Pada hari Jumaat bertarikh 9 Jan 1935, Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak – Raja Idris Shah Ibni Paduka Seri Sultan Iskandar Shah berangkat untuk menunaikan solat Jumaat berjemaah di Masjid Ridzuaniah, Kuala Kangsar, diiringi oleh beberapa orang-orang besar Istana.

Setelah selesai sembahyang, Yang Amat Mulia itu telah mengambil kesempatan untuk memberi ucapan di atas Mimbar Masjid tersebut,

Ucapan pendek Yang Amat Mulia adalah seperti berikut:-

“Tuan, cuba kita pandu dengan bersungguh-sungguh menyukakan Tuhan kita dan Raja kita, iaitu menuntut ilmu dan beribadat seperti sembahyang lima waktu dan jemaah dan lainnya.
Cubalah kita pandu dengan bersungguh-sungguh supaya jangan dimurkai oleh Tuhan kita dan Raja kita, kerana siapa-siapa yang dimurkai oleh Tuhannya di dalam Neraka nampaknya, dan siapa-siapa yang dimurkai oleh Rajanya, tiada berguna duduk di dalam negeri ini.

Saya ini budak lagi bodoh, tetapi apa-apa yang saya dengar dan apa-apa yang saya lihat nanti saya khabarkan kepada bapa saya; hanya doa saya Selamat Umur Panjang sekalian isi negeri Perak ini”.

Ucapan itu sungguhpun pendek tetapi mempunyai intipati yang sangat bernilai kepada sekalian rakyat negeri Perak. Seperkara lagi, sekalian hamba rakyat yang hadir merasai betapa moleknya keperibadian Raja Kecil yang bakal menjadi Raja, Yang Dipertuan bagi Negeri Perak kelak setelah mendengar ucapan tersebut oleh Yang Amat Mulia Raja di Hilir yang pada ketika itu bearu berusia sepuluh tahun.

Sumber : Warta Malaya, 16 Jan 1935

Potret : Kredit Sembangkuala