Tags

Orang-Orang Besar Daerah Negeri Selangor Darul Ehsan

9 Orang-Orang Besar Daerah Negeri Selangor Darul Ehsan bersama Raja Yang Dipertuan Selangor

Peranan Yang Dipertuan dan Pembesar

Dalam sistem politik tradisional Melayu. Sultan ialah “Sumber Undang-Undang” atau Undang-Undang itu Milik Sultan”.[1] Mengambarkan Sultan tidak demokratik, membelakangkan para menteri dan penasihat ketika mentadbir dan ini bertentangan dengan amalan Raja-Raja Melayu yang digambar sering bermusyawarah bersama penasihat-penasihat baginda dalam pelbagai urusan pentadbiran.[2]

J.M Gullick menyatakan bahawa undang-undang itu adalah “droit administrative”[3] (Hak Pemerintahan) iaitu tugas bersama diantara sultan dan pembesar sebagai pentadbir negara. Aturan-aturan yang digunakan untuk menjaga keamanan dalam negara dan kebenaran membentulkan kesalahan rakyat dengan erti kata lain “Autoriti undang-undang” ditetapkan oleh sultan dan kemudian dilaksanakan oleh pembesar. Kuasa yang dikhaskan kepada sultan ialah kuasa memerintahkan pelaksanaan hukuman dan bukannya penghakiman.[4]

Perlantikan Pembesar Negeri

Sebagai sebuah kerajaan baru, Sultan Salehuddin berusaha mengukuhkan pentadbiran dan perkara pertama yang diberikan tumpuan ialah dengan membentuk organisasi pentadbiran dengan mewujudkan beberapa jawatan penting seperti Dato’ Aru yang dikatakan jawatan kedua penting kedua selepas Sultan. Jawatan lain seperti Dato Penggawa Tua, Penggawa Muda, Dato Shahbandar, Dato Kaya Kechil Kelang, Dato Penghulu Ulu Selangor dan Dato Maharaja Lela.[5] Perlantikkan tersebut tersebut adalah untuk membantu dan menasihati Sultan dalam pemerintahan[6]. Antara orang besar-besar Selangor yang menduduki taraf yang istimewa adalah seperti dibawah semasa dibawah Pemerintahan Raja Lumu :-

  1. Dato Aru
  2. Dato Pengawa Tua
  3. Dato Penggawa Muda
  4. Dato Maharaja Lela[7]
  5. Dato Shahbandar Dalam
  6. Dato Bentara Kanan[8]
  7. Dato Bentara Kiri[9]
  8. Dato Panglima Dalam[10]
  9. Dato Megat Penghulu Balai.[11]

Namun di antara Enam daripada Sembilan gelaran iaitu Pengawa Tua dan Pengawa Muda, Maharaja Lela, Shahbandar, Panglima Dalam dan Megat Penghulu Balai dipegang oleh mereka dari keturunan raja-raja bugis yang datang ke Selangor bersama-sama Raja Lumu. [12] Winstedt menjelaskan, bahawa salah satu gelaran berasal dari Kesultanan Johor adalah Penghulu Selangor, jika benar, Dato Penghulu Ulu Selangor boleh menjadi variasi dari tajuk asal.[13]

Pada dasarnya tugas-tugas mereka adalah ceremonial – ada yang menerima titah perintah Raja Kerajaan, ada yang menjalankan kemuliaan dan kehormatan bagi Raja Kerajaan, ada yang berjawatan pada masa beristiadat dalam dan luar istana dan sebagainya. Untuk anak-anak raja hanya ada dua gelaran sahaja yang didapati didalam dokumen-dokumen sejarah iaitu Tunku Panglima Besar dan Tunku Panglima Raja.

Pembesar yang mentadbir wilayah jajahan Kesultanan Negeri semasa era Pemerintahan Paduka Sri Sultan Ibrahim Shah pula berdasarkan sungai yang terdapat didalam Negeri Selangor yang terdiri daripada anak-anak raja dan mereka jua turut terlibat didalam peperangan bersama angkatan perang selangor. Sebagaimana Sultan Ibrahim menitahkan adinda baginda Raja Muda Nala dengan dua orang pembesar baginda iaitu Arong Temujong dan Penggawa Permatang untuk membawa angkatan Selangor membantu Raja Acheh.[14] namun demikian Orang Besar Daerah mempunyai taraf kedudukan sebagai Raja Jajahan didalam sebuah Wilayah.

Sungai Perak – Tengku Panglima Husain ibni Sultan Ibrahim.
Sungai Bernam – Raja Muda Muhammad Ibni Sultan Ibrahim,
Sungai Selangor – Sultan Ibrahim,
Sungai Klang – Raja Jaafar 
Sungai Langat – Tengku Panglima Besar Abdullah Ibni Sultan Ibrahim.
Sungai Lukut – Raja Busu Hassan ibni Raja Muda Nala
Sungai Linggi – Saudara Sultan Ibrahim

Pada tahun 1846  semasa dibawah pemerintahan Sultan Muhammad Shah  hanya terdapat 6 orang sahaja pembesar daerah iaitu[15],

  1. Lukut – Raja Jumaat
  2. Langat
  3. Klang – Raja Abdullah
  4. Selangor
  5. Bernam
  6. Jeram

Semasa era pemerintahan Sultan Abdul Samad, selepas campur tangan British dalam pentadbiran Selangor pada tahun 1874, sistem Residen British diperkenalkan di Selangor. British telah lantik kerabat diraja Selangor yang dianggap sesuai untuk berkhidmat dalam pentadbiran. Perkhidmatan tersebut adalah sebagai penghulu di sesebuah mukim di daerah Selangor terdiri daripada Sungai Langat, Sungai Selangor, Sungai Bernam, Sungai Lukut, dan Sungai Klang. Pada tahun 1877, Pemungut Cukai, dan Majistret turut dilantik oleh British untuk menjaga hal ehwal, dan perbendaharaan di setiap daerah Selangor. Di samping itu, Pemungut Cukai, dan Majistret perlu membantu setiap penghulu di daerah Selangor.

Pada tahun 1883, Swettenham dilantik sebagai Residen British Selangor ke-3.[16] Selepas perlantikan tersebut, Swettenham mengubah dasar pentadbiran daerah di Selangor kerana untuk menyeragamkan pentadbiran. Ekoran itu, pertama; daerah Selangor dibahagikan kepada enam bahagian iaitu, Kuala Langat, Hulu Langat, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang dan Kuala Lumpur.[17] Setiap daerah turut dilantik Pemungut Cukai di sini untuk membantu Residen British Selangor. Kedua; jawatan penghulu di Selangor dijadikan sebagai jawatan rasmi dalam pentadbiran Selangor. Jawatan ini berkuat kuasa pada bulan September 1883 dalam Majlis Mesyuarat Negeri Selangor berdasarkan perkenan Sultan Abdul Samad.[18]

  1. Bernam – Raja Hitam Raja Unos
  2. Kuala Selangor – Raja Muda Musa
  3. Klang – Raja Abdullah
  4. Langat – Sultan Abdul Samad
  5. Lukut – Raja Bot Raja Jumaat

Pada tahun 1948 hanya terdapat 6 orang sahaja pembesar daerah yang pada asalnya merupakan Penghulu yang berkuasa di setiap daerah dibawah pegangannya

  1. Orang Kaya Ulu Selangor,
  2. Dato Pengawa Permatang Maha Bijaya,
  3. Dato Kaya Klang,
  4. Dato Penggawa Muda,
  5. Dato Ungku Ulu Langat dan
  6. Dato Kaya Maha Bijaya Kuala Lumpur[19]

[1] Sel. Sec. 1138/85

[2] Gullick (1981), “Sistem Politik Bumiputera Tanah Melayu Barat. Kuala Lumpur: DBP, hlm. 73-75

[3] Ibid, hlm. 164

[4] Ibid,

[5] Khoo Kay Kim, 1985, “Raja Lumu/ Sultan Salehuddin in The Founding Of The Selangor Dynasty” JMBRAS. Vol. 58, pt. 2, 1985, hlm. 10

[6] Golongan pemerintah boleh dibahagi kepada dua golongan anak raja-raja dan golongan orang besar-besar ada yang bergelar dan ada yang tidak seperti penghulu mukim dan kampong.

[7] Dato Maharaja Lela pertama adalah Daeng Loklol Ibni Daeng Pakjong Ibni Lamadusalat bapa saudara kepada Raja Lumu yang digelar oleh Sultan Perak sebagai Dato Maharaja Lela Husain. Rujuk Memorial Presented On Behalf Of His Highess Tungku (Tengku) Badar Shah, Tungku Panglima Besar Selangor, Concerning His Right And Claim To Be Appointed Raja Muda Of Selangor” Dewan Bahasa dan Pustaka. 15-4-1936, hlm. 3

[8] Disebut Datok Kanan” Maka ialah panduan kehormat orang-orang masuk ke majlis Raja Keraja’an melakukan adat tertib dan menyampaikan apa-apa titah perintah.

[9] Disebut Datok Kiri” Maka ialah panduan kehormat adat istiadat di majlis Raja Keraja’an dan menerima apa-apa perintah yang diaturkan dan ikutan ramai didalam majlis.

[10] Disebut Engku Panglima Dalam” Maka ialah menjalankan kemuliaan dan kehormatan bagi Raja Keraja’an, iaitu yang berkenaan dalam Kota Istana. Maka dalam pengetahuan nya apa-apa peraturan Adat Istiadat dalam itu, dan mempersediakan jika ada hal-hal didalam dan mengambil ketahui kerosakan Kota Istana. Maka beberapa orang pula pegawai-pegawai yang menyertai ianya menjalankan hal-hal itu. Ialah Penghulu Dalam, Penghulu Balai dan pelayan-pelayan Istana Balai. Maka di serta pula Datok Bentara Kiri hal-hal Adat Majlis.

[11] Disebut Datok Balai” Maka ialah yang memelihara akan persediaan majlis balai dan peraturan sekalian adap yang naik ke balai itu.

[12] Berita Harian, 24 October 1967, Page 4, Selangor di-abad yang ke-19 Kerajaan S’gor Wujud Sa-Lepas Kedatangan Upu 5 Beradek Oleh Khoo Kay Kim M.A. Pensharah Jabatan Pengajian Sejarah Unlversiti Malaya.

[13] R.O Winstedt, A History Of Selangor, App. The To’ Engku Klang, hlm. 113

[14] Siri Sejarah Nusantara. Sejarah Selangor. Haji Buyong Adil. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pelajaran Malaysia. Kuala Lumpur. 1981. hlm. 29

[15] From the Daily Times, 12th July. News from the Peninsula. [Articles], Straits Times Overland Journal, 13 July 1878, Page 3

[16] CO 276/14. Government Notification. 17 January 1883

[17] CO 276/14, The Malay Peninsula. Its Resources and Prospects, 12 November 1891

[18] Minutes of Selangor Council 1486/80. 35th Meeting Of State Council held at the Istana Bukit Jugra on Sunday, 2nd September 1983

[19] Installation Of Selangor’s Major Chiefs. The Straits Times, 5 May 1948, Page 8, Tengku Abdul Aziz Ibni Almarhum Sultan Alauddin Suleiman Shah sebagai Indera Setia Klang, En. Ismail Bin Dato Mat Sah sebagai Pengawa Tua Kuala Selangor, En. Kamaruddin b Haji Ibrahim sebagai Dato Kaya Maha Bijaya Ulu Selangor dan En. Yahya Bin Dato Abdul Razak sebagai Dato Maha Bijaya Kuala Lumpur