Peta Negeri Selangor

Peta Wilayah-Wilayah di Negeri Selangor

Negeri Selangor ialah sebuah kerajaan baru di Tanah Melayu berbanding dengan kerajaan-kerajaan yang lain seperti Kesultanan Melayu Melaka, Kerajaan Pahang, Terengganu dan Kedah. Mengikut sejarah, ibu negeri Selangor pada zaman dahulu terletak di mana Yang Dipertuan Negeri bersemayam bersama-sama rakyat dan orang-orang besarnya. Dari Sungai Selangor, kerajaan ini telah berkembang meliputi lima buah sungai yang besar dan disatukan atas dasar melantik “Orang Besardi setiap jajahan yang patuh kepada Yang Dipertuan Negeri. Dengan penyatuan itu maka wujudlah Negeri Selangor dan jajahan takluknya (merujuk kepada Sungai Bernam, Sungai Selangor, Sungai Kelang, Sungai Langat, Jugra).[1]

Beberapa tempat yang terdapat didalam negeri Selangor sekarang ini seperti Klang, Jeram, Selangor (Sungai Selangor) telah wujud pada kurun tersebut namun begitu ianya diperintah oleh wakil Sultan sahaja.[2] Ianya merupakan jajahan takluk Kesultanan Melayu Melaka sejak kurun ke-15 lagi, yang kemudiannya diganti oleh kerajaan Johor selepas tahun 1511 masihi.[3] Pada abad ke-17 dan ke-18, orang Bugis telah datang ke rantau ini akibat daripada berlakunya peperangan dengan Belanda pada 1667 masihi. Bugis telah terlibat secara mendalam dalam pergolakan politik kerajaan Johor pada abad ke-18 dan sebenarnya telah membuka sebuah penempatan di Jeram dan Langat di mana mereka menjalankan perniagaan dengan Melaka. Penempatan ini telah berkembang dan akhirnya seorang anak Raja Bugis (Raja Lumu)[4] dilantik sebagai Raja Selangor dan dikemudian ditabal sebagai Sultan Selangor yang pertama.[5]

Lazimnya kedatangan awal mereka dirakamkan pada awal abad ke-18 melalui kehadiran keturunan bangsawan Bugis lima bersaudara,[6] iaitu Daeng Parani, Daeng Manambun, Daeng Marewa, Daeng Cella’ dan Daeng Kemase.[7] Namun bersandarkan kepada pandangan Andaya, kedatangan orang-orang Bugis dan Makasar lebih jelas pada abad ke-17 iaitu setelah kota Makasar jatuh ke tangan Belanda. Bahkan seorang bangsawan Makasar yang bernama Daeng Mangika telah terlibat dalam peperangan di antara Johor dengan Jambi pada sekitar tahun 1679. [8]

[1] J.M. Gullick, Sistem Politik Bumiputera (Kuala Lumpur, 1970), hlm. 149-150.

[2] Pada zaman Sultan Alauddin Shah – Sultan Pertama Johor Lama (1529-1564), pembesar di Klang bergelar Mandulika manakala Selangor bergelar Sri Akar Diraja – Lihat Wintedt, R.O (1934), “A History Of Selangor”, JMBRAS. Vol XIII, pt. III, hlm. 1; manakala ketika kesultanan Johor berpusat di Riau-Lingga wakil Sultan di Klang bergelar To’ Engku Klang pula.

[3] Zakiah Hanum, Asal-usul Negeri-negeri di Malaysia : Negeri Selangor (Petaling Jaya : Times Books International, 1989), hlm. 74-75

[4] Perlantikan Raja Bugis, walaupun pada dasarnya terdapat satu pendapat yang sama tetapi mempunyai perbezaan tentang orang yang sebenarnya bertanggungjawab dalam perlantikan itu menurut :

Barbara Watson Andaya (yang menggunakan sumber Belanda sezaman), Raja Lumu ditabalkan di Kota Lumut, Perak pada 1766M. (“The Installation of the first Sultan of Selangor in 1766M” dalam JMBRAS, vol.XLVII, Pt. 1, 1974).

