Wawancara dengan Sultan Selangor, SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH sempena keputeraan baginda yang ke-67 kali ini agak berbeza. Wawancara diadakan di Istana Bukit Kayangan, tidak seperti biasanya di Istana Mestika.re_06.1

Lebih istimewa kerana buku coffee table terbaharu baginda bertajuk A Fulfilment telah siap. Buku ini khusus menceritakan tentang Masjid Istana Diraja di Istana Alam Shah, Klang

Sultan Selangor sendiri terlibat secara terperinci pembinaan Masjid Istana Diraja, daripada reka bentuk sehingga hiasan dalaman. Dengan penuh minat dan mendalam baginda menceritakan setiap sisi terutama falsafah pembinaan masjid ini.

Macam lampu ini (chandelier) harganya dekat AS$300,000 (RM900,000) di Dubai. Saya ambil gambar minta orang Kuala Selangor buat dan harganya jauh lebih murah. Orang Melayu memang boleh buat jika diberi tunjuk ajar,” titah baginda dalam wawancara eksklusif itu.

Dalam wawancara lebih dua jam itu, Sultan Selangor menyentuh banyak perkara daripada pengalaman mengembara, minat baginda terhadap sejarah, kedudukan orang Melayu, Islam dan pembangunan negeri serta tidak ketinggalan tentang tohmahan yang baginda terima kebelakangan ini.

Saya tidak akan berhenti. Tohmahan-tohmahan itu tidak menyebabkan saya tertekan terutama ketika di saat-saat mencabar,” titah baginda yang bertegas tidak akan menyerah kalah dan akan terus menyatakan pandangan.

Baginda mengakui peranan sebagai Sultan semakin mencabar berikutan terlalu banyak politiking dan masyarakat yang mudah dibuai sentimen. Antara puncanya, titah baginda kerana “kita semakin kurang menggunakan logik akal dan terlalu banyak mengikut emosi dan perasaan.”

HARI KEPUTERAAN DAN HOBI

Menjelang hari keputeraan Tuanku, apakah perasaan Tuanku sebagai pemerintah negeri Selangor dan sebagai Ketua Agama Islam. Apakah Tuanku mahu terus aktif bekerja atau ada perancangan lain?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya merasa gembira kerana rakyat Negeri Selangor yang berbilang kaum hidup aman dan damai dan dapat menjalani aktiviti-aktiviti masing-masing dengan tidak ada apa sekatan begitu juga saya bersyukur negeri Selangor ini tidak dilanda malapetaka yang teruk dan menyusahkan rakyat jelata dan sebagai Ketua Agama Islam saya bersyukur kerana rakyat yang berbilang bangsa dapat beribadat mengikut agama masing-masing dengan tidak ada sekatan.

Saya akan teruskan kerja kerana saya gemar bekerja dan tidak merungut tentang kerja walaupun terdapat banyak cabaran. Kalau tidak kerja saya akan sakit. Saya suka minda yang aktif, dan tidak suka duduk rehat tanpa melakukan kerja. Saya akan terus bekerja selagi termampu tetapi apabila sakit dan terpaksa pakai kerusi roda, mungkin sudah sampai masa saya berehat. Selagi boleh berjalan, kesihatan masih baik, saya akan teruskan bekerja.

Mungkinkah Tuanku tidak lagi aktif dalam aktiviti lasak?

SULTAN SHARAFUDDIN: Ya, sudah kurang. Saya sudah berusia 67 tahun dan berfikir perlu mengurangkan aktiviti lasak kerana keadaan kesihatan tidak membenarkan saya melakukannya. Tetapi saya masih mempunyai keinginan untuk melawat ke satu tempat yang belum pernah saya lawati iaitu Amerika Latin. Oleh kerana saya tidak boleh tinggalkan negeri terlalu lama maka susah sikit mahu menjelajah ke sana. Bukanlah tujuan berkunjung untuk menikmati kemewahan negeri itu sebaliknya saya mahu pergi lebih lama supaya dapat memahami keadaan negara itu, budaya serta sejarahnya. Namun kerana saya tidak boleh tinggalkan negeri terlalu lama selain daripada usia yang meningkat, maka agak sukar untuk melakukan lawatan ini. Insya-Allah mungkin dalam tahun depan saya akan cuba.

Masa saya menjelajah dunia menggunakan kapal layar dahulu hanya memasuki Panama sahaja. Saya teringin melihat negara Amerika Latin yang lain seperti Brazil, Argentina, Chile, Colombia dan Equador. Kalau boleh saya hendak pergi melalui jalan darat dan tidak suka pergi sekejap-sekejap. Kalau saya hendak pergi ke sesebuah negara sekurang-kurangnya akan menetap dalam 10 hari untuk memahami kedudukan, sejarah serta masyarakat di negara tersebut. Itu adalah cara saya melihat atau merantau ke sesebuah negara.

Bagaimanakah dan mengapa jiwa mengembara muncul dalam diri Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya membaca banyak buku terutama tentang eksplorasi dan mendapati kalau banyak melihat negeri orang lain kita akan dapat memahami, mempelajari dan mendapat banyak idea. Itu adalah perkara yang saya lakukan, seperti tahun ini bila mengembara ke Eropah, saya mendapat khidmat pakar sejarah sebagai jurupandu.

