Sejak penubuhannya, sekolah ini telah mempunyai tiga motto yang ditulis pada lencana.

Pertama “Pengetahuan Suluh Kemajuan” (1896),
kedua “Usaha Bakti” (1964) dan
ketiga “Bercita-cita Tinggi” (1986).

Bangunan asal sekolah ini didirikan pada tahun 1888 .Ianya terletak di antara Bazaar Melayu ( Wisma Yakin ) dan Ceylon Restoran .
Lapan tahun kemudian (1896 ) didirikan bangunan yang baru di Jalan Raja di mana tanahnya dihadiahkan oleh Nakhoda Yusof . Harga bangunan tersebut adalah lebih kurang $3000.00. Luas kawasan ini lebih kurang 3/5 ekar (185 x 150 K .P) .
Berapa tahun kemudian sebuah ‘Restoran Rakyat ‘ telah didirikan di bekas tapak kedua bangunan sekolah.

Nakhoda Yusof adalah seorang hartawan Melayu yang terkenal dengan panggilan Che’ Soh. Che’ Soh menjadi ketua dan pengurus kepada anak – anak perahu yang berulang alik dari Kelang ke Kuala Lumpur dengan melalui jalan sungai membawa dagangan terutamanya beras. Sekolah ini dinamakan ‘Sekolah Kampung Melayu’ Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Melayu ( Malay Street) di mana sekarang ini menjadi tapak bangunan Wisma KOSAS .

Sekolah ini didirikan kerana pada zaman itu di situlah sebuah Kampung Melayu dibangunkan , terutama oleh orang – orang Melayu yang datang dari Melaka sehingga kampung tersebut dipanggil Kampung Melayu. Sehingga kini kenangan yang tinggal hanyalah Jalan Melaka. Kampung Melayu ini dahulunya terletak di kawasan Masjid Chulia dan Batu Lane.
Pada tahun 1896, Sekolah tersebut telah berpindah ke kawasan baru di Jalan Store (Jalan Raja) dengan nama Sekolah Umum Gombak Lane (di tapak di mana Restoran Rakyat dibina).

Pada 10.1. 1963 , Sekolah Umum Gombak Lane telah berpindah ke bangunan baru di Swettenham (Jalan Raja Salahuddin) dan dinamakan Sekolah Kebangsaan Sultan Hishamuddin sempena nama Baginda Sultan Selangor. Sekolah baru ini mula dibina pada bulan Mac 1962 dan selesai pembinaannya pada bulan November 1962 dengan harga $ 280,000 (Ringgit: Dua Ratus Lapan Puluh Ribu). Reka bentuk bangunan ini telah dicipta oleh arkitek perbandaran iaitu En. S.P. Chow dan kakitangannya.
Tapak bangunan ini pada asalnya adalah Bangunan Pejabat Haiwan Negeri Selangor.
Pada 28 haribulan Julai 1963 pembukaan rasmi sekolah baru ini telah disempurnakan oleh YB Menteri Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu ketika itu iaitu Kapten Abdul Hamid Khan Al – Haj.Turut sama ialah Ketua Pegawai Pelajaran Selangor Encik Tan Seng Chye.

Pada tahun 1948 dengan bantuan kerajaan , guru – guru dan ibu bapa telah mendirikan sebuah bangunan tambahan untuk menampung pertambahan murid. Selepas tahun 1958 , Lembaga Pelajaran Tempatan yang dikelolakan oleh Majlis Perbandaran telah menyewakan sebuah bangunan Kelab di Jalan Spooner ( Jalan Cenderawasih ) dengan kadar sewa sebanyak $ 24.00.

Pada 3 Januari 1961 , pihak sekolah telah menumpang sebuah bangunan Pejabat Majlis Perbandaran di Jalan Store (Jalan Raja) di mana bangunan Dewan Bandaraya didirikan sekarang ini. Sepatutnya pada tahun 1955, sekolah ini mendapat sebuah bangunan baru iaitu di Sekolah Jalan Brickfields tetapi oleh kerana beberapa sebab ianya terpaksa dibatalkan. Pada awal penubuhannya jumlah murid adalah seramai 60 orang. Sepuluh tahun kemudian iaitu pada tahun 1906, jumlah murid sekolah ini telah bertambah kepada 150 orang. Kebanyakan murid-murid tersebut datangnya daripada Kampung Melaka , Kampung Semarang dan Kampung Jawa (Jalan Tun Perak)

Jumlah murid – murid ini tidak bertambah sehingga tahun 1941 .Ramai muridnya
hanya 180 orang sahaja. Ini adalah kerana beberapa sebab :-
a) Perpindahan kampung – kampung tersebut ke Kampung Baharu
b) Kanak – kanak daripada Balai Polis Depoh Lama di Jalan Bluff dipindahkan ke Balai Polis Depoh Baru di Jalan Gurney dan bersekolah di sekolah Princess Road (Jalan Raja Muda)
c) Sekolah ini hanya memperuntukkan murid – murid lelaki sahaja .Hanya pada tahun 1936 , barulah kanak – kanak perempuan mula belajar di situ.
d) Sekolah Jalan Pasar dibuka pada tahun 1936 .Semua murid yang berhampiran telah berhenti di sekolah ini.

Menurut sejarahnya murid – murid perempuan pertama terpaksa dipakaikan cara lelaki dan berambut pendek kerana ibu bapa pada masa itu masih belum mahu lagi anak – anak perempuannya dicampurkan dengan murid – murid lelaki. Bila masa pendudukan Jepun , sekolah ini tidak digunakan. Murid – muridnya bersekolah di asrama murid – murid Melayu di Kampung Baharu. Pada awal 60an, jumlah muridnya mencatat ke angka 600 orang . Hingga sekarang (2007), jumlah murid SK Sultan Hisamuddin Alam Shah ialah seramai 601 orang. Antara bekas muridnya yang telah berjaya menjadi pemimpin ialah Dato’ Ahmad Razali, bekas Menteri Besar Selangor Darul Ehsan dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Selangor Darul Ehsan En. Amir Zahari Nordin, Pengerusi KLCE, En. Baharuddin Isa Pengarah Pos Kelantan , En. Rosli Jalil Penerbit RTM, Raja Fauziah Raja Uda , Bekas Pengerusi Kraftangan.

Mengikut pelan yang ada sekarang ini , luas kawasan SK Sultan Hisamuddin Alam Shah tidak termasuk keluasan tanah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor Darul Ehsan ialah seluas 154 425 K.P. Dari jumlah tanah tersebut sekolah ini mempunyai tiga buah blok yang menampung murid seramai 601 orang dan guru seramai 46 orang. Jumlah dua buah blok tersebut termasuklah tiga buah bilik darjah di blok A dan sebelas buah bilik darjah di blok B. Di samping itu, sekolah ini juga mempunyai kemudahan – kemudahan yang penting dalam memajukan lagi bidang pelajaran di sekolah ini , termasuk sebuah kelas Pra Sekolah, Pusat Sumber , Bilik Mesyuarat , bilik guru, bilik ketua panitia, makmal komputer, makmal sains, surau , bilik sakit, bilik muzik, bilik Kemahiran Hidup, Kelas Pemulihan, Bilik SAL, Bilik Kaunseling dan sebagainya.

Sumber :

Sejarah SK Sultan Hishamuddin