Tengku Idris Shah Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Dilantik Sebagai Raja Muda Selangor

Pada hari ini 14 Mac 1970. Y.A.M Tengku Idris Shah anakanda sulung Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah dilatik dengan rasminya menjadi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor. Istiadat yang berlangsung di Balai Rongseri, Istana Alam Shah, Kelang disaksikan oleh kira-kira 500 orang terdiri daripada pembesar-pembesar negeri, dhif-dhif kehormat dan orang-orang kenamaan.

Istiadat perlantikkan dimulakan dengan keberangkatan tiba Y.A.M Tengku Idris masuk ke Balai Rongseri diiringi oleh 2 orang pembesar dan nobat telah dipalukan dengan lagu ’Iskandar’. Surat sumpah pertabalan kemudiannya dibaca oleh Y.A.M Tengku Sri Andika Diraja Selangor – Tengku Shaharuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Ala’uddin Suleiman Shah, Penghulu Adat Istiadat Selangor sebaik sahaja Tengku Idris tiba di hadapan Sultan dan Tengku Ampuan.

Tengku Idris kemudian melafazkan ikrar taat setia serta menjunjung duli dihadapan Sultan dan Tengku Ampuan. Seterusnya menandatangani ikrar tersebut dengan disaksikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri, bagi pihak kerajaan negeri, Dato’ Mufti bagi pihak Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor dan Engku Panglima Diraja bagi pihak Orang-Orang Besar Selangor.

Istiadat menerima keris kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor daripada Sultan. Serentak itu juga tembakan meriam sebanyak 11 das telah dilepaskan.

Telah menjadi adat istiadat setelah selesai Istiadat Menjunjung Duli, penerima perlantikan dan gelar harus melakukan adat menyorok selama 7 hari selepas menjunjung duli. Demikian kian lah dengan Negeri Selangor, harus meninggalkan negeri dalam tempoh larangan. Dalam tempoh larangan ini dilarang melihat wajah ataupun gambar Sultan samada dalam bahan bercetak seperti surat khabar atau majallah, ataupun di media lain seperti tv atau internet.

Mengadap semula selepas tempoh larangan. Selepas bersembunyi dalam tempoh larangan selama tujuh hari kembali mengadap Sultan di istana dengan membawa persembahan.

Sumber : Hari Ini Dalam Sejarah – Jabatan Arkib Negara.