Tahun ini saya pergi Berlin dan St. Petersberg serta duduk selama 10 hari. Saya telah diberikan pengetahuan tentang sejarah di negeri yang saya lawati itu. Saya dengan kawan baik saya telah melawat muzium, melihat kehidupan orang di sana.

Apakah yang Tuanku pelajari daripada melawat tempat sejarah seperti itu?

SULTAN SHARAFUDDIN: Di tempat yang saya lawati, saya mendapat banyak idea. Saya seorang yang sangat menggemari sejarah kerana ia memberi tauladan yang mana buruk dan yang mana baik, selain menyedarkan diri kita. Kalau kita buta sejarah, itu yang banyak menimbulkan masalah sekarang. Ramai orang sekarang yang terlalu mengikut emosi kerana tidak faham sejarah. Saya lihat orang Malaysia ramai yang tidak begitu mendalami sejarah. Kalau tidak mempunyai pengetahuan sejarah yang mendalam, akan mengakibatkan kita tidak patriotik. Itu sebabnya terdapat pihak yang mahu menukar bendera negara Malaysia kerana tidak faham sejarah.Bagi saya sejarah adalah penting.

Saya pergi ke Indonesia dan apabila menaiki teksi (dalam lawatan tidak rasmi), pemandunya tahu dan bangga tentang sejarah negara itu. Mereka bercerita dengan bersemangat. Kalau kita naik teksi di Malaysia kebanyakan pemandu tidak tahu sejarah. Cuba tanya berapa tingkat KLCC, berapa harga pembinaan KLCC, mereka tidak tahu. Orang Indonesia berbangga walaupun hanya seorang pemandu teksi, malahan cerita mereka lebih mendalam serta begitu patriotik.

Tuanku naik teksi ketika di Indonesia?

SULTAN SHARAFUDDIN: Ya, saya naik teksi bukan dahulu sahaja, malah sehingga sekarang pun. Mereka tidak tahu siapa saya, mereka ingat saya orang Indonesia ke, Hong Kong ke, Cina ke. Sebahagian pemandu teksi di Malaysia, kebanyakannya tidak tahu sejarah. Bila ditanya bila Bangunan Sultan Abdul Samad siap dibina, pada tahun berapa, mereka tidak tahu. Itu adalah sesuatu yang menyedihkan kerana tidak tahu sejarah.

Adakah Tuanku merakam catatan ketika mengembara ke luar negara dalam buku dan sebagainya?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya rakam banyak pengalaman saya semasa pengembaraan dalam diari, dan saya akan menerbitkan buku daripada catatan saya tersebut. Tahun ini, saya menerbitkan buku tentang masjid yang dibina untuk kerabat. Masjid yang saya bina ini mengambil contoh daripada pengalaman. Setiap kali mengembara saya banyak melihat kawasan dan masjid yang indah. Oleh itu, saya bina masjid dalam kawasan istana untuk kerabat, untuk bersatu padu selain saling tegur menegur antara satu sama lain. Segala urusan boleh dilakukan di masjid ini daripada sambutan perayaan, hinggalah urusan kematian.

Bukan semua kerabat saya kaya, kalau mereka meninggal dunia dan tempat mereka tidak sempurna bawalah ke masjid ini untuk diuruskan, seperti memandikan jenazah, sembahyang jenazah serta urusan pengebumian. Cuma satu yang tidak dibenarkan iaitu sembahyang Jumaat sebab sudah terdapat masjid yang lebih tua yang terletak berdekatan. Selain daripada itu boleh digunakan untuk sembahyang waktu. Ketika saya belajar di luar negara, istana mereka terdapat ruang untuk bersembahyang jadi itu yang saya lakukan. Ini adalah antara idea yang dipelajari apabila berada di luar negara. Yang elok kita bawa balik, apa yang tidak elok usahlah bawa balik.

Mungkin terdapat negara yang dilawati meninggalkan kesan kepada Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Susah nak jawab, kerana saya suka semua tempat yang dilawati. Kalau pergi ke tempat yang tidak berapa elok sekali pun saya suka, kerana belajar banyak perkara baru. Saya suka dengan pengalaman dan perkara baru yang ditemui dan agak sukar untuk memilih negara mana yang bagus atau tidak.

CABARAN SEBAGAI SULTAN

Sebagai ketua agama negeri apa masalah dan cabaran yang dilalui kebelakangan ini?

SULTAN SHARAFUDDIN: Sejak kebelakangan ini saya dapati banyak aduan daripada orang Islam, yang mana masih banyak berlaku politiking di dalam masjid. Kalau saya tegur, mereka akan menuduh saya menyebelahi kepada sesuatu parti. Saya bertitah senang sahaja, jangan berpolitik di masjid, kerana ia boleh mengakibatkan perpecahan orang Melayu kita. Kalau pergi masjid, buat cara kita di masjid, dan kalau nak bercakap politik, keluar dari kawasan masjid, cakaplah semahunya. Lepas itu balik semula ke masjid dan sembahyanglah. Itu saja yang saya cakap.

Tetapi malangnya, terdapat pihak yang masih lagi mengikut emosi dan tidak berfikir panjang. Saya cuma cakap jangan buat lagi, kerana ia tidak elok. Saya tidak suka buang pegawai masjid jika buat kesalahan, kerana ia bukan cara saya menyelesaikan masalah. Saya tidak mahu rosakkan periuk nasi orang, tapi mesti dengarlah cakap. Saya bukan tidak suka orang cakap politik atau tidak suka orang politik, malah sebenarnya kuasa saya mengatasi politik. Saya lebih bimbangkan perpecahan orang Melayu.

