Busu (Yahya) Mohd Zain. Warisan Daeng Merewah

Tokoh Seni Ukir – Busu (Yahya) Bin Mohd. Zain (Sumber sari Saudara)

Artikel yang diambil dari keratan akhbar mengenai Tokoh Seni Ukir di-Klang bertarikh 10 June 1962 keluaran Berita Harian.

Sedikit benar orang yang tahu dari mana datangnya segala bahan-bahan chenderamata Kerajaan Persekutuan untuk di anugerahkan kepada tetamu yang berkunjung ke negeri kita.
Chenderamata yang dimaksudkan itu berupa Keris, Tongkat dan beberapa jenis bahan yang diperbuat dari Gading. Chenderamata ini merupakan satu sumbangan yang istimewa – hasil seni ukir yang melambangkan kegiatan seni tanah air kita. Dan orang yang banyak memberikan sumbangan dalam lapangan ini ialah seorang tua yang sudah melebihi setengah abad usianya.

Tokoh Seni Ukir Klang

Keratan Berita Harian bertarikh 10 Jun 1962

“Saya banyak menerima tempahan dari kerajaan persekutuan untuk membuat barang-barang chenderamata untuk tetamu khas negeri kita”.
Orang tua ini sudah begitu terkenal dikalangan Kerabat DiRaja Selangor sejak berpuloh-puloh tahun lagi dan sejak tanah air kita mencapai kemerdekaan.
Namanya semakin terkenal dari pegawai-pegawai pejabat Kerajaan Persekutuan hingga kepada Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman sendiri.
Di Istana Alam Shah orang tua ini hanya dipanggil Pak Busu. Namanya yang sebenar ialah Encik Busu Bin Mohd Zain, berusia 56 tahun. Merupakan Warisan daripada Daeng Merewah @ Kelana Jaya Putra @ Paduka Sri Sultan ‘Ala ud-din Ri’ayat Shah (Yang di-Pertuan Muda Riau – 1722 – 1728) putera kepada Opu Ten-ri Burang Daing Rilaga.

Orang tua ini boleh ditemui kalau berkunjung ke Muzium DiRaja Istana Alam Shah, Klang. Kerjanya yang rasmi ialah menjaga Muzium itu. Tetapi hasil seni ukirnya bukan sedikit yang dipamerkan dalam muzium tersebut. Sebuah model perahu “Langchang Kuning” yang besarnya kira-kira 3 kaki panjang adalah antara hasil buah tangan Pak Busu jua. Selain itu terdapat juga beberapa bilah keris, tongkat, badek, kereta lembu dan sebuah “Setekona” diperbuat daripada gading Gajah.

“Bakatnya dalam seni ukir ini banyak dipupuk oleh Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah”. Mengkisahkan sejah hidupnya Pak Busu menyatakan bahawa mula-mula bekerja didalam Istana pada tahun 1938 selaku “pembaik” alat-alat perkhiasan istana termasuk alat-alat kebesaran DiRaja seperti senjata utama bagi Sultan Selangor bernama “Keris Tetuli Emas” atau Keris Terapang Gabus.

Keris-Keris Kebesaran Kesultanan Selangor.

1. Keris Berterapang Emas, 2. Keris Tetuli Emas, 3. Keris Panjang, 4. Keris Panjang Terapang Emas, dan 5. Keris Jawa (Sumber Buku Kesentosaan Takhta Selangor)

Ketika DYMM Sultan Hishamuddin Alam Shah menjadi Yang Dipertuan Agong kedua (2), Pak Busu pernah diperintahkan untuk membuat sebuah “Setekona” Tempat bunga telor. Oleh kerna “Setekona” tersebut dapat disiapkan dengan begitu berseni Pak Busu telah dikurniakan oleh Almarhum dengan $ 400 sebagai upahnya.

Kerajaan Persekutuan banyak membeli tongkat-tongkat yang diperbuatkan dari buah pinang dan tempurong kelapa, hasil usaha Pak Busu. Tidak lama dulu enam batang tongkat telah dibeli oleh kerajaan persekutuan dengan harga $60 atau $70 sebatang.
Menurut Pak Busu untuk berjaya dalam “seni ukir” kesabaran hendaklah ada. Kalau tidak payah hendak berhasil.
Bercakap tentang masa kerjanya, seniman berpengalaman ini berkata
“ Masa saya untuk bertukang amat terbatas, kerana pagi mulai jam 8.30 saya mula bertugas hingga jam 4.30 petang “. Hanya pada masa terluang iaitu ketika pulang kerja sahaja Pak Busu mengambil kesempatan bertukang.

“Pendapatan hasil jualan barang-barang pertukangan itu hanya sebagai menambah sara hidup saya.

Sumber : Artikel Tokoh Seni Ukir di-Klang bertarikh 10 June 1962 keluaran Berita Harian.

Sumber dari Saudara;
*Allahyarham Mohd Zain adalah salah Seorang Imam Diraja Masjid Bandar.
** Pak Busu tinggal di Jalan Raja Jumaat dari tahun 1970 hingga tahun 80an. Isterinya bernama Aminah Binti Simpol Bin Pelong. Tok Busu ni hampir semua hidupnya dikenali sebagai Busu Bin Mohd Zain. Tapi ketika dikebumikan berdekatan Makam DiRaja Bandar, Diletakkan nama Yahya dalam kurungan. Anak sulung Pak Busu meninggal waktu kecil dan dikebumikan bersebelahan Kubur Che Puan Hasnah Binti Pelong.
*** Simpol Bin Pelong adalah abang kepada Che Puan Hasnah @ Aminah Binti Pelong iaitu bonda kepada Paduka Sri Sultan Hishamuddin Alam Shah. Beliau berasal dari Jugra dari LEGASI PELONG yang mana anaknya Che Puan Hasnah @ Che Aminah Bt Pelong telah menjadi suri kepada Paduka Sri Sultan Alauddin Suleiman Shah dan melahirkan beberapa putera dan puteri iaitu;
1. Raja Bendahara Badar Shah,
2. Paduka Sri Sultan Hishamuddin Alam Shah,
3. Tengku Badariah, dan
4. Tengku Salwa.
**** Mengikut Tok Busu, Tengku Ampuan Jemaah dan Sultan Alam Shah amat mengutamakan kaum kerabat bertugas dizaman pemerentahan baginda. Tok Busu bersara dari istana pada tahun 69 dan kemudian bermukim di Jalan Raja Jumaat.

Advertisements