org_besar-09May2008-082653

DATOK PENGGAWA PERMATANG PADUKA MAHA BIJAYA KUALA SELANGOR
Y.D.H. DATO’ MOHAMAD YAACOB BIN DATO’ PENGGAWA ISMAIL D.S.I.S., P.J.K.
ORANG BESAR DAERAH KUALA SELANGOR

Mengimbau sorotan Kuala Selangor yang merupakan Pusat Pemerintahan Kesultanan Selangor dan kepelbagaian sejarah liku-liku peristiwa dalam pembentukan serta pembinaan sebuah Kesultanan Negeri yang kukuh pada hari ini.

Mengikut sejarah, Bukit Malawati yang merupakan tempat bersemayam dan Pemerintahan Raja Pemerintah, Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Selangor dan Wilayah Jajahan Takluknya suatu masa nan lalu pernah ditawan oleh pihak Belanda dari Paduka Sri Sultan Ibrahim, Sultan Selangor ke 2.

Angkatan Belanda telah membawa 11 buah kapal di bawah kepimpinan Jacob Pieter Van Braam pada 2 Ogos 1784 dalam misi memerangi Negeri Selangor kerana tindakan Paduka Sri Sultan Ibrahim yang telah menyerang Belanda di Melaka bersama bapa saudaranya Paduka Sri Raja Haji [Raja Haji al-Shahid Fisabillu’llah Ta’ala al-Marhum Teluk Ketapang] ibni Raja Chelak, Yang di-Pertuan Muda Riau (1777 – 1784). Serang pihak Belanda yang dibantu oleh Raja Muhammad Ali Ibni Raja Alam Ibni Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah @ Raja Kecik serta anak saudaranya Syed Ali dari Siak turut sama menentang Selangor. Angkatan di bawah pimpinan Jacob Pieter Van Braam yang menaiki kapal Utrecht berjaya menawan Kota di Kuala Selangor iaitu Kota Alpingsburg yang berada di atas bukit Tanjug Keramat serta mendirikan sebuah kubu iaitu kubu Van Braam.

Susulan dari itu, Paduka Sri Sultan Ibrahim, Raja Muda Nala, Syed Jaafar dan kerabat-kerabat yang lain terpaksa berundur ke Ulu Selangor kemudiannya ke Bernam dan terus ke Pahang bertemu dengan Bendahara Tun Abdul Majid untuk meminta bantuan ketenteraan. Selama setahun Belanda menguasai Selangor, Raja Muhammad Ali telah dilantik sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Selangor dibantu oleh Syed Ali ketika dibawah penguasaan Belanda di Selangor. Kemudiannya apakala Raja Muhammad Ali pulang ke Siak. Jawatan Pemangku Yang di-Pertuan Selangor telah di sandang kepada Syed Ali dan sepanjang menyandang jawatan tersebut pelbagai cara dan kaedah digunakan dalam cubaan untuk mempengaruhi masyarakat supaya bekerjasama dengan Belanda, namun segala usahannya menemui kegagalan.

Pada pertengahan 1785. Paduka Sri Sultan Ibrahim yang berada di Pahang telah diberi bantuan oleh Bendahara Tun Abdul Majid dan 2000 orang telah di bawa untuk menyerang Belanda di Kuala Selangor. Angkatan perang telah tiba di Tiram Buruk hingga sampai di Permatang, dengan bantuan Penggawa Permatang, Paduka Sri Sultan Ibrahim melancarkan serangan ke Kuala Selangor dan pada 26 Jun 1785 seramai 2000 orang Selangor dibantu oleh Syed Jaafar dan Penggawa Permatang menyerang Belanda secara mengejut dan serang tersebut telah berjaya mengalahkan Belanda sehingga membawa kepada pengunduran pihak Belanda ke Melaka. Kekalahan Belanda menyebabkan Syed Ali melarikan diri ke Siak dan Paduka Sri Sultan Ibrahim kembali menaiki takhta semula tetapi pada Julai 1785 Belanda menghantar 3 buah kapal besar dan beberapa perahu mengepung Kuala Selangor menyebabkan beras dan barang makanan naik harga mendatangkan kesusahan kepada rakyat manakala perniagaan dengan saudagar Melaka merosot setelah setahun akhirnya kedua-dua pihak berdamai dengan menandatangani perjanjian pada 29 Jun 1786.

