AQIDAH SULTAN SELANGOR ALMARHUM SULTAN ALAUDDIN SULEIMAN SHAH : ALLAH ADA TANPA TEMPATBerdasarkan dokumen yang telah ditemui, maka dapat dinyatakan bahawasanya tokoh yang memulakan inisiatif dan usaha memajukan sistem sekolah pondok di Selangor ialah Duli Yang Maha Mulia Paduka Sri Sultan  Selangor Yang Ke-5 iaitu Almarhum Sultan Sir’ Ala’uddin Suleiman Shah (1898 – 1938).

Komitmen dan kesungguhan Almarhum Sultan Sir’ Ala’uddin Suleiman Shah untuk memajukan sistem sekolah pondok di Selangor terserlah semasa almarhum bergelar Raja Muda Selangor lagi selepas mengantikan Almarhum Paduka Ayahandanya iaitu Raja Muda Musa. Baginda dilantik sebagai Raja Muda Selangor pada tahun 1887 seperti dicatatkan oleh J.M. Gullick dalam A History of Selangor 1766 – 1939, MBRAS Monograph No:28, m.s.131).

Sebagai “a devout but progressive Muslim” (ibid, m.s. 133), Raja Sulaiman Shah (nama dan gelaran DYMM Sultan Alauddin Suleiman Shah semasa menjadi Raja Muda Selangor) sangat prihatin terhadap keperluan pendidikan kanak-kanak perempuan. Atas keprihatinan itu, baginda menubuhkan Sekolah Agama Perempuan Bandar di Jugra, Kuala Langat, pada tahun 1895 yang bukan sahaja menyediakan pendidikan agama seperti di sekolah-sekolah pondok biasa, tetapi juga latihan membaca dan menulis, menjahit, menenun, dan memasak.

Selain daripada membiayai penubuhan dan perjalanan sekolah, baginda juga menyediakan kereta lembu yang bertutup untuk mengangkut murid-murid perempuan datang dan pulang dari sekolah. Sekolah ini dirasmikan oleh baginda pada tahun 1905. Dalam buku Sentosa Ketakhtaan, sekolah ini dinyatakan sebagai “Sekolah Melayu Perempuan yang pertama di Selangor sebelum tahun 1898”. Sekolah ini kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Bandar.