Jika terdapat waktu paling sukar dan mencabar dalam hidup Tuanku, bilakah masanya?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya suka kepada cabaran. Saya tidak rasa tertekan. Apa saja cabaran dan masalah saya suka selesaikannya. Saya tidak akan merungut jika ada masalah dalam pentadbiran atau urusan negeri. Saya akan mengatasi masalah itu. Sebab itu saya jarang ada waktu rehat dan apabila perlu ke kawasan yang bermasalah, saya tetap akan pergi, kerana itu adalah sebahagian daripada tugas saya. Ini kerana dalam hidup kita, ada waktu senang, ada susah. Kalau masalah itu sukar, ia satu cabaran pada saya untuk menyelesaikannya. Saya tidak boleh menjawab bila waktu sukar dan sebagainya.

Apakah Tuanku merasakan cabaran kini semakin hebat, dan mengapa begitu?

SULTAN SHARAFUDDIN: Ya, memang semakin hebat cabaran, terutama sebagai Sultan Selangor. Saya fikir kita semakin kurang menggunakan logik akal dan terlalu banyak mengikut emosi dan perasaan. Malah saya lihat, ada di antara mereka yang mempunyai ijazah dan berpelajaran tinggi, namun masih terikut-ikut dengan emosi dan tidak menggunakan kewarasan fikiran.

Dalam Tuanku menghadapi cabaran dan dugaan besar, apakah atau siapakah yang menjadi rujukan Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Setiap kali ada masalah, saya akan rujuk kepada Majlis Dewan Diraja atau kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Kalau dalam soal perundangan, saya akan rujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor. Saya juga akan merujuk rakan-rakan rapat untuk mendapat nasihat dan idea. Sebagai contoh, seperti pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, saya akan merujuk kepada Penasihat Undang-Undang dan Ahli Dewan Diraja, yang kebanyakannya bekas pegawai kerajaan.

Ahli Dewan Diraja tidak ada ahli politik kecuali Menteri Besar sebagai Ex-Officio kerana saya mahu kekalkan majlis tersebut berkecuali. Kalau ada masalah dalam soal pelantikan, saya mempunyai ramai orang sebagai penasihat. Kalau berkaitan agama saya minta nasihat MAIS dan kalau hendak lebih terperinci, saya minta nasihat daripada Mufti. Contohnya dalam isu pluralisme dan liberalisme agama, MAIS, JAIS dan Mufti adalah penasihat saya. Draf teks ucapan, saya minta disiapkan seminggu lebih awal. Terdapat beberapa peringkat untuk pemantauan sehinggalah ucapan itu sempurna. Saya tidak melakukannya secara mudah, dan ia perlu dilakukan dengan teliti serta mendapat pandangan pelbagai pihak.

Bagaimana rujukan daripada kerajaan negeri?

SULTAN SHARAFUDDIN: Ucapan saya bukan disediakan oleh kerajaan negeri. Mereka hanya dirujuk untuk dapatkan fakta sahaja seperti berapa jumlah masjid dan surau serta lain-lain perkara.

Kenapakah Tuanku menyediakan semua sendiri?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya tidak ada pasukan penyelidik. Kakitangan Pejabat Sultan Selangor akan mengumpulkan maklumat. Saya membuat ucapan sendiri kerana kalau orang lain buat, takut ada udang sebalik batu. Saya tidak ada agenda tersembunyi, ucapan saya untuk menasihati rakyat. Sebab itu kadang-kadang saya berasa sedih dan benci kalau ada orang kata saya menyebelahi mana-mana parti. Apa ni! Saya tidak ada kena mengena dengan perkara itu. Saya cakap apa yang penting untuk Islam dan bangsa Melayu dan perpaduan antara kaum. Saya cuma memberikan nasihat secara ikhlas kepada rakyat Selangor.

Tuanku kelihatan selalu ditohmah dalam segenap aspek tetapi Tuanku masih terus berani melahirkan pandangan.

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya tidak akan berhenti. Tohmahan-tohmahan itu tidak menyebabkan saya tertekan atau menyerah kalah, terutama ketika di saat-saat mencabar. Saya telah memikirkan perkara ini, serta menanam keazaman pada saat mengangkat sumpah sebagai sultan. Saya juga berjanji dengan Almarhum Ayahanda, sebelum beliau mangkat dan memberi wasiat kepada saya supaya memelihara Islam, Melayu, jaga perpaduan antara kaum di negeri ini serta jangan ketepikan bangsa Melayu. Itu amanah daripada Almarhum Ayahanda, dan saya berpegang kepada janji itu. Almarhum Ayahanda menangis dan bimbang semasa memberi wasiat tersebut kepada saya. Beliau tidak mahu saya jadi sultan yang berkhayal saja, main-main. Beliau mahu saya serius melakukan tugas, dan saya beritahu akan lakukan yang terbaik.