Duli-Duli Raja Pemerintah, Sultan dan Yang di-Pertuan Selangor bersemayam di Bukit Selangor @ Bukit Malawati, Kuala Selangor.

– Sultan Salehuddin (1743 – 1778)
– Sultan Ibrahim (1778 – 1826)
– Sultan Muhammad Shah (1826 – 1857)

salasialh2bpawang2bdiraja2bof2bselangor

Gambar hiasan

Sejarah yang terpahat di dalam Negeri Selangor apakala Raja Lumu diperakui sebagai Raja Pemerintah, Sultan dan Yang di-Pertuan Selangor bergelar Paduka Sri Sultan Salehuddin. Sebagai Pemerintah sebuah kerajaan baru, pengukuhan pentadbiran adalah perkara pertama yang diberikan tumpuan dengan membentuk sebuah organisasi dengan mewujudkan beberapa jawatan penting; Antaranya Datok Aru, Datok Penggawa Tua (Kuala Selangor), Penggawa Muda (Kuala Langat), Datok Shahbandar, Datok Kaya Kechil Kelang (Klang), Datok Penghulu Ulu Selangor (Hulu Selangor) dan Datok Maharaja Lela.[8] Perlantikkan tersebut tersebut adalah untuk membantu dan menasihati baginda dalam pemerintahan[9].

Hierarki orang besar-besar Selangor di bawah Pemerintahan Paduka Sri Sultan Salehuddin ;

1. Datok Aru kemudian digantikan dengan gelaran Orang Kaya Maha
Kurnia Bijaya DiRaja Selangor
2. Datok Pengawa Tua
3. Datok Penggawa Muda
4. Datok Maharaja Lela[10]
5. Datok Shahbandar Dalam
6. Datok Bentara Kanan[11]
7. Datok Bentara Kiri[12]
8. Datok Panglima Dalam[13]
9. Datok Megat Penghulu Balai[14]

Orang Besar Daerah - Orang Besar Istana - Selangor.jpg

Dari kiri; Orang Kaya Maha Kurnia Bijaya DiRaja Selangor, 2. Datok Penggawa Tua, Datok Penggawa Muda, Datok Maharaja Lela Setia Paduka, Datok Shah Bandar, Datok Kiri dan Datok Penghulu Balai

Namun di antara Enam (6) daripada (9) Sembilan gelaran iaitu Datok Pengawa Tua dan Datok Pengawa Muda, Datok Maharaja Lela, Datok Shahbandar, Datok Panglima Dalam dan Datok Megat Penghulu Balai dipegang oleh mereka dari jurai-jurai berbenih Raja-Raja bugis yang datang ke Kuala Selangor bersama-sama Raja Lumu. [15]

Dewasa ini, sembilan (9) daerah yang mempunyai Wakil Paduka Sri Sultan Selangor yang semuanya mempunya gelaran yang seakan sama dan terdapat juga yang masih mengekalkan gelaran nama lama yang telah wujub sebelum ini. Namun dari Sembilan (9) Orang Besar Daerah ini yang Utama adalah Orang Besar Daerah Kuala Selangor sebagaimana yang tersebut di dalam hierarki di atas. Orang Besar Daerah Kuala Selangor merupakan salah seorang dari Empat Orang Besar Selangor yang asal yang disebut juga sebagai Tuk Ampat Suku @ Tuk Ampat Selangor. Datok Penggawa, gelaran bagi orang besar di daerah adalah Yang DiHormatkan Dato Penggawa Tua Permatang Paduka Maha Bijaya Kuala Selangor.

