Mahkota Diraja Selangor, Mahkota LelengRaja Muda Suleiman Ibni Almarhum Raja Muda Musa, merupakan cucunda kesayangan Almarhum Paduka Sri Sultan Sir Abdul Samad Ibni Almarhum Tengku Panglima Besar Abdullah yang telah diisytiharkan sebagai Sultan Selangor ke-V di Istana Jugra @ Istana Sedang Masa.

Majlis perisytiharan itu telah dihadiri oleh para pembesar negeri dan turut dihadiri oleh William Hood Treacher – Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Istiadat pertabalan Raja Suleiman sebagai Sultan Selangor ke-V telah diadakan pada tanggal 22 Oktober 1903 di Istana Mahkota Puri Kelang, dengan gelaran Sultan Ala’uddin Suleiman Shah.

Baginda merupakan Sultan yang pertama semasa pertabalan memakai Mahkota yang bertatahkan Intan Berlian. Sebelum ini Paduka Sri Sultan yang ditabalkan hanya memakai sejenis songkok cara Bugis yang disebut Songkok Leleng (Liling).

Mahkota Leleng ini diperbuat semuanya dari emas yang berasal dari Bugis. Disebabkan di dalam Islam orang lelaki diharamkan memakai barang-barang kemas maka Mahkota ini turut dipecahkan oleh Shahibul Fadzillah Tuan Sheikh Ab. Ghani, seorang ulama Islam dari Bima Sumatera yang menjadi guru kepada Paduka Sri Sultan Muhammad Shah iaitu Sultan Selangor ke-3.

Pada masa Sultan SirAbdul Samad, baginda hanya memakai tanjak dari kain sutera dari Bugis sahaja. Apabila pertabalan Sultan Ala’uddin Suleiman Shah ini hendak dilangsungkan sebuah Mahkota telah ditempah daripada seorang tukang pandai jawa (Encik Hasan dan Encik Mat) dengan harga $ 12, 000.00.

Sumber :
Kesentosaan Takhta Selangor – 1937