PERPADUAN MELAYU

Dalam soal perpecahan Melayu yang seperti sudah terlalu teruk dan tidak ada perubahan, apakah nasihat Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Mungkin orang Melayu sangat mudah dipengaruhi, mungkin akibat daripada kempen politik yang sentiasa berjalan hampir setiap hari. Kenapa orang dahulu berfikiran tajam seperti menjadikan Islam sebagai Agama Persekutuan dan sebagainya. Ini menunjukkan kebijaksanaan datuk nenek kita dalam mempertahankan hak dan kedudukan orang Melayu. Mungkin mereka lihat orang Melayu senang dihasut pemikiran dan mudah dipengaruhi. Oleh itu saya harap pemimpin-pemimpin sekarang mesti sedar dan kekal memainkan peranan mereka dalam menyatukan orang Melayu. Tidak mengapa jika kita mempunyai fikiran yang berbeza, tetapi apabila melibatkan Islam dan Melayu mereka perlu bersatu.

Adakah Tuanku melihat perkara melaga-lagakan orang Melayu ini sudah sampai ke tahap melampau sehingga ada yang mendoakan kehancuran orang Melayu lain?

SULTAN SHARAFUDDIN: Mungkin ia sudah ke tahap melampau dan masih belum ada persefahaman bahawa sudah sampai masa untuk orang Melayu berbaik-baik. Saya masih belum melihat sesiapa pun bersungguh-sungguh mengajak orang Melayu berbaik-baik. Orang Melayu sudah berpuak-puak tetapi saya mahu melihat semua orang Melayu bangkit dan berbaik-baik sesama mereka. Kini orang Melayu terlalu mengejar kedudukan dan kebendaan. Saya melihat apabila orang Melayu terperangkap dalam sesuatu isu, mereka perlu bersatu sesama sendiri, insya-Allah mereka akan lebih selamat. Kalau berterusan bergaduh sebegini, habislah orang Melayu. Sekurang-kurangnya saya melihat kita orang Melayu perlu bersatu sebagai umat Islam.

Pada pandangan Tuanku apakah masalah ini boleh diselesaikan?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya percaya bahawa setiap masalah ada penyelesaian. Kalau orang Melayu fikir mendalam dan faham sejarah, mereka tidak akan lakukan perkara ini. Allah kata kalau manusia buat salah, mereka boleh insaf dan bertaubat dan balik jalan yang betul. Kita perlu sedar apabila dah melakukan kesalahan, tetapi jangan asyik mengulanginya, kita perbetulkan balik. Saya juga buat salah, tapi kemudian minta maaf dan tidak buat lagi. Saya perbetulkan balik. Tetapi masalahnya, ahli politik kebanyakannya tidak mahu mengaku salah. Mereka sentiasa menegakkan benang basah. Mereka melakukan kesalahan berulang-ulang. Almarhum Ayahanda selalu cakap, kalau buat salah mengaku sahaja, dan mulakan buku baharu. Tetapi bagi ahli politik, mustahil itu semua akan berlaku.

Tuanku kelihatan sedih dengan keadaan ini tapi bagaimanakah Tuanku melihat hala tuju keadaan ini, ke mana ia akan berakhir?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya tidak boleh bercakap mengenai politik, tetapi terpulang kepada rakyat memikirkannya. Saya cakap, rakyat perlu buat pilihan dengan bijak untuk masa depan. Kita sebenarnya hidup bukan untuk diri sendiri sekarang, tetapi kita hidup untuk tinggalkan kepada generasi masa hadapan. Seperti yang orang dahulu kata, tinggalan kita adalah untuk anak cucu cicit kita, bukan untuk diri sendiri. Kita mesti fikir dengan bijak untuk keperluan generasi akan datang, dan bukannya mengikut emosi, tetapi semua ini terpulang kepada rakyat.

Apakah nasihat Tuanku kepada ahli politik yang cuba memutarbelitkan sejarah?

SULTAN SHARAFUDDIN: Memandangkan pilihan raya akan berlangsung tidak lama lagi, saya harap kita perlu mengekalkan keamanan. Elakkan pergaduhan serta permusuhan kerana ini adalah satu pembaziran dalam bentuk jangka panjang kepada rakyat dan kerajaan negeri. Kita tidak perlu menyakitkan hati, mengeluarkan kenyataan putar belit hanya untuk memperoleh sokongan. Mereka sepatutnya berkhidmat untuk rakyat, serta janganlah bertindak seperti batu api yang akhirnya mencetuskan perbalahan, kerana akhirnya rakyat dan negeri Selangor sendiri yang rugi.

KEDUDUKAN ISLAM

Dalam konteks masalah pluralisme dan liberalisme, apakah yang menjadi kebimbangan Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Almarhum Ayahanda saya dahulu ada beritahu, pastikan orang Melayu kita jangan terpengaruh dengan ajaran sesat yang tidak betul, sehingga mereka tidak boleh fikir mana betul dan mana tidak betul. Sebab itu dalam soal pluralisme, kalau orang Melayu kita senang-senang boleh tukar agama, apa nak jadi pada bangsa Melayu.

Saya ingat orang dulu-dulu, fikiran mereka lebih tajam. Mereka mahukan bangsa Melayu mesti beragama Islam. Terdapat tiga definisi mengenai orang Melayu, beragama Islam, bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan cara hidup orang Melayu. Itu ciri-ciri orang Melayu, tetapi kenapa? Dahulu datuk nenek kita memasukkan perkara ini dalam perlembagaan, kerana tidak mahu orang Melayu senang-senang tukar agama, itu perkara yang sangat penting.

