Sejarah penubuhan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bermula pada tahun 1904 ketika era pemerintahan Paduka Sri Sultan Ala’uddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa yang sememangnya menyokong penuh didalam pembangunan negeri bagi meneruskan segala pembangunan negeri bagi memberikan kesejahteraan rakyat dan ekonomi semasa era almarhum nenda baginda lagi iaitu Paduka Sri Sultan Abdul Samad.

Bertitik tolak dari sebuah sekolah teknik yang dikenali sebagai Sekolah Teknik Treacher di Weld Road (kini Jalan Raja Chulan), Kuala Lumpur yang mengambil sempena nama Sir William Treacher, Residen General Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Hasrat penubuhan sekolah ini pada awalnya adalah untuk melahirkan tenaga kerja dalam bidang teknikal iaitu Pembantu Teknik untuk berkhidmat di Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Keretapi, Tanah Melayu. Selaras dengan cadangan yang dibuat oleh Jawatankuasa Penasihat Sekolah Teknikal dan Jabatan Pendidikan sebuah Maktab Teknikal baru dicadangkan dibina di atas tanah yang diberikan oleh kerajaan seluas 47 ekar. Rancangan pembinaan Maktab tersebut tertangguh akibat Perang Dunia Ke Dua.

Pada tahun 1942 Sekolah Teknik Treacher telah dinaikkan taraf menjadi Maktab Teknik pada tahun 1951. Maktab ini telah dipindahkan di kawasan seluas 47 ekar di Jalan Gurney (kini Jalan Semarak), Kuala Lumpur. Pada 1 Mac 1955 Maktab Teknik yang baru dibuka secara rasmi oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray. Maktab Teknik telah mengendalikan kursus Kejuruteraan di Peringkat ikhtisas bertaraf ijazah pada tahun 1960an. Pelajar-pelajarnya menduduki peperiksaan ikhtisas anjuran Institution of Civil Engineers dan Institution of Mechanical Engineers, United Kingdom untuk menjadi jurutera.

Dari Maktab Teknik inilah lahirnya keputusan Jawatankuasa Perancangan Pendidikan Tinggi untuk menaik tarafkan kepada Institut Teknologi sebagai usaha untuk menyediakan tenaga profesional di dalam bidang teknologi kepada perkembangan ekonomi negara. Pendidikan tinggi di dalam bidang teknologi adalah salah satu agenda negara dalam menggerakkan ekonomi dan kesedaran bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja di bidang ini di kalangan anak tempatan. Menjelang 1 April 1975 institut ini secara rasminya dikenali sebagai Universiti Teknologi Malaysia.

Pada 3 Disember 1977 dalam konvokesyen pertamanya, Universiti Teknologi Malaysia telah mengeluarkan graduan sulungnya seramai 65 orang. Penganugerahan ijazah sulungnya ini telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, Canselor pertama Universiti Teknologi Malaysia.

Pada 1 September 1989 UTM Skudai diisytiharkan sebagai kampus induk manakala kampus di Jalan Semarak sebagai kampus cawangan. Sejak itu UTM terus berkembang dan sehingga kini merupakan penyumbang utama sumber tenaga negara dalam bidang teknologi dan kejuruteraan.

Sumber :
– Sejarah UTM
– Google