Jawatan Mufti belum diwujudkan lagi tetapi dikenali sebagai Sheikul Islam Selangor. Jabatan Mufti Negeri Selangor pada peringkat awal kewujudannya merupakan salah satu bahagian yang terdapat di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Ia dikenali sebagai Bahagian Fatwa.

Tengku Mahmud ZuhdiJawatan Sheikul Islam di Negeri Selangor telah disandang oleh YAng Mulia Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman bin Tuanku Nur bin Raja Belat ibnu Raja Datu al-Fathani al-Jawi. Beliau mula berkhidmat ketika pemerintahan Paduka Sri Sultan Ala’ uddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa pada tahun 1935 hingga tahun 1952. Jawatan Mufti mula diwujudkan pada tahun1953. Tuan Haji Yusuf bin Sahabuddin merupakan Mufti Kerajaan Negeri Selangor yang pertama. Beliau berkhidmat sehingga tahun1968. Pada pertengahan tahun 1968, Dato’ Hj. Ghazali bin Hj. Abdullah dilantik sebagai Mufti Kerajaan Negeri hingga tahun 1973. Kemudian Dato’ Hj. Md Salleh bin Hassan Farid dilantik sebagai Mufti pada tahun 1974. Beliau berkhidmat selama dua tahun. Dato’ Hj. Hassan bin Hj. Omar dilantik sebagai Mufti yang keempat pada tahun 1976 hingga 1985. Dato’ Hj. Ishak bin Hj. Baharom dilantik sebagai Mufti Kerajaan Negeri Selangor mengantikan Dato’ Hj. Hassan pada Julai 1985 hingga November 1997. Beliau berkhidmat selama 12 tahun. Mufti keenam Dato’ Hj. Mohd. Tamyes bin Abd. Wahid dilantik pada 16 Mac 1998 dan masih berkhidmat hingga kini.

Sebelum tahun 1985, hanya terdapat dua orang kakitangan sahaja yang berkhidmat di Jabatan Mufti iaitu Mufti dan seorang pemandu. Segala urusan pentadbiran dan kewangan di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Selangor. Jawatan Timbalan Mufti diwujudkan pada tahun 1991. Jawatan ini diwujudkan bagi membantu Mufti dalam menjalankan tugas mengenai Hal Ehwal Islam sesuai dengan perkembangan semasa. Timbalan Mufti yang pertama ialah Tuan Hj. Jamaluddin bin Hj. Omar. Beliau berkhidmat sehingga Disember 1997. Tuan Hj. Abdul Majid bin Omar merupakan Timbalan Mufti yang kedua. Beliau dilantik pada 2hb Januari 1998 dan masih berkhidmat hingga kini.

Namun pada tahun 1996, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan Pekeliling mengenai pengasingan Bahagian Fatwa daripada Jabatan-Jabatan Agama Islam setiap negeri di Malaysia termasuk Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, proses pengasingan tidak dapat dilakukan dengan serta merta kerana masih kekurangan kakitangan. Oleh itu, Bahagian Fatwa masih lagi bergantung kepada Jabatan Agama Islam Selangor dari segi pentadbiran dan kewangan.

Pada November 1996, jawatan Pegawai Hal Ehwal Islam mula diisi, diikuti Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan) pada 2 Mei, 1997 serta dibantu oleh beberapa orang kakitangan kontrak. Bermula pada akhir 1997, jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Opersi), Pembantu Tadbir Rendah, Penolong Pegawai Tadbir, Pembantu Am Rendah, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam dan Pembantu Hal Ehwal Islam mula diisi sepenuhnya oleh Bahagian Perkhidmatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Perancangan untuk menguruskan pentadbiran dan kewangan secara sepenuhnya oleh Jabatan Mufti telah dilakukan sejak pertengahan tahun 1998 lagi. Walaupun pada zahirnya Jabatan Mufti telah berasingan dari Jabatan Agama Islam Selangor tetapi masih berhubung rapat dan bekerjasama dengan Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Selangor dalam menangani perkara-perkara yang berkaitan dengan ajaran salah (menyeleweng).

Tanggal 22hb. Februari 1999 dengan ehsan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Mufti telah berpindah ke ruang pejabat yang baru di Tingkat 4, Podium Selatan, Bangunan S.S.A.A.S. Maka tertubuhlah Jabatan Mufti Negeri Selangor yang kini diberi tanggungjawab untuk mengeluarkan fatwa dan menangani lain-lain masalah yang berkaitan dengan Agama Islam.

Sumber :
Jabatan Mufti Negeri Selangor