Kenapa orang dulu-dulu letakkan agama Islam sebagai Agama Persekutuan. Ini kerana orang dulu-dulu cuba memelihara orang Melayu, kerana mereka tahu di negara ini terdapat berbilang bangsa dan agama. Jadi kita jangan nak ikut tanpa berfikir mendalam (dalam soal pluralisme dan liberalisme). Saya akan jadi orang pertama bercakap menentangnya.

Saya fikir orang dulu-dulu takut kita orang Melayu senang dipengaruhi. Jadi mereka buat peraturan. Saya lihat sekarang orang muda serta terpelajar, banyak terpengaruh dengan pluralisme dan liberalisme kerana terikut-ikut. Sebab itu perlu dibuat satu garis panduan. Kenapa sultan-sultan terdahulu buat undang-undang, orang Melayu sahaja yang boleh jadi Menteri Besar. Sudah tentu ada sebabnya. Oleh itu, kita mesti tahu sejarah, apakah sebab dan alasan kenapa sesuatu perkara berlaku, bukan ikut hati.

Apakah yang perlu dilakukan oleh orang Melayu dalam menghadapi masalah ini?

SULTAN SHARAFUDDIN: Mereka perlu disedarkan. Saya sering berucap untuk menyedarkan orang Melayu. Bukan berucap tidak setuju begitu saja, tetapi saya beri sebabnya. Kalau orang Melayu kita senang-senang boleh tukar agama, apa nak jadi pada bangsa Melayu.

Dalam membendung pluralisme, liberalisme, LGBT dan sebagainya ada parti politik yang tidak ada komitmen tinggi untuk menyelesaikan masalah ini. Apakah pandangan Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya percaya semua masalah ada penyelesaian, kebenaran akhirnya akan dapat dilihat. Tetapi kita mesti jangan berputus asa. Orang yang memahami masalah itu perlu bersuara dan perbetulkan. Kalau para alim ulama tahu perkara itu salah, jangan senyap sahaja, sentiasa bersuaralah. Saya laksanakan tugas dengan penuh kesedaran, tidak mempunyai sebarang agenda dan percaya jika perkara yang dilaku dan dinyatakan itu betul, saya akan terus bercakap. Bagi saya kalau hidup ini ada agenda tersembunyi dan tidak betul, maka susahlah kita hendak hidup. Ia hanya akan menjerat diri sendiri.

Tuanku berani bersuara tetapi terdapat mereka yang hanya mampu berdiam diri walaupun mempunyai kedudukan untuk bersuara.

SULTAN SHARAFUDDIN: Bagi sesetengah orang, mereka hanya mampu bertindak menyelamatkan diri sendiri dan cuba memilih jalan singkat. Tapi bagi saya lebih baik berterus terang. Kalau benda tu tidak betul hendaklah tegur dan jika perkara itu betul, saya akan tetap dengan pendirian saya. Tetapi jika salah, saya akan mengaku. Kebanyakan orang tidak bersuara. Sebagai contoh, ucapan saya supaya orang Melayu bersatu, bukanlah bermakna apabila bersatu itu mereka akan berperang dengan bangsa lain. Tetapi untuk menjadikan mereka kuat dan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum boleh hidup muhibah dan berpakat. Kalau itu berlaku, kita semua akan maju. Tetapi jika bergaduh dan semua gunakan agama, saya takut akan berlaku malapetaka. Kenapa saya cakap mengenai pluralisme, liberalisme. Ini kerana saya takut akan berlaku malapetaka. Saya bertanya kepada mufti dan beliau menyatakan akan ditimpa malapetaka jika orang Melayu terjebak dalam isu sebegini ,seperti dinyatakan di dalam al-Quran.

SEJARAH, POLITIK DAN KONTROVERSI

Banyak kontroversi yang berlaku sepanjang kepimpinan Tuanku. Apakah dan bagaimanakah Tuanku melalui semua ini?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya akui memang banyak kontroversi yang berlaku dan tidak dinafikan antaranya, pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, isu air dan pelbagai lagi. Begitu juga apabila berucap dalam satu majlis di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mana saya telah menasihatkan para pelajar supaya tidak terlalu berpolitik di dalam kampus supaya mereka boleh tumpukan perhatian pada pelajaran. Namun pesanan ini telah diputarbelit. Walhal nasihat itu hanyalah kerana bimbang kebanyakan yang aktif berpolitik itu pelajar Melayu, yang akhirnya apabila tamat nanti hanya mendapat keputusan sekadar lulus sahaja. Mereka ini perlu berbangga menjadi pelajar universiti kerana ramai lagi yang tidak berpeluang. Bagi saya itu adalah sesuatu yang tidak betul dan perlu menasihatkan para pelajar, apa yang perlu menjadi keutamaan dalam hidup, supaya tidak menyesal di kemudian hari. Saya bimbang nasib anak Melayu. Tetapi mungkin juga pada pandangan saya, orang Melayu terlalu minat dalam politik. Kalau mereka berminat baguslah, tetapi biarlah memilih jalan yang betul. Namun bagi saya, kontroversi sebegini adalah sebahagian daripada cabaran yang perlu dihadapi.

Kebelakangan ini banyak isu melibatkan kerajaan negeri antaranya air dan sampah. Bagaimanakah Tuanku melihat perkara ini?

