Tags

sultan_s_palace__klang.jpg
Telah ditetapkan pada 13 Maharram 1347 bersamaan 2 Julai 1928 dengan Titah Paduka Sri Sultan Selangor yakni Almarhum Sultan Sir’ Ala’uddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa yang akan diamalkan didalam Negeri Selangor Darul Ehsan.

Sambungan Peraturan Nasihat Bagi Ikatan Raja-Raja dan Panduan Orang Besar bahagian kedua (2)

Sesungguhnya hendaklah Ketua’an dan mereka sekalian baik lelaki dan perempuan apa bila menjalankan nasihat dan muafakatnya maka mahulah dengan tertib kelakuan nya dan serta dengan sabarnya mendengar butir-butir. Fikiran yang dikeluarkan oleh masing-masing itu dan hendaklah menjauhkan daripada pertengkahan dan demikian jua perkataan yang memberi kechil hati kepada masing-masing itu adanya.

TENGKU PANGLIMA BESAR
Maka ialah menyempurnakan titah perintah daripada Raja Keraja’an dan Ketua’an dalam mesyuarat Orang-Orang Besar.

TENGKU PANGLIMA RAJA
Maka ialah menerima dan menyampaikan titah bagi Raja Keraja’an serta menjaga Raja dan menjadi A.D.C.

ENGKU SERI PADUKA PANGLIMA DALAM
“Di sebut Engku Panglima Dalam”
Maka ialah menjalankan kemuliaan dan kehormatan bagi Raja Keraja’an, iaitu yang berkenaan dalam Kota Istana. Maka dalam pengetahuan nya apa-apa peraturan Adat Istiadat dalam itu, dan mempersediakan jika ada hal-hal didalam dan mengambil ketahui kerosakan Kota Istana. Maka beberapa orang pula pegawai-pegawai yang menyertai ianya menjalankan hal-hal iyu. Ialah Penghulu Dalam, Penghulu Balai dan pelayan-pelayan Istana Balai. Maka di serta pula Datok Bentara Kiri hal-hal Adat Majlis.

PENGHULU DALAM
”Disebut Datok Dalam”
Maka ialah Ketua biduanda-khadam dalam Kota Istana. Maka memeliharakan apa-apa yang ditetapkan hal-hal didalam dan penasihat bagi orang-orang ramai didalam Kota Istana.

PENGHULUA BALAI
”Disebut Datok Balai”
Maka ialah yang memelihara akan persediaan majlis balai dan peraturan sekalian adap yang naik ke balai itu.

PELAYAN-PELAYAN ISTANA BALAI
Maka ialah panduan dan perusaha apa-apa hal yang diperintahkan dalam Kota Istana.

DATOK BENTARA KIRI
”Disebut Datok Kiri”
Maka ialah panduan kehormat adat istiadat di majlis Raja Keraja’an dan menerima apa-apa perintah yang diaturkan dan ikutan ramai didalam majlis.

DATOK BENTARA KANAN 
”Disebut Datok Kanan”
Maka ialah panduan kehormat orang-orang masuk ke majlis Raja Keraja’an melakukan adat tertib dan menyampaikan apa-apa titah perintah.

Akan bersambung Peranan Gelaran – Ikatan Raja-Raja dan Panduan Orang Besar bahagian ke III semasa Pemerintahan Paduka Sri Sultan Ala’uddin Suleiman Shah.