Pada 8 November 1873, Tunku Kudin telah menewaskan kubu kuat Raja Mahadi di Kuala Selangor. Kejayaan Tengku Kudin di Kuala Selangor tersebut merupakan peristiwa penting yang menjadi titik-tolak membawa kepada campur tangan Inggeris di Negeri Selangor.

Perang Saudara di Selangor yang berlaku antara tahun-tahun 1867-1874 pada mulanya adalah berpunca daripada persengketaan antara penyokong-penyokong Raja Mahadi dengan pengikut serta keluarga Raja Abdullah mengenai masalah kutipan cukai dan perebutan jawatan. Semasa Raja Mahadi berkuasa, masalah menjadi semakin buruk.

Sultan Abdul Samad, yang memerintah Selangor pada masa itu tidak berdaya untuk menyelesaikan masalah tersebut lalu melantik menantu baginda, Tengku Kudin, untuk menyelesaikannya. Perlantikan tersebut telah menjadikan suasana Perang Saudara di Selangor bertukar daripada perlawanan antara pengikut-pengikut Raja Mahadi dengan Raja Abdullah kepada pertentangan antara Raja Mahadi dengan Tengku Kudin. Penentangan demi penentangan berlaku di antara kedua-dua buah pihