Wangsa Mahkota Selangor

Sekadar Gambar Hiasan

Sejarah Wilayah Jajahan

Bukti sejarah menunjukkan bahawa nama Klang telah terkenal sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Bahkan ianya lebih awal lagi disebut sebagaimana sejenis “genderang” yang dijumpai di Klang yang dinamakan “Dong-Son Drum”. Jenis loceng yang dijumpai itu sama dengan loceng gangsa yang dipercayai telah dibuat kira-kira dalam tahun 20 sebelum masihi.[1] Nama Klang jua telah dikenali di awal kurun ke-13 masihi. Ini dapat dilihat dalam kitab Sejarah Jawa, Nagarakartagama (Naghura-Karet Agama) yang terkarang dalam tahun 1365 masihi itu ada menyebut bahawa Klang tertakluk dibawah Majapahit. Demikian jua dalam peta kuno Cina yang dipercayai telah digunakan oleh Laksamana Cheng Ho, salah seorang ahli perlayaran Cina yang dipercayai belayar dalam tahun 1403 – 1433 ada tercatat di antara lain nama-nama “Beting-Beting Selatan (di Kuala Sungai Klang), Selangor Darat dan Sungai Klang.[2]

Sejarah Melayu menyebut tentang Selangor berhubung wilayah Klang.[3] Dicatatkan bahawa suatu ketika penduduk klang telah “menolak penghulunya” dan meminta Sultan Melaka iaitu Sultan Muzaffar Shah (1446-1456) melantik anak Bendahara Seri Wak Raja, Tun Perak[4] sebagai Penghulu Klang yang baru.[5]

Selain Klang, terdapat beberapa jajahan lain didalam negeri Selangor turut tercatit didalam Sejarah Melayu merujuk kepada Empayar Kesultanan Melayu Melaka. Dicatatkan putera Sultan Mansur Shah (1456-1477) Melaka bersama puteri China, Hang Li Po bernama Paduka Seri China telah “dirajakan” oleh Sultan di sebuah wilayah yang bernama Jeram, “..hampir langat;[6]

Dalam khutub khanah Royal Asiatic Society di London terdapat senaskhah Sejarah Melayu bertulis tangan terkumpul bersama-sama buku Raffles ada menyebutkan Tun Bendahara Johor mengahwinkan anaknya, Tuan Mahmud dengan puteri Raja Beruas (Perak) dan Tun Mahmud diberi memerintah Selangor.[7]

Menurut laporan Dagh Register, ada menyebut bahawa pada tahun 1700 masihi Tuk Engku Klang, ketua yang memerintah di Klang yang berkeluarga dengan Bendahara Johor telah mengurniakan sebuah mohor tanda berkuasa kepada Yamtuan Selangor yang tinggal di Selangor (Sungai Selangor @ Kuala Selangor).[8]

Peranan Yang Dipertuan dan Pembesar

Ahli-ahli sejarah orietalis dan tempatan berpendapat, dalam sistem politik tradisional Melayu. Sultan ialah “Sumber Undang-Undang” atau Undang-Undang itu Milik Sultan”.[9] Mengambarkan Sultan tidak demokratik, membelakangkan para menteri dan penasihat ketika mentadbir dan ini bertentangan dengan amalan Raja-Raja Melayu yang digambar sering bermusyawarah bersama penasihat-penasihat baginda dalam pelbagai urusan pentadbiran.[10]

J.M Gullick menyatakan bahawa undang-undang itu adalah “droit administrative”[11] (Hak Pemerintahan) iaitu tugas bersama diantara sultan dan pembesar sebagai pentadbir negara. Aturan-aturan yang digunakan untuk menjaga keamanan dalam negara dan kebenaran membentulkan kesalahan rakyat dengan erti kata lain “Autoriti undang-undang” ditetapkan oleh sultan dan kemudian dilaksanakan oleh pembesar. Kuasa yang dikhaskan kepada sultan ialah kuasa memerintahkan pelaksanaan hukuman dan bukannya penghakiman.[12]

[1] R.O Winstedt, A History Of Malaya, Marican & Son, Kuala Lumpur, 1962, hlm. 23-25

[2] W.G Shellaber, Sejarah Melayu, Malaya Publishing House Ltd, Kuala Lumpur, 1962, hlm. 76-77

[3] Kehadiran klang dalam catatat asing turut pernah dibuktikan oleh peneliti-peneliti terdahulu. Dokumen dinasti Tang di China misalnya

[4] Tun Perak atau Bendahara Paduka Raja merupakan abang kepada Tun Kudu. Beliau berkhidmat dengan cemerlang sebagai Bendahara selama kira-kira 50 tahun di bawah empat orang Sultan Melaka bermula dari Sultan Muzaffar Syah (1446-1459), Sultan Mansur Syah (1459-1477), Sultan Alauddin Riayat Syah (1477-1488) dan awal pemerintahan Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Syah (1488-1511). Di bawah pimpinan beliau, Kerajaan Melaka telah mencapai zaman keemasan.

[5] Sejarah Melayu, Shellaber, hlm. 66 dan Sejarah Melayu, Raffles MS18, hlm. 35

[6] Ayah Paduka Ahmat dan Datuk Paduka Isap. Mereka diberikan gelaran Paduka, bukan raja sepertimana yang pernah dinikmati oleh putera-putera yang lain, terutama mereka yang ada hubungan secara terus atau tidak dengan pembesar-pembesar Melaka ketika itu. Paduka juga tidak pernah diberi peluang menikmati pemerintahan sebuah empayar. Mereka hanya dijadikan ‘raja’ sebuah daerah yang kecil seperti Paduka Seri Cina menjadi ‘raja’ di Jeram, kawasan Selangor sekarang. Yusoff Iskandar,  ‘Masyarakat Melaka 1400-1511 T.M. dengan Tinjauan Khusus Mengenai Orang-Orang Asing’, dalam Malaysia: Sejarah dan Proses Pembangunan, Persatuan Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur, 1979, hlm. 48-49. Sulatus salatin, A. Samad Ahmad, Kuala Lumpur, 1978, hlm. 87-88

[7] Memandangkan segala keterangan di atas, nyatalah nama Selangor telah ada sebelum Kurun Masehi 15. Selangor yang dimaksudkan oleh keterangan di atas ialah Kuala Selangor sekarang ini di mana bermulanya politik negeri. Kata-kata ini tidak siapa yang dapat menafikan kerana segala bukti yang membenarkan bahawa di Kuala Selangorlah bermulanya pentadbiran negeri itu masih terdapat hingga sekarang.

[8] R.O Winstedt, A History Of Malaya, Marican & Son, Kuala Lumpur, 1962, hlm 144

[9] Sel. Sec. 1138/85

[10] Gullick (1981), “Sistem Politik Bumiputera Tanah Melayu Barat. Kuala Lumpur: DBP, hlm. 73-75

[11] Ibid, hlm. 164

[12] Ibid,