Tengku Panglima Diraja Selangor - Ketua Adat Istiadat Negeri Selangor

Y.A.M. Tengku Sulaiman Shah Al-Haj

Y.A.M. Tengku Sulaiman Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salah’uddin Abdul Aziz Shah Al-Haj telah diberi gelar pangkat gelaran Y.A.M. Tengku Laksamana Selangor berkuatkuasa 1 Julai 2016 setelah Sultan Selangor berunding dengan Dewan di-Raja Selangor. Y.A.M. Tengku Sulaiman Shah Al-Haj setelah menyandang gelaran sebagai Tengku Panglima Diraja Selangor selama hampir 38 tahun dan bertanggungjawab sebagai Ketua Adat Istiadat Diraja Selangor. Y.A.M. Tengku Sulaiman Shah Al-Haj telah mula menerima gelaran kurniaan  sebagai Pembesar Negeri iaitu Y.A.M. Tengku Panglima Besar Selangor pada 15 Jun 1972 dan memegang gelaran tersebut selama enam tahun sahaja kerana menerima gelaran Y.A.M. Tengku Panglima Diraja Selangor pada 1 Ogos 1978.

Penasihat
Adat Istiadat Diraja Selangor
Y.A.M. Tengku Aris Temenggong Selangor
Penghulu
Adat Istiadat Diraja Selangor
Y.D.M Engku Maha Kurnia Bijaya Seri Amar DiRaja Selangor
Ketua
Adat Istiadat Diraja Selangor
Y.A.M. Tengku Laksamana Selangor
(Sebelum ini Y.A.M. Tengku Panglima Diraja Selangor)

Gelaran Tengku Laksamana Selangor telah kosong selama hampir 28 tahun sejak 2 Jun 1988 setelah penyandangnya terdahulu iaitu Almarhum Tengku Badli Shah Ibni Almarhum Sultan Hisham’uddin Alam Shah Al-Haj yang merupakan adinda kedua kepada Almarhum Sultan Salah’uddin Abdul Aziz Shah Al-Haj kembali kerahmatullah pada 1 Jun 1988. Y.A.M. Tengku Sulaiman Shah Al-Haj merupakan penyandang ke-empat dalam Institusi Diraja Selangor yang dianugerahkan gelaran tersebut sejak kewujudan gelaran Tengku Laksamana Selangor sekitar tahun 1930an.

Tengku Laksamana

Dari kiri : Tengku Alam Shah, Tengku Abdul Aziz Shah dan Tengku Badli Shah penyandang gelaran Y.A.M. Tengku Laksamana Selangor

Gelaran Tengku Laksamana Selangor sebagaimana yang telah dihuraian pada artikel sebelum ini bermula dengan pengurniaan gelaran pelantikan pertama oleh Paduka Sri Sultan Selangor ke-lima (5) iaitu Almarhum Sultan Sir’ Ala’uddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa kepada putera ketiga (3) baginda iaitu Almarhum Sultan Sir’ Hishamuddin Alam Shah Al-Haj (ketika itu bergelar Tengku Panglima Diraja – Tengku Alam Shah) pada 11 September 1931. Kekanda kepada Tengku Alam Shah yang lain adalah Tengku Musa Uddin (Tunku Mahkota Selangor, 1903 > Raja Muda Selangor, 1920 > Tengku Kelana Jaya Putra, 1936, Paduka Sri Sultan Selangor, 1942-1945 – Tengku Kelana Jaya Putra telah mangkat pada sekitar tahun 1955).) dan Tengku Badar Shah (Tengku Panglima Besar Selangor, 1928 > Raja Bendahara Selangor, 1936 – Raja Bendahara Badar Shah telah mangkat pada sekitar tahun 1945).

Selepas D.Y.T.M Raja Muda Alam Shah menaiki takhta kerajaan Negeri Selangor bergelar Sultan Hisham’uddin Alam Shah Al-Haj. Maka secara tradisi baginda akan mengurniakan gelaran kepada putera baginda. Oleh kerana kesetiaan bai’ah baginda kepada Almarhum Ayahanda baginda semasa krisis takhta Selangor dan memorundum serta draf pembentukan Undang-Undang Negeri Selangor sekitar tahun 1936-1938 yang memberikan keizinan sebagai Pewaris Takhta dan sebagai Sultan secara “One Off”. Maka baginda telah memberi akan gelaran Y.A.M. Tengku Laksamana Selangor kepada Y.A.M. Tengku Abdul Aziz Shah (kemudian bergelar Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah) pada 1 Ogos 1946. Namun apakala Y.A.M Tengku Abdul Aziz Shah dilantik sebagai Raja Muda Selangor pada 13 Mei 1950, maka gelaran Tengku Laksamana Selangor tersebut dikurniakan kepada Almarhum Tengku Badli Shah selepas itu.

Gelaran dan peranan Tengku Laksamana Selangor termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 didalam keanggotaan Dewan Diraja Selangor sebagai Ahli Rasmi dan Dewan DiRaja ditubuhkan untuk membantu dan menasihati Sultan dalam menjalankan fungsi Baginda dan untuk melaksanakan fungsi yang dinyatakan dalam bahagian ini (Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor)

1. Raja Muda Selangor, Tengku Laksamana, Tengku Bendahara, Menteri Besar, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor dan Mufti semuanya adalah ahli ex-officio,
2. Empat Waris Yang Lain
3. Lima Orang-orang Besar dan
4. Tujuh Orang Tua-Tua yang bukan Ahli Dewan Undangan atau Dewan Rakyat yang daripada mereka sekurang-kurangnya seorang hendaklah Ahli Majlis Agama Islam
Ahli, kecuali Ahli  ex-officio, hendaklah dilantik oleh Sultan dengan Surat Cara yang mengandungi tandangan Baginda dan Mohor Kerajaan

SG01_270616_LAKSAMANA

Sultan Selangor – Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan pangkat gelaran Tengku Laksamana Selangor kepada Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Tengku Laksamana Selangor, Orang-Orang Besar Istana dan Datuk Diraja Selangor di Istana Bukit Kayangan hari ini. – Foto BERNAMA (2016)

Gelaran didalam Negeri Selangor kebanyakan melibatkan gelaran yang berkaitan dengan darah kepahlawanan Wangsa Selangor iaitu Panglima. Seperti Engku Panglima Perang, Panglima Besar, Tengku Panglima Dalam, Panglima Perang kiri, Panglima Perang Kanan, Tengku Panglima Raja.