Tags

Image

Segala puji bagi ALLAH Subhanahu Wata’ala yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan bagi Nya (pula) segala puji di akhirat, dan Dialah sahaja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam Pengetahuan Na.

Selawat dan sejahtera ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, semulia-mulia kejadian, demikian jua ahli keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan dan muslimin dan muslimat. Semoga memperoleh ihsan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sehingga ke hari kebangkitan.

Dengan segala kerendahan diri, dengan segala kelemahan sifat, menzahirkan setulus kalam dari pancaran mata hati, seikhlas dari denyutan nadi, merafak sembah ‘Dirgahayu Tuanku’ kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Sri Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, Paduka Sri Sultan dan Raja Yang Di Pertuan yang bersemayam di singgahsana takhta Negeri Selangor Darul Ehsan dengan segala kemuliaan dan kebesaran sempena ulang tahun keputeraan Paduka Sri Tuanku kali ke enam puluh tujuh (67) tahun pada 11 Disember 2012.

Wangsa Mahkota Selangor merafakkan sembah, penuh taat penuh setia, bertekad memelihara kemuliaan pemerintahan Paduka Seri Tuanku dengan azam, terus memperkukuhkan tradisi negeri bersultan rakyat beraja; tradisi yang telah diwarisi turun temurun, agar terus subur dan segar, kekal sepanjang zaman, merentas peredaran waktu merentas peralihan masa. Kerna itu jua patik berharap jambatan perhubungan diantara raja dan rakyat dapat di lestarikan mengikut arus perubahan perkembangan dunia mengunakan teknologi sejajar dengan dunia tanpa sempadan dimanafaatkan sebaik mungkin demi mengangkat dan memartabatkan institusi beraja.

Akhirul kalam, Wangsa Mahkota Selangor memohon doa ke hadrat ILAHI, agar Paduka Sri Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj hidup dengan penuh kebahagiaan dan kerukunan serta dianugerahkan segala taufik dan hidayah, kewibawaan dan kebesaran, kehormatan dan kemuliaan, darjat dan daulat.

Semoga di bawah naungan pemerintahan Paduka Sri Tuanku, rakyat berbilang kaum berbilang agama, berbilang budaya kukuh bersatu, hidup penuh harmoni – saling hormat antara satu sama lain. Semoga negeri Selangor Darul Ehsan mencapai kesejahteraan dan kemakmuran serta dilindungi dari mala petaka dan sebarang bencana.

Semoga Paduka Seri Sultan Sharafuddin Idris Shah dilanjutkan usia dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam lindungan ILAHI, bersemayam di atas takhta singgahsana sebagai Amirulmukminin dengan penuh keberkatan Fid Dunia Wal Akhirat. Dirgahayu Tuanku,

Sembah Takzim daripada:

Wangsa Mahkota Selangor