Sultan, Raja Yang Dipertuan Selangor dan Tengku Ampuan Selangor. Ku Alam

Sultan, Raja Yang Dipertuan Selangor dan Tengku Besar Mariam.
Foto : Dengan Izin Engku Zazlan

SURI SINGGAHSANA ialah isteri Raja Yang Di Pertuan Negeri Selangor yang berhak semayam di Singgahsana Takhta Negeri di samping Baginda.

Sebagai contoh yang jelas antara suri singgahsana negeri dan suri kepada Raja Yang Dipertuan Selangor – Paduka Sri Sultan Ala’uddin Suleiman Shah :-

– Tengku Ampuan Maharum Bt Almarhum Tunku Dhiauddin (Mangkat)
– Tengku Ampuan Zabedah bt Almarhum Sultan Abdul Jalil (Mangkat)
– Tengku Ampuan Fatimah Bt Almarhum Sultan Idris I
– Raja Mariam Bt Raja Ahmad bergelar Tengku Besar Seri Negara
Cik Maimun (Cik Mon) bergelar Cik Anjung Negara
– Cik Bidayah bergelar Cik Puri Negara

* Harus diingat bahawa Almarhum Sultan Ala’uddin Suleiman Shah amat mendalami ilmu adat istiadat negeri yang digunapakai dari adat negeri Perak. Kerna itu lah baginda amat berpegang kepada adat, hilang adat bagaikan roboh tiang-tiang singgahsana negeri. Sebab itu jua tiada gelaran Tengku Permaisuri ketika era pemerintahan baginda.

Namun ketika era pemerintahan Almarhum Sultan Musa Ghiat’ uddin Riayat Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Ala’uddin Sulaiman Shah merupakan Sultan Selangor ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Baginda telah memberikan gelaran Tengku Permaisuri Selangor kepada suri baginda iaitu Sharifah Mastura Binti Syed Shahabuddin dari Kedah. Iaitu merujuk kepada separuh gahara. Kerna ayahandanya merupakan Tengku Suri Kedah – Y.M. Tuan Sayyid Ahmad Shahabudin dan bondanya adalah Tunku Mariam binti Almarhum Raja Muda Tunku Dhiauddin [Tunku Kudin].

Tatkala seorang Raja Pemerintah itu mempunyai isteri yang kedua dan isteri itu jua bergahara penuh mahu pun separuh gahara, wanita itu biasanya akan di iktiraf Raja Permaisuri. Namunpun demikian, Tengku Permaisuri itu tidak disembah kerana dia bukan “Suri Singgahsana”. Hanya Suri Singgahsana itulah yang rasmi; dan wanita itulah yang bergelar Raja Perempuan @ Tengku Ampuan Selangor, dan mematuhi adat zaman berzaman yang berhak untuk disembah.

Adab dan Adat telah meletakkan taraf bagi Suri Negeri yang bukan berbenih raja, hanya boleh ditegur selaku “TENGKU ” cuma didalam bualan lisan; dan pangkat tarafnya selaku ” Permaisuri ” sahaja (yakni, bukan ‘Raja’ Permaisuri) dan beliau itu:-

1. Tidak boleh didudukkan di Singgahsana.
2. Tidak boleh disembah.
3. Tidak boleh dipersebutkan sebagai “Tuanku”.
4. Tidak boleh diperbahasakan ” Patik ” oleh orang-orang bawahan dan sebagainya. Pengakuan mereka terhadap Permaisuri adalah secara berbahasakan diri sebagai ” Hamba Tengku”. Anak-anak raja sekaliannya membahasakan diri kepada Permaisuri cuma secara “saya”*.
5. Tidak boleh dinobatkan secara jawatan atau gelarannya atas apa-apa jua sebab yang berkait dengan kedudukannya sebagai “Permaisuri”.

Hasil Olahan dan penelitian berhubung dari Penulisan YM Raja Kobat Salehuddin Ibni Almarhum Raja Muda Musa Ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz – Artikel berhubung Taraf Raja Perempuan dan Raja Permaisuri [ Dengan Izin ]