Almarhum diputerakan di Kuala Keboi, Kampar Perak pada 19 Jun 1849, merupakan putera yang ketiga kepada Raja Bendahara Alang Iskandar (Marhum Teja) dan bergelar Almarhum Sultan Idris Murshidul ‘adzam Shah Ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar setelah di tabalkan menjadi Sultan Perak Ke 28 (1887-1916).

Almarhum adalah Sultan Perak yang pertama memecah tradisi Perjanjian Toh Temong dengan Sultan Perak yang Pertama dan membina sebuah istana di tebing kiri mudik Sungai Perak (Terdapat kisah di sebalik kisah merujuk kepada Nenda Almarhum)*. Almarhum merupakan seorang tokoh Kesultanan Melayu yang menarik dalam sejarah negara ini, yang cerdik pandai dan berpandangan jauh. Almarhum bersaudara sepupu dengan Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah II – Sultan Perak Ke 26.

Almarhum tidak pernah ke sekolah formal ketika itu namun mempelajari menulis dan membaca Jawi, Al-Quran dan pengajian agama Islam semasa di Kuala Keboi. Almarhum pernah berguru dengan Lebai Said Minangkabau, Kadi Besar Saiyid Abdullah Abu Bakar Al-Attas, Syeikh Mohd.Tahir Jalaluddin dan Syeikh ul-Islam Syeikh Mohd.Salleh juga mempelajari bahasa Inggeris dengan bimbingan Pegawai Tadbir Kuala Kangsar, D.H. Wise. Pada tahun 1887 dan mendapatkan khidmat Mr. Homes sebagai Tutor Bahasa Inggeris.

Almarhum banyak menyumbang kearah dalam bidang Pendidikan, Agama dan Kebajkan. Sumbangan buah fikiran Almarhum jelas dalam Persidangan Raja-Raja Melayu (DURBAR). Keberanian Almarhum menyuarakan dan menggesa pihak British agar lebih ramai orang Melayu dilantik untuk berkhidmat dengan kerajaan dan menjawat jawatan yang lebih tinggi pada Persidangan Raja-Raja Melayu (Durbar) kedua yang telah diadakan pada tahun 1903 di Kuala Lumpur.

Almarhum menjadi ketua rombongan perwakilan yang membawa surat daripada Sultan Abdullah Muhammad Shah II kepada Gabenor Sir Andrew Clarke. Pada ketika itu Almarhum telah di lantik sebagai Hakim oleh Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah II.

Almarhum menjadi hakim dalam perbicaraan Seputum, Che Gondah dan Ngah Ahmad di Bandar Baharu yang telah didakwa oleh British atas Pembunuhan Residen J.W.W Birch di Perak.

Pada 1878 Almarhum pulang ke Negeri Perak dari Singapura bagi membantu Raja Muda Perak Raja Yusuf yang menjadi Pemangku Raja Perak dan dilantik menjadi Raja Bendahara Perak dan dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri.

Di kala Raja Muda Yusuf di Tabal menjadi Sultan Perak Ke 27 pada 7 Oktober 1886, Almarhum diangkat menjadi Raja Muda Perak dan selepas Sultan Yusuf mangkat. Almarhum telah di tabalkan menjadi Sultan Perak yang ke-28 pada usia 38 tahun dan diberi gelar Paduka Sri Tuanku Sultan Idris Murshidul Adzam Shah. Almarhum bersemayam di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Ketika Almarhum menjadi Hakim dalam tahun 1884, Almarhum telah berangkat ke London bersama-sama Sir Hugh Low dan Yang Amat Mulia Raja Mansur Ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah bagi mengambil semula perkakas Kerajaan Negeri Perak yang dibawa oleh orang-orang Inggeris untuk disimpan selepas Perang Perak dalam tahun 1875 hingga 1876.

Tahun 1888 Almarhum berangkat kembali ke England bersama-sama Sir Hugh Low dan Yang Amat Mulia Raja Ngah Mansur Ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah II bagi menunaikan jemputan Queen Victoria. Dengan persetujuan Almarhum, Yang Amat Mulia Raja Ngah Mansur Ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah II telah mencipta lagu “Lagu Kebangsaan Negeri Perak iaitu Terang Bulan”. Lagu ini mula diketengahkan pada 5 April, 1889 didalam Istiadat Pertabalan Almarhum.

