Tags

Galeri Sultan Abdul AzizGaleri Diraja Sultan Abdul Aziz adalah sebuah muzium di Klang, Selangor yang mempamerkan pelbagai koleksi DiRaja Selangor. Sebahagian besar dari pameran Galeri Diraja berkisar mengenai riwayat hidup Sultan Salahuddin Abdul Aziz yang telah memerintah Selangor selama lebih 39 tahun sebagai Sultan Selangor ke-8 dan hampir 3 tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-11.

Galeri ini wujud hasil dari buah fikiran Yang di-Pertuan Agong XI, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Lokasi asal ialah di Jalan Kota Raja, Syahbandaraya (Kampung Jawa) di Klang. Bertempat di dalam kawasan istana, Galeri Diraja dahulunya dikenali sebagai Muzium Kenangan. Ia siap dibina pada tahun 1988 dan dibiayai sepenuhnya oleh baginda. Pada tahun 1996, kerja-kerja pengubahsuaian dimulakan agar premis ini dapat dibuka kepada rakyat jelata.

Galeri Sultan Abdul Aziz, KlangPada tahun 1998, baginda telah berkenan menukar nama Muzium Kenangan kepada Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz mengambil sempena nama kelahiran baginda. Dengan sokongan kerajaan negeri, Galeri Diraja siap diubahsuai dan dibuka kepada umum pada tahun 2000. Setahun kemudian baginda telah kembali ke rahmatullah dan Galeri Diraja telah ditutup buat sementara.

Setelah Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menaiki tahta pada tahun 2001, baginda telah menitahkan agar inisiatif almarhum ayahanda baginda diteruskan. Baginda telah menitahkan agar Bangunan Sultan Suleiman, bangunan yang dibina pada tahun 1909, dijadikan lokasi Galeri Diraja yang baru.

Pada awal tahun 2005, dengan kerjasama dari Jabatan Kerja Raya Negeri dan pihak perunding, kerja-kerja konservasi dimulakan. 17 bulan kemudian, semua kerja-kerja pembinaan dan pengubahsuaian selesai dilaksanakan ke atas bangunan seluas 17,000 kaki persegi ini termasuk pembinaan bangunan pentadbiran dan stor baru.

Cop Mohor dan Tongkat yang digunakan oleh Paduka Sri Sultan Abdul Samad dan Paduka Sri Sultan Ala'uddin Suleiman Shah

Sumber :1. Wikipedia
2. Portal Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz – http://www.galeridiraja.com