Bendera Negeri Selangor Era Sultan Ibrahim Shah

Paduka Sri Sultan Selangor, Sultan Ibrahim Shah yang sangat terkenal dengan Gagah Perkasa telah berjaya merampas semula NEGERI SELANGOR dari tangan Belanda. Kejayaan baginda ini dicapai dengan mendapat bantuan bala tentera Bendahara Abdul Majid dari Pahang dan Raja Haji yang merupakan Yang Dipertuan Muda Kesultanan Johor-Riau-Lingga (1777 – 1784) yang jua merupakan bapa saudara kepada baginda.

Selangor mula dikuasai oleh Belanda pada bulan Ogos 1784. Kekalahan Sultan Selangor berpunca dari kekurangan bala tentera kerana tentera baginda telah ditugaskan membantu Raja Haji dalam peperangan mengusir penceroboh-penceroboh Belanda dari Empayar Johor – Riau. Pencerobohan Belanda di Empayar Johor – Riau telah melanggar perjanjian persahabatan di antara Raja Haji dengan pihak Belanda.

Sebagai membalas tindakan Belanda, Raja Haji telah membatalkan perjanjian tersebut dan membantu Sultan Selangor memerangi penempatan-penempatan Belanda di Melaka. Dalam peperangan ini Belanda mengalami banyak kekalahan dan terpaksa menghadapi kesulitan mendapatkan bekalan makanan. Walaubagaimanapun peperangan ini terpaksa dihentikan kerana kematian Raja Haji dan beberapa orang pahlawan Bugis yang lain pada 18 Jun 1784.

Sungguhpun demikian baginda tidak berputus asa untuk mendapatkan semula Selangor dari tangan Belanda. Dengan bantuan Bendahara Pahang baginda telah menyusun semula segala bala tentera untuk menentang Belanda. Baginda bersama mentuanya iaitu Bendahara Abdul Majid berjaya mengalahkan dan mengusir Belanda dari Selangor.

Dengan kejayaan ini maka tamatlah pengaruh Belanda di Selangor dan baginda berkuasa semula maka berkibarlah semula Bendera Negeri Selangor di atas Bukit Malawati. Tanpa Kemenangan Baginda mungkin tidak akan ada Kesultanan Selangor kini dari Benih Warisan baginda.