SULTAN SHARAFUDDIN: Memang banyak isu di negeri ini tetapi saya tidak boleh cakap secara terbuka. Ini kerana nanti ada yang melihat saya cuba masuk campur dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri. Ia melibatkan Menteri Besar dan barisan exco, dan mereka pula dipilih oleh rakyat. Jadi saya hanya bersuara dalam majlis tertentu sahaja, tetapi apabila melibatkan isu-isu yang besar, maka saya perlu bersuara.

Bagaimanakah Tuanku melihat orang muda sekarang, apakah berlaku jurang yang besar dari segi peringkat umur?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya takut orang muda tidak tahu sejarah dan kemudian buat keputusan hanya untuk jangka masa pendek. Takut esok bila sudah menyesal, sudah berlaku, bila kita nak perbetulkan dah jadi susah. Saya harap orang muda yang bijak pandai ini, perlu berfikir secara mendalam dan bukan mengikut emosi. Sekarang ni orang muda sering bercakap tentang soal hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan sebagainya. Memang betul, tetapi perlulah ada batasannya. Kalau mengamalkan kebebasan bersuara tetapi hanya untuk mengata orang, tidak elok juga. Atau membuat fitnah atas alasan hak asasi, ia hanya akan menyusahkan orang lain.

Dalam soal hak asasi manusia, jika keadaan seperti zaman zalim Hitler atau Pol Pot bolehlah bertindak untuk memperjuangkan hak asasi. Kita mesti mempunyai batasan dan jangan guna hak asasi atau kebebasan bersuara untuk menghancurkan negara. Saya mahu berterus terang bahawa saya sedih dengan kejadian rusuhan yang berpunca daripada perarakan dan demonstrasi. Bila polis terpaksa mengambil tindakan, mereka kata polis kejam dan tidak mengamalkan hak asasi. Tetapi apabila perusuh memukul polis, tendang polis boleh pulak. Tidak pula mereka kata melanggar batas dan hak asasi manusia. Bukanlah saya tidak suka kepada hak asasi dan kebebasan bersuara, tetapi yang lebih penting kita perlu ada batas dan etika yang betul.

Mengapakah Tuanku lihat masyarakat semakin bertindak emosi dan tidak lagi bergantung kepada akal fikiran yang waras?

SULTAN SHARAFUDDIN: Mungkin kerana mereka terlalu hendakkan kebebasan dan hak asasi, serta mengejar kebendaan. Mereka tidak fikir panjang, dan sudah tentu mereka tidak begitu faham tentang sejarah dan undang-undang negara. Jika tidak, kenapa ada pihak nak tukar bendera Malaysia. Mesti ada sesuatu yang mengakibatkan mereka bersikap emosi. Kita seharusnya tidak mereka-reka perkara yang tidak perlu. Akhirnya kita hanya terperangkap dengan emosi dan gagal menggunakan logik akal fikiran.

Apakah ini berkaitan dengan kegagalan pemimpin politik itu sendiri?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya tidak boleh cakap banyak mengenai politik. Saya baca semua akhbar dan blog walaupun ramai kawan-kawan kata jangan baca blog. Tapi bagi saya maklumat ialah kuasa, jadi saya perlu membaca semua laman blog dan portal. Saya beritahu kepada kakitangan istana, apa saja dalam blog dan portal yang berkaitan dengan Selangor, cetak dan beri pada saya untuk dibaca. Tapi malangnya, dalam blog dan portal ini, semua yang mereka katakan adalah saya orang UMNO, sedangkan saya tidak menyebelahi mana-mana parti politik. Saya kenal Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan keluarga Tun Razak semasa saya muda, berumur 22 tahun. Ketika berlaku 13 Mei, Almarhum Ayahanda saya ketika itu tidak berada di dalam negeri Selangor.

Tun Razak yang banyak membantu saya. Itu sebabnya saya kenal rapat ahli keluarga Tun Razak. Ada pula mereka yang menyatakan ucapan saya orang UMNO yang buat, Najib yang buat. Hakikatnya Najib ada banyak kerja lain hendak dibuat. Ini seolah-olah mereka cuba menyatakan saya tidak berotak dan tidak tahu buat ucapan sendiri. Saya ada sebutkan kepada Menteri Besar, “apa ni sikit-sikit saya dikatakan orang UMNO di dalam blog”. Saya yakin sekarang kerana beri wawancara kepada Utusan, orang akan kata saya orang Utusan. Padahal pihak Utusan yang minta jumpa. Macam kes Talam dan sebagainya, saya tidak campur tangan. Kalau tidak suka kepada isu pentadbiran, saya akan minta setiausaha sulit menulis surat kepada kerajaan negeri bahawa perkara itu tidak betul. Kalau perkara lebih penting, saya akan tulis sendiri kepada Menteri Besar. Tetapi kalau melibatkan agama, bangsa Melayu dan perpecahan perpaduan, saya akan kritik secara terbuka dalam ucapan, itu prinsip saya. Kalau dalam soal pentadbiran, saya akan tegur Menteri Besar kalau tidak betul, sama ada melalui perjumpaan atau menulis surat, tetapi tidak secara terbuka. Malangnya, terdapat mereka yang salah faham apabila saya menegur tentang Melayu bersatu, maka ada pihak yang kata saya orang UMNO. Itu adalah sesuatu yang saya sangat benci mendengarnya. Pihak ini ikut sedap mulut bercakap tetapi tidak mahu memahami nasihat saya yang ikhlas.

