mekanisme semak dan imbang antara cabang-cabang perundangan, eksekutif dan kehakiman; sekali gus memperkukuhkan institusi demokrasi di dalam negara. Secara umum Raja bertindak berasaskan nasihat pimpinan kerajaan pilihan rakyat. Namun Raja tidak harus sama sekali merasakan tertekan dan tidak semestinya memberi perkenan, jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan semangat perlembagaan, bertentangan dengan keluhuran undang-undang serta melanggar prinsip keadilan sejagat. Raja sama sekali tidak boleh memihak kepada perbuatan yang tidak melambangkan keadilan atau merestui tindakan yang tidak mencerminkan kebenaran.

Justeru itu, masyarakat haruslah berwaspada berkaitan dengan kandungan dan tatasusila penulisan mahupun percakapan agar tidak berlawanan dengan undang-undang sedia ada. Kesan kebebasan bersuara melampaui batasan Perlembagaan Persekutuan akan membawa kepada kepelbagaian taksiran yang boleh mencetuskan huru-hara dan ancaman terhadap institusi raja serta negara. Sesungguhnya, sedarilah bahawa Kebawah Duli Tuanku Raja-Raja Melayu menyandang peranan yang cukup besar sebagaimana yang terlingkup dalam bait-bait dibawah ini;

Bapa kepada Raja adalah syariat ajaran Rasul,
Ibu kepada Raja adalah adat dan undang-undang,
Saudara kepada Raja adalah segala Menteri Besar dan Kecil,
Anak kepada Raja adalah segala rakyat jelata,
Bahawa Raja itu bagaikan tiada bapa, ibu dan anak,
Tidak diutamakan oleh Raja kepentingan lain melainkan rakyat jelata

image

Kebawah Duli Tuanku Raja-Raja Melayu yang setiap masa berpegang kepada bait-bait di atas

Maka, saya dengan tegasnya memohon dan menyarankan pihak berkuasa iaitu Polis DiRaja Malayisa (PDRM) untuk menyiasat berhubung dengan isi kandungan tulisan di atas yang boleh ditaksirkan sebagai “kecenderungan menghasut” mengikut lunas undang-undang yang terpakai di bawah Akta 15 – Akta Hasutan 1948. Dewasa ini kehadiran unsur-unsur menghasut sedemikian mampu mencetuskan huru-hara dan perbuatan seumpama itu bukan sahaja amat berbahaya tetapi juga boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.

Kenyataan balas saya ini adalah bersandarkan kepada berba’iah sumpah setia kepada D.Y.M.M Tuanku Sultan Selangor pada tanggal 22 November 2001 di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang dan mempertahankan dan Memelihara Kemuliaan Tradisi Negeri Bersultan Rakyat Beraja adalah pegangan dan Taat setia saya hanya pada Raja, Yang di-Pertuan Negeri dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Ketua Utama Negara.

Sekian,

Y.D.M Tengku Dato’ Dr. Jamaluddin Bin Tengku Mahmud Shah Al-Haj,
Penasihat Persatuan Melayu Bugis Selangor – Daerah Sepang,

11 Julai 2018

Advertisements