mOHOM sULEIMAN

Almarhum Sultan Alauddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa Ibni Almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Tengku Panglima Besar – Raja Abdullah sedang memegang kitab karangan baginda.

Kehadiran penjajah telah mengubah cara pendidikan dengan memisahkan agama dari kehidupan seharian dan mengubah pendidikan berteraskan kepada bangsa yang terus terkesan sehingga hari ini. Namun usaha mengekalkan pengajian agama tetap di teruskan didalam kalangan masyarakat Islam dengan sokongan Raja-Raja Melayu, Sultan Hishamuddin Alam Shah Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Alauddin Suleiman Shah telah memainkan peranan sangat penting sehingga tertubuhnya Kolej Islam Malaya di atas tanah milik baginda sendiri.

Jikalau di teliti Sejarah Institusi Pendidikan Islam di Selangor bermula sekitar akhir abad yang ke-19. Menurut Frank W.Haines , Inspektor Sekolah Selangor (1894) melaporkan bahawa terdapat tujuh belas (17) buah kelas al-Quran diwujudkan pada tahun berkenaan. Ketika itu, kelas-kelas ini di bawah kelolaan kerajaan negeri Selangor.

Mata pelajaran seperti Ibadah, Tauhid dan Akhlak telah ditambah semasa era pemerintahan Almarhum Sultan Ala’uddin Suleiman Shah iaitu Raja Yang Dipertuan Selangor ke-5 (1898-1938).
Di era pemerintahan baginda, sekolah-sekolah agama mendapat restu yang tidak berbelah bahagi daripada baginda.

Ketika baginda bergelar Yang Dipertuan Muda Selangor baginda telah menubuhkan sebuah sekolah agama perempuan di Kampong Bandar di Kuala Langat dengan pembiayaan baginda sendiri yang pada ketika itu Nenda baginda iaitu Almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Tengku Panglima Besar – Raja Abdullah (1857-1898) menjadi Raja Yang Dipertuan Selangor.

Madrasah Awamiah (1930) telah ditubuhkan di Kampung Sepintas, Sabak Bernam yang merupakan sekolah terulung di daerah Sabak Bernam. Rentetan daripada perisiwa penubuhan sekolah agama rakyat berkenaan, maka tertubuhnya Sekolah Agama Parit Baru pada tahun 1933. Dalam tahun berkenaan jua, sebuah sekolah yang dinamakan Madrasah Marta il Ulum al Diniah telah ditubuhkan di Bandar Diraja Klang.
Madrasah Parit Lima Sungai Besar (1937) telah ditubuhkan dan penubuhan madrasah itu merupakan titik tolak pendidikan arab sepenuhnya apabila almarhum al-Sayyid Abdul Azizi al-Syaimi al-Misri telah membuat pembaharuan dengan menggalakkan pelajar-pelajar berbahasa arab.

Ketika pengunduran tentera Jepun (1946), bilangan sekolah agama semakin bertambah antaranya penubuhan Madrasah Unwan al Saadah di Kanchong Darat , Banting Kuala Langat.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Selangor ditubuhkan oleh anakanda baginda iaitu Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj sekitar tahun 1946, maka secara tidak lansung pengurusan sekolah-sekolah agama telah ditingkatkan demi memartabatkan pendidikan Islam dengan melantik guru-guru agama rendah yang ditugaskan di sekolah agama dari darjah satu hingga darjah lima.

Pada tahun yang sama jua, Madrasah Ahliah Othmaniah untuk kaum wanita telah ditubuhkan di Klang yang diasaskan oleh Allahyarham Tuan Haji Othman.
Madrasah tersebut merupakan sebuah sekolah arab bagi kaum wanita.

Rujukan :

JAIS
KESENTOSAAN TAKHTA SELANGOR