Terdapat pihak yang cuba menggunakan istana untuk kepentingan politik peribadi seperti memanipulasi ucapan Tuanku dan sebagainya. Apakah pandangan Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Dalam ucapan sempena seminar “Tuanku Prihatin Masjid” anjuran JAIS, saya ada katakan, jangan manipulasi kedudukan saya sebagai Ketua Agama Islam Negeri dan saya beri nasihat dengan ikhlas dan secara terus terang. Ramai ahli politik yang mengaku kenal rapat dengan saya untuk mempengaruhi orang lain, bahawa beliau boleh mendapatkan sesuatu melalui saya. Setiap kali membuat lawatan ke daerah-daerah, saya jumpa wakil rakyat di situ. Mereka akan tunggu untuk bersalaman dan sebagainya tetapi tidaklah rapat. Mereka ini kalau hendak menghadap Sultan Selangor hanya diluahkan melalui blog atau suratkhabar.

Di Pejabat Sultan Selangor kita ada prosedur. Kalau hendak menghadap, hendaklah tulis surat kepada Setiausaha Sulit dan nyatakan tujuan hendak berjumpa. Saya akan pertimbangkan permohonan tersebut. Kalau ada kena mengena dengan Selangor, saya bagi jumpa. Pernah berlaku satu ketika dahulu saya beri jumpa seorang ahli politik, tetapi sesudah berjumpa dan keluar daripada istana, mereka cakap lain daripada apa yang dibincangkan. Itu yang bahaya. Kalau cakap betul-betul terdapat kemusykilan, atau saya ada membuat kesalahan, cakap terus terang, dan ikhlas nasihatkan saya. Berjumpa dengan saya dan beritahu apa tujuan sebenar, tapi janganlah apabila keluar istana cakap benda lain. Bila saya jawab balik, dah jadi masalah lain pula. Itu yang jadi masalah, jadi lebih baik tidak payah jumpa. Selain Menteri Besar, jika ada ahli politik yang hendak berjumpa, saya kena panggil Ahli Dewan Diraja sebagai saksi.

Tuanku ada menyatakan mahu melihat negeri Selangor terus maju dan syaratnya kerajaan negeri mesti terdiri daripada mereka yang berwibawa. Kebetulan pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi, apakah nasihat Tuanku kepada rakyat dalam hal ini?

SULTAN SHARAFUDDIN: Bagi saya apa yang perlu rakyat lakukan adalah memilih dengan penuh kebijaksanaan. Saya berkecuali dalam hal ini, kerana kedudukan saya mengatasi ahli politik. Malah Almarhum Ayahanda telah meninggalkan pesan supaya saya, Raja Muda serta waris tidak keluar mengundi supaya kami neutral dan berkecuali. Saya mahu pesan supaya kita semua perlu belajar dan memahami sejarah. Ini penting kerana kita ni mudah lupa. Sejarah yang telah terjadi perlu diingati supaya kita tidak lupa. Malangnya, kini ada pula pihak yang sudahlah tidak mahu memahami sejarah, tetapi mahu pula mengubah sejarah.

SULTAN BERJIWA RAKYAT

Tuanku banyak mendapat maklum balas daripada rakyat dan sudah tentu ia menggambarkan Tuanku rapat dengan mereka. Apakah pandangan Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Ya, saya membaca dan mendapat banyak maklum balas. Ramai yang menulis surat kepada saya dan saya membacanya sendiri. Surat-surat ini bukan saja daripada orang istana atau kawan-kawan, tetapi kebanyakannya diterima daripada rakyat. Saya beritahu kepada Menteri Besar tentang surat yang saya terima mengenai perkara yang menjadi masalah rakyat. Terpulang kepada Menteri Besar untuk mengambil tindakan atau tidak, kerana beliau dipilih oleh rakyat. Kita mengamalkan demokrasi.

Seperti yang Tuanku ceritakan tadi, Tuanku naik teksi seperti orang kebanyakan dan adakah itu adalah salah satu cara mendapatkan maklum balas?

SULTAN SHARAFUDDIN: Ya, memang betul, mana-mana saya pergi tidak ada pengiring polis atau pengawal peribadi. Malah saya pergi luar negara pun tidak bawa sesiapa, hanya seorang diri atau bersama rakan rapat. Kalau sudah tiba ajal, maka jika pengawal penuh sekalipun, kita akan mati juga. Semua terpulang kepada Allah, saya tidak mempunyai musuh. Kalau orang tidak suka kepada saya, apa saya boleh buat. Mungkin saya perlukan orang lain bila sudah tua dan menggunakan kerusi roda. Kerana tidak boleh berjalan, maka saya terpaksa minta tolong.

Patik tertarik cara pemilihan penerima-penerima pingat. Kriterianya nampak begitu teliti.

