Tunku Kudin, Wangsa Mahkota Selangor, Waris dan Kerabat Diraja Negeri Selangor

D.Y.T.M Raja Muda Kedah – Tunku Dhiauddin ibni Alamrhum Sultan Zainal Rashid I

Pada tahun 1870 Paduka Sri Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Tengku Panglima Besar Abdullah menyerahkan pentadbiran negeri kepada menantunya, iaitu D.Y.T.M Raja Muda Kedah – Tunku Dhiauddin ibni Alamrhum Sultan Zainal Rashid I @ Tengku Kudin dari Kedah dengan gelaran Wakil Yamtuan. Tunku Kudin kemudiannya menubuhkan sebuah Pasukan Polis. Dalam tahun 1871 telah merekrut dua orang pegawai Eropah – seorang Belanda bernama Van Hagen dan seorang Italy bernama Cavaleiri. Pasukan Polis tersebut mengandungi 30 orang Eropah dan Serani serta 80 orang sepoi India. Tengku Kudin adalah rakan sepakatan Yap Ah Loy, Kapitan Cina waktu itu. Dalam tahun 1872, Tengku Kudin menempatkan sebahagian besar anggota Pasukan Polisnya di Kuala Lumpur bagi menghadapi ancaman Syed Masyhur yang juga menjadi musuh ketat Yap Ah Loy. Kuala Lumpur ditawan oleh Syed Masyhur dalam bulan Ogos tahun yang sama. Pasukan Tengku Kudin telah diserang hendap oleh satu lagi kumpulan penentang yang diketuai oleh Raja Mahadi. Cavaleiri dan 20 orang anggota pasukan Tengku Kudin terbunuh. Ah Loy terpaksa melarikan diri dari Kuala Lumpur. Sementara itu Van Hagen dan 40 anggotanya ditawan dan dihukum bunuh di Kuala Lumpur. Penubuhan Pasukan Polis ini bertitik tolak daripada perang saudara di Negeri Selangor.

Bila Davidson dilantik sebagai Residen British dalam tahun 1874, salah satu tindakan utamanya ialah menubuhkan Pasukan Polis. Pembentukan Pasukan Polis diserahkan kepada seorang pegawai muda yang bernama Harry Syers. Dalam bulan Julai 1875, beliau dilantik sebagai Penguasa Polis dan Penjara Selangor. Menjelang Oktober 1878 anggota Pasukan Polis Selangor meningkat ke angka 270 dan kesemuanya adalah orang Melayu. Balai-balai polis jua didirikan di Klang, Kuala Lumpur, Damansara, Kubu Lama, Sungai Pelong, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Jugra, Kancing, Krian dan Hulu Langat. Pasukan Polis itu dikenali sebagai Pasukan Polis Tentera Selangor (Selangor Military Police Force).

Mulai tahun 1882, Ibu Pejabat Polis Selangor dipindahkan dari Kiang ke Kuala Lumpur yang sedang pesat membangun ketika itu. Balai Polis Central terletak di persimpangan Jalan Pudu dan Jalan Cross tetapi pusat pentadbiran polis Selangor yang diketuai oleh H.C. Syers, terletak di jalan Bluff, tempat terletaknya Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sekarang. Pasukan Polis Selangor pimpinan Syers terus berkembang pesat terutamanya pada akhir tahun 1880-an. Setelah membentuk sebuah pasukan polis yang cekap di Selangor.
Syers diarahkan ke Pahang untuk membantu menubuhkan sebuah pasukan polis di negeri itu.

Sumber :
– Penelitian
– Laman sesawang PDRM – rmp.gov.my