Copy of pudu_jail

Penjara Pudu atau dahulunya dikenali sebagai Pudu Goal terletak di Jalan Hang Tuah mula dibina pada tahun 1891 di atas tanah seluas 10 hektar. Pembinaan penjara tersebut telah dibuat secara berperingkat dan telah siap sepenuhnya pada tahun 1895 di era pemerintahan Paduka Sri Almarhum Sultan Sir Abdul Samad Ibni Almarhum Tengku Panglima Besar – Raja Abdullah Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah Ibni Almarhum Sultan Salehuddin Shah @ Raja Lumu Ibni Raja Chellak yang memerintah Negeri Selangor dari tahun 1857 Hingga 1898.

Tembok penjara mula dibina pada Februari 1891 dan siap pada bulan Ogos 1892. Tembok ini dibina daripada batu bata yang dilepa dengan simen yang diimport dari negeri koloni British. Kos bagi pembinaan tembok ini sahaja berjumlah RM 15,360.90 (harga pada tahun 1800an).

Bagi blok pentadbiran dan dapur pula, ia mula dibina pada tahun 1892 dengan kos pembinaan sebanyak RM28,700.00 dan RM 3,775.00 (harga pada tahun 1800an).
Pada asalnya bangunan pentadbiran terdiri dua tingkat yang menempatkan pejabat Gaoler”, pejabat kerani, stor, bilik pemeriksaan dan bilik pengawal

Reka bentuk untuk dapur penjara adalah menyerupai dapur “pauper hospital”. Bangunan dapur ini mengandungi sebuah stor dan bilik timbang.

Sebelum bangunan utama penempatan banduan siap dibina, lima buah bangunan sementara telah dibina bagi menempatkan banduan-banduan yang menjalankan kerja-kerja pembinaan.

Bangunan tersebut telah dibina dalam kawasan tembok penjara. Bangunan penempatan utama telah mula dibina pada bulan November, 1891 dan siap pada bulan Mac, 1892. Bangunan penempatan utama ini mengandungi 240 bilik menyerupai Penjara Kandy di Bogambia iaitu berbentuk X dan dibina setinggi tiga tingkat.
Setiap blok dipisahkan oleh pintu pagar yang berkunci. Ia dibina dengan harga RM 84,886.00.

Pada tahun 1894 sewaktu lawatan Residen British, beliau telah mencadangkan agar dibuat pertambahan sebanyak 54 bilik lagi untuk disambung di Blok C dan D. Kerja-kerja penyambungan ini telah siap dibuat pada tahun 1895.
Blok D telah menempatkan bilik akhir dan bilik gantung. Dari tahun 1960 hingga 1993, seramai 180 pesalah telah menjalani hukuman gantung sampai mati disini.

Penempatan utama blok C dan D bangunan pertama didirikan pada tahun 1891

Muatan asal Penjara Pudu pada awal pembinaannya hanyalah seramai 600 orang pesalah. Setelah kemasukan yang kian meningkat, pembinaan baru telah dibuat, sehinggalan penjara ini mampu menampung 2,000 orang pesalah dengan kadar muatan selesa.

Kumpulan banduan yang terawal menghuni penjara ini diambil dari daerah Jugra, Hulu Langat, Banting, Ampang, Klang dan Rawang. Sebelum penjara ini diwartakan sebagai penjara reman, terdapat beberapa kategori banduan telah ditempatkan iaitu banduan jatuh hukum, banduan akhir, banduan buang negeri, banduan buang tempatan, banduan seumur hidup dan banduan seumur hayat.

Sumber : Jabatan Penjara Malaysia dan rujukan lain.