Tags

TITAH UCAPAN
PADUKA SRI SULTAN SIR HISHAM’UDDIN ALAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN SIR’ ALA’UDDIN SULEIMAN SHAH
SEMPENA MENYAMBUT TAHUN BARU 1952

Paduka Sri Sultan Hishamuddin Alam Shah

Sememangnya kita sangat sukacita dapat berpeluang pada masa ini, menyeru ucapan tahun baru kita kepada sekalian yang bermastautin dalam Negeri Selangor ini khasnya, dan semenanjung tanah melayu amnya. Tahun lama itu yang penuh dengan pengharapan dan kebimbangan, kejayaan dan kekecewaan telah tamat dan hapus dan sekarang kita sekalian menentang masa yang akan datang dengan perasaan yang akan memperolehi cita-cita kita, dan dengan keyakinan kita sebagaimana yang telah lalu, maka dapatlah kita melepaskan beberapa kesengsaraan dan dengan pertolongan Allah maka lebih-lebih lagi Berjaya kita sekalian didalam tahun ini.

Banyak perkara-perkara yang kita patut menerima syukur. Sungguh pun pertalian sekalian bangsa dalam dunia pada waktu ini muram dengan awan peperangan dan di negeri Selangor ini kita masih menangung kesusahan darurat kerana penceronohan dari puak-puak penjahat yang mencuba dengan sedaya upaya bagi menyekat kemajuan kita. Sungguh pun masalah tentang kekurangan rumah-rumah, sekolah-sekolah dan rumah-rumah sakit belum lagi di sempurnakan semuanya, tetapi jika kita adakan suatu kira-kira untung rugi dan di hishaf keadaan itu dengan jalan kira-kira ini nescaya kita dapati lebih untung dan rugi. Sebabnya ialah harga getah dan bijih yang tinggi pada masa sekarang telah mendatangkan kemakmuran kepada segala penduduk-penduduk negeri walau miskin sekali pun. Dan jua bangunan-bangunan raya telah beberapa banyak di dirikan serta pelbagai-bagai perkhidmatan-perkhidmatan raya telah diperelok lagi.

Kekayaan kita yang sebenarnya ialah kanak-kanak negeri kita sendiri. Bagi untuk kanak-kanak kita ini akan di sediakan lagi beberapa buah sekolah-sekolah serta guru-guru dan bagi orang-orang peringkat tua, kita akan buka sekolah-sekolah menyesal pada tahun ini.

Kesemuanya ini telah didapati dengan kerjasama tuan-tuan sekalian. Jika kesemua kita bersama-sama melangkah kehadapan tentulah kurang merbahayanya. Segala masalah-masalah ini nescaya dapat kita sempurnakan dengan kuasa Alllah, jika kita perbuat dengan yakin dan dengan bersungguh-sungguh hati. Oleh itu marilah kita mara bersama-sama dengan hati yang berani dan tetap menuju di atas cita-cita kita serta beriktiar mencuba dan mencari kebahgian dengan tidak sedikit pun menaruh perasaan tewas.

Kita lafazkan kepada tuan-tuan sekalian keriaan dan kesejahteraan dalam tahun baru ini. Kita ucapkan juga terima kasih kepada sekalian yang telah berkhidmat kepada negeri ini, iaitu pegawai-pegawai negeri dan ahli-ahli pasukan kawalan negeri serta juga kepada pegawai yang bukan rasmi seperti tuan-tuan peladang getah, ahli-ahli perlombongan, ahli-ahli peniaga dan orang-orang buruh yang telah menyempurnakan kewajipannya masing-masing dengan tenang, sungguhpun mereka-mereka itu selalu menentang bahaya.
Kita sudahi dengan doa, Allah Peliharakan kita sekalian.

Sumber : Arkib Negara