SULTAN SHARAFUDDIN: Apabila mengambil alih tampuk pemerintahan, saya beritahu kakitangan bahawa Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Selangor bukanlah sesuatu yang boleh diberi secara mudah. Seperti anugerah Datuk mesti umur 45 tahun ke atas. Ahli politik sekurang-kurangnya berkhidmat satu penggal penuh dan pegawai kerajaan mesti lama bertugas di Selangor. Ahli perniagaan, kalau duit banyak itu kehidupan mereka tetapi tidak semestinya boleh mendapat gelaran Datuk melainkan mereka selalu menolong komuniti atau menyumbang untuk kebajikan, seperti Persatuan Bulan Sabit Merah, anak yatim atau lain-lain pertubuhan masyarakat. Untuk tahun ini penganugerahan Darjah Kebesaran adalah sedikit. Saya beri dua Darjah Kebesaran Datuk Seri, satu Darjah Kebesaran Datuk Setia dan 28 Datuk. Maksimum ialah 40, tapi biasanya saya akan beri tidak sampai 30 orang dan bergilir-gilirlah. Kadang-kala ada orang layak, tetapi kalau ada orang yang lebih senior, saya beri dahulu. Biar mereka merasa, orang muda boleh tunggu dulu.

Kalau ada pihak melobi, adakah mereka akan dilayan?

SULTAN SHARAFUDDIN: Mustahil mereka akan dilayan, tetapi memang banyak yang melobi. Tahun ini saya tidak beri kepada ahli politik, kerana hendak berlaku adil. Masa pentadbiran kerajaan sekarang, parti PKR, hanya Menteri Besar dapat anugerah Datuk Seri. Untuk DAP, saya beri kepada Datuk Teng Chang Kim. Tahun lepas saya beri kepada Datuk Hasan Ali dari Pas, kerana beliau telah berkhidmat selama banyak penggal sebagai wakil rakyat. Tetapi pada hari saya anugerahkan beliau Darjah Kebesaran, Hasan dipecat dari parti. Jadi beliau dapat dua berita. Satu berita gembira satu berita sedih. Itu bukan masalah saya beliau dipecat. Kalau saya beri kepada orang UMNO sahaja, mungkin mereka boleh kata saya pro UMNO, tetapi itu tidak berlaku. Saya tidak faham kenapa perlu dituduh begitu. Saya cuba menjadi adil sebaik mungkin. Saya tahu ramai yang layak, tetapi kalau beri terlalu banyak Darjah Kebesaran, ia akan menjadi tidak berharga. Tunggulah, kalau panjang umur dapatlah.

Bagaimanakah Tuanku mahu rakyat mengingati Sultan dan institusi diraja?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya fikir majoriti rakyat masih mahukan institusi raja. Namun ada orang dan pergerakan yang tidak mahu institusi raja. Antara alasannya adalah mereka melihat institusi raja ini sebagai satu penghalangan dan mereka ini mempunyai agenda terselindung. Antara penghalangan yang dilihat mereka adalah seperti yang diperkatakan oleh sepupu saya, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, bahawa institusi raja bukan sekadar lambang, tetapi banyak lagi kuasa yang dimiliki dan boleh dipraktikkan. Selain itu usaha untuk menukar perlembagaan, memansuhkan kedudukan Islam dan kedudukan orang Melayu, sebenarnya perlu mendapatkan kelulusan raja-raja. Itu juga penghalangan bagi mereka. Saya lihat ini antara punca kenapa mereka ada agenda tersembunyi. Namun saya menyerahkan kepada rakyat.

Saya juga difahamkan terdapat orang Melayu sendiri yang tidak bersetuju dengan institusi raja, malah menulis di dalam blog dan sebagainya, mengata akan keburukan raja-raja. Malah ada yang lebih dahsyat dengan mencerca kedudukan raja-raja secara terbuka, berbanding dahulu yang mana masih ada segan silu. Bukan bangsa lain yang memburuk dan menjatuhkan Raja-Raja Melayu, tetapi orang Melayu sendiri. Saya berharap institusi raja ini masih boleh dipertahankan. Selain dari itu, saya berharap kami Raja-Raja Melayu dapat melakukan perkara yang betul dan sepatutnya. Tetapi kalau orang Melayu sendiri yang tidak sedar maka sukarlah keadaannya. Seperti pesanan Almarhum Ayahanda kepada saya, jaga agama Islam, jaga orang Melayu, jaga perpaduan antara kaum, kerana perkara-perkara ini sangat penting untuk dipertahankan.

Akhir sekali apakah harapan Tuanku kepada rakyat Selangor?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya berharap semua orang yang menetap di Selangor dapat hidup bersatu padu antara satu sama lain. Saya juga sangat berharap supaya orang Melayu mesti bersatu kerana jika kita tidak bersatu, dalam apa jua yang dilakukan adalah mustahil untuk kita mencapainya. Hidup juga mesti saling hormat menghormati antara semua kaum, supaya kita boleh berkongsi kekayaan secara saksama.

Selain itu juga saya berasa kurang selesa dengan kedudukan orang bukan Islam bercakap tentang perkara berkaitan Islam. Orang Melayu tidak pernah menyentuh tentang hal agama lain tetapi kenapa mereka nak ganggu hak orang Melayu. Biarlah orang Melayu yang menguruskan hal ini kerana ia melibatkan sensitiviti. Ini bersesuaian dengan kedudukan Islam dalam perlembagaan. Seperti yang saya katakan tadi adalah perlu supaya semua kaum saling hormat menghormati dan bertoleransi supaya kita boleh hidup bersama dalam aman dan harmoni.

Sumber : Utusan Online