Semasa Zaman Pemerintahan Almarhum Negeri Perak kian maju, pekan-pekan semakin banyak dibuka, hasil bijih timah dari Daerah Kinta banyak dikeluarkan dan ladang-ladang getah semakin banyak dibuka di daerah-daerah dalam Negeri Perak.

Pada tahun 1895, dengan persetujuan Almarhum Sultan-Sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang Di-Pertuan Negeri Sembilan, keempat-empat buah negeri ini menjadi sebuah Persekutuan Negeri-Negeri yang dinamakan “Negeri-Negeri Melayu Bersekutu”.

Persekutuan ini telah dirasmikan pertubuhannya pada 1 Julai 1896 dan Majlis Raja-Raja keempat-empat buah negeri ini disebut “DURBAR”. Pengerusinya ialah Sir Charles Mitchell selaku Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Gabenor Negeri-Negeri Selat. Majlis tersebut buat pertamanya diadakan di Istana Istana Negara di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada bulan Julai 1897.

Almarhum telah dikurniakan Bintang Kebesaran G.C.M.G. oleh Raja Inggeris, King George V pada tahun 1901.

Almarhum adalah pencetus kepada penubuhan beberapa buah Sekolah Melayu dan Sekolah Inggeris bagi menempatkan anak-anak Raja dan Orang-orang Besar seluruh Negeri Perak antaranya ialah Babul’d-Darjat (Kolej Melayu) Kuala Kangsar dan King Edward School (asalnya Central School).

Sewaktu pemerintahan Almarhum bahagian Hulu perak yang luasnya seribu batu persegi diambil oleh Kerajaan Reman (Perintah Siam) dalam tahun 1909. Sebagai ganti, Kerajaan Reman menyerahkan balik kepada Kerajaan Perak Kelian Intan dan Keroh, Hulu Perak.

Dalam tahun 1911, Sultan Idris bersama isteri Baginda Tengku Permaisuri Uteh Mariah berangkat ke England menghadiri kemahkotaan Raja Inggeris King George V. Pengiring Almarhum adalah Yang Amat Mulia Raja Di-Hilir Raja Sir Chulan Ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah dan Dato’ Setia Jeragan Abdul Shukur.

Sebuah Maktab Perguruan Melayu di Melaka dan Matang dibuka dan ditutup dalam tahun 1922, kemudian digabungkan menjadi sebuah Maktab Perguruan Melayu yang besar di Tanjung Malim dinamakan Maktab Latihan Sultan Idris semperna nama Almarhum,

Bagi menyempurnakan Nazar Almarhum telah membina dan meletakkan batu asas bangunan Masjid Ubudiah Bukit Chandan yang terletak tidak jauh dari Istana Almarhum.

Semasa Perang Dunia pertama pada tahun 1914, Almarhum bersama-sama Raja-Raja pemerintah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah mengambil bahagian menghadiah sebuah Kapal Perang kepada Kerajaan British yang di beri nama H.M.S Malaya dan telah ditenggelamkan dalam Perang Dunia yang kedua.

Almarhum mangkat di Istana Bukit Chandan Pada 14 Januari 1916, dan dimakamkan di Permakaman Di-Raja Bukit Chandan, Kuala Kangsar bergelar “Marhum Rahmatullah”.

***

Sekian Riwayat Almarhum Sultan Idris Murshidul adzam Shah Ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar Almarhum tokoh Kesultanan Melayu yang Intelektual, yang dapat kite kongsikan akan ianya. andai huraian yang kurang bijak, susun kata yang kurang arif, bahasa yang kurang sempurna. Jika ada sepatah kalam, sebaris ayat yang boleh dijadikan ilmu, kepada Kanda, Adinda, Kerabat Serumpun dan Handai Taulanlah jua pendeta yang arif lagi bijaksana dalam perkongsian ilmu.

Advertisements