Tan Sri Datin Sri Cempaka Kontik Kamariah

Yang Berbahagia Tan Sri Datin Sri Cempaka Kontik Kamariah telah dilahirkan di Kampung Seputih, Kuala Lumpur, pada 5 Ogos 1911. Beliau telah berkahwin dengan Encik Bahadun Haji Hassan (Allahyarham) iaitu bekas Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan yang meninggal dunia pada 28 Julai 1980. Mereka mempunyai dua orang anak.

Beliau adalah anak kepada Allahyarham Ahmad Panglima Garang Ishak, bekas Penghulu Kuala Lumpur. Beliau telah menuntut hingga tamat darjah lima di Sekolah Melayu Seputih, Kuala Lumpur di antara tahun 1919 hingga 1923. Di peringkat menengah pula beliau bersekolah di Methodist Girls School, Kuala Lumpur sehingga lulus Senior Cambridge pada 1928. Beliau merupakan wanita Melayu pertama yang lulus peperiksaan Senior Cambridge. Pada tahun 1929 hingga 1931 beliau telah bertugas sebagai guru pelatih bahasa Inggeris di Sekolah Perempuan Methodist, Kuala Lumpur. Seterusnya beliau mengikuti kursus perguruan di English Normal Teachers’ Training Centre dan juga wanita Melayu pertama mengikuti kursus tersebut di Victoria Institution pada tahun 1932.

Pada tahun 1932, beliau terlibat dengan Selangor Government Servants Co-op Thrift and Loan Society, Kuala Lumpur dan menjadi ahli jawatankuasa hingga tahun 1940. Pertubuhan lain yang disertai adalah Midland Co-op Union, Co-op Union of Malaya, Co-op Insurance of Malaya dan merupakan Ahli Lembaga Maktab Kerjasama. Antara tahun 1955 hingga 1957 beliau telah menjadi Pengerusi Selangor Co-op Thrift and Loan Society dan Presiden Co-operative Union of Malaya juga merupakan wanita pertama memegang jawatan tersebut.

Dalam tahun 1932, beliau menjadi Inspektor Sekolah Melayu Perempuan Kampung Baru dan dilantik menjadi Penyelia Sekolah-Sekolah Melayu Negeri Selangor yang pertama dari 1945 hingga 1948. Beliau juga melibatkan diri dalam kegiatan politik dan turut berjuang menentang penjajah. Selain itu beliau aktif dalam pelbagai pertubuhan koperasi dan UMNO. Pada tahun 1954 hingga 1964 dan dari tahun 1975 hingga awal 1980-an beliau dilantik sebagai Pengerusi Koperasi Perumahan Pegawai-Pegawai Melayu Selangor. Koperasi ini telah berjaya membeli sebidang tanah dan telah mendirikan 21 buah rumah dan kawasan perumahan ini diberi nama Taman Kamariah sempena nama beliau.

Beliau telah menjadi Kapten bagi Pasukan Pandu Puteri Sekolah Kampung Baru, Kuala Lumpur pada tahun 1939. Pada tahun 1977, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Lembaga Rayuan Penapis Filem Negara dan pada tahun 1979 menjadi Ahli Jawatankuasa Majlis Daerah Gombak. Selepas suami beliau meninggal dunia beliau telah mengusahakan syarikat pelancongan. Pada tahun 1953 telah mendapat anugerah British Empire Medal (B.E.M) oleh kerajaan Inggeris. Kerajaan Negeri Selangor telah menganugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) pada tahun 1964 dan Jaksa Pendamai (J.P) dalam tahun1969. Pada 8 Mac 1979, menjadi wanita pertama dilantik oleh DYMM Sultan Selangor menjadi Orang Kaya Maha Bijaya Gombak yang dikenali dengan gelaran Orang Besar Daerah Gombak iaitu “Datin Sri Cempaka”.

Pada tahun 1990, pula mendapat Anugerah Wanita Cemerlang Avon-Tan Sri Fatimah. Beliau juga dianugerahi Pingat Kenangan Bakti Guru Melayu Selangor oleh Persatuan Sejarah Malaysia Selangor dan Tokoh Warga Tua Wanita oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 1992. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengurniakan bintang Panglima Setia Mahkota (P.S.M) kepada beliau dengan gelaran “Tan Sri” dan kemudian Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A) yang membawa gelaran “Datin Paduka”.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Advertisements