Menyusuri sorotan peranan yang telah dimainkan oleh Datok Penggawa Tua Muhammad Shah ketika di bawah pemerintahan DYMM Paduka Sri Sultan Ala’uddin Suleiman Shah, pada saat Residen General, Frank Swettenham, Residen British Selangor, J.P. Rodger dan penggantinya, Conway Belfield menyokong supaya Raja Laut, putera kepada Almarhum Paduka Sri Sultan Muhammad Shah, Sultan Selangor ke 3, dilantik sebagai Raja Muda Selangor. Raja Laut dilantik menjadi Raja Muda pada tahun 1899. Pembesar Selangor tidak begitu bersetuju perlantikan tersebut.

Bagi Datok Penggawa Tua Muhammad Shah, Raja Laut dilantik sebagai Raja Muda adalah gelaran yang diberikan oleh Residen General Frank Swettenham”.

Pada tahun 1913, Raja Muda Laut mangkat. Puteranya Raja Alang yang pernah menjadi Penghulu Rawang mengemukakan tuntutan ke atas jawatan Raja Muda. DYMM Paduka Sri Sultan Alauddin Suleiman Shah tidak memberi pertimbangan kerana perlantikan Raja Laut dahulu bukan di atas kehendaknya dan Raja Alang sendiri tidak berjaya menjalankan tanggungjawab sebagai Penghulu Rawang.

Bagi Datok Penggawa Tua pula “tuntutan Raja Alang tidak perlu dipertimbangkan kerana Raja Laut dilantik sebagai Raja Muda tanpa restu pembesar”.

Di bawah penguasaan Yang DiHormatkan Datok Penggawa Permatang Paduka Maha Bijaya Kuala Selangor sebagai Orang Besar Daerah Kuala Selangor dan Wakil DYMM Sultan Selangor terdapat dua (2) Parlimen dan empat (4) DUN di bawahnya dan ini menunjukkan bahawa Orang Besar Daerah lebih tinggi taraf dan martabatnya.

Ahli Parlimen P.095 Tanjong Karang
Ahli Parlimen P.096 Kuala Selangor
ADUN N8 Sungai Burong
ADUN N9 Permatang
ADUN N10 Bukit Melawati
ADUN N11 Ijok
ADUN N12 Jeram

Meskipun ada sesetengah pihak menyatakan bahawa Orang Besar Daerah rendah tarafnya jika dibandingkan dengan Pegawai Daerah dan Pegawai Daerah pula rendah tarafnya dari YB Ahli Parlimen. Mungkin Ahli Parlimen dilihat mempunyai kawasan yang besar kerna mempunyai DUN di bawahnya namun Orang Besar Daerah mempunyai wilayah pegangan yang lebih besar. Walaupun negara mengamalkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan namun kedudukan Orang Besar Daerah adalah satu kelangsungan Institusi Kepenghuluan yang berakar umbi dari Institusi Kesultanan Melayu Melaka yang mempunyai nilai-nilai Kepadukaan Seri Negeri dalam menjaga kemuliaan dan memelihara Raja Kerajaan dan menjaga keamanan adat istiadat Raja ke’Raja’an dan menerima apa-apa titah di sebelah Jajahan Kuala Selangor

Sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan, diperuntukan oleh Perlembagaan Institusi Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu di sembilan buah negeri dan Majlis Raja-raja yang mana Raja-raja Melayu telah diberi kuasa untuk memelihara keistimewaan dan adat istiadat orang Melayu dan pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi Negeri-negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah-wilayah Persekutuan. Di bawah Perlembagaan juga jelas bahawa Raja-Raja pula menjadi Ketua Negeri dan menjalankan tugas bertindak mengikut nasihat Menteri Besar masing-masing.

Disimpulkan bahawa Orang Besar Daerah adalah Penaung kepada sekalian rakyat yang bermautautin di dalam Wilayah pegangangnya tanpa mengira bangsa, etnik dan kefahaman politik dalam memastikan sekalian rakyat bertuankan Raja Yang di-Pertuan Negeri sebagaimana Undang-Undang Orang Jadi Raja Ataupun Penghulu di dalam sesebuah Negeri atau Mukim ”Adatnya” Ada pun hutang penghulu kepada rakyatnya, Pertama mati rakyatnya di tanam, Kedua, hilang rakyatnya di cari, Ketiga kusut di selesaikan dan Keempat, jika salah dipatutkan.

Advertisements