[5] Khoo Kay Kim, Selangor Dahulu dan Sekarang (Kuala Lumpur : Persatuan Muzium Malaysia, 1985), hlm. 14-15.

[6] Berdasarkan catatan Tome Pires dalam Summa oriental disebutkan bahawa pelaut-pelaut Bugis dan Makasar sudah mulai mengunjungi Melaka pada tahun 1511, tetapi jumlah mereka masih sedikit berbanding dengan bangsa-bangsa lain. Lihat Tome Pires. 1944,The Suma Oriental, translated and edited by Armando Cartessao, London. Selain itu, Sejarah Melayu juga menyebut bahawa pada masa pemerintahan Sultan Mansur Syah terjadi suatu penyerbuan ke atas Melaka oleh seorang yang dikatakan berasal dari Tanah Makasar, yang namanya ditulis dalam huruf jawi s-m-r-l-w-k. (Semerluki atau Samarluka). Keterangan lanjut, lihat W.G. Shellabear. 1975. Sejarah Melayu. Kuala Lumpur, Cet. ke-19. Kemudian, diandaikan nama sebenarnya tokoh ini adalah Karaeng Sama ri Lukaiaitu Raja Bajau dari Luwuk yang barangkali merujuk kepada tokoh Karaeng Bayo yang disebut dalam tradisi tentang pengasasan kerajaan Makasar yang bernama Goa. Lihat Christian Pelras. “Penghijrahan dan Penyesuaian Orang-Orang Bugis di Johor: Suatu Proses Perubahan Budaya”, t.pen., 1991, hlm. 4.

[7] Tentang ke-lima-lima salasilah tokoh ini dan hubungannya dengan raja-raja Luwu’, sila lihat J. Noorduyn, 1988,“The Bugis Genealogy of the Raja Muda family of Riau-Johor”, JMBRAS, 61 (2): 63-92. Dua lagi tokoh Bugis adik beradik iaitu Daeng Manommpo dan Daeng Mattimo yang berasal dari Soppeng, jua memainkan peranan penting pada waktu itu dalam kancah politik Melayu. Lihat Leonard Y. Andaya, 1975, The Kingdom of Johor (1641-1728): Economic and political developments, Kuala Lumpur, hal. 228-240. Di Perak, pada masa yang sama, tersebut pula seorang Bugis yang bernama Daeng Sulili. Sebahagian pendapat mengatakan mungkin dia adalah sepupu kepada Bugis lima bersaudara. Lihat Abdul Halim Nasir, 1977, Sejarah Perak, Siri Pertama Zaman Prasejarah hingga Zaman Kedatangan Pengaruh Orang Luar, Kuala Lumpur, hal. 176-189. Pada akhir abad ke-18, diberitakan pula bahawa sekelompok Bugis telah berpindah dari kepulauan Riau dan pada tahun 1783 mereka menetap di Linggi. Lihat Hamid Abdullah, 1984, “Perubahan Sosial di Kalangan Masyarakat Keturunan Bugis di Linggi dan Kesannya ke atas Masalah kepemimpinan”, Tesis Ph.D., Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hal. 42.

[8] Pada abad ke-17 sudah terdapat pemukiman orang Bugis di Semenanjung Tanah Melayu. Pada tahun 1678 orang Bugis dan Makasar telah menetap di Klang. Pada tahun 1703 terdapat 600 orang Bugis (tidak terhitung perempuan dan anak-anak) yang datang dari Selangor dan menetap di Kuala Linggi, Negeri Sembilan. Kewujudan orang-orang Bugis dalam bilangan yang ramai di Selangor telah menimbulkan kebimbangan di pihak Belanda. Lihat Leonard Y.Andaya, The Kingdom of Johor (1641-1728): Economic and political developments, Kuala Lumpur, 1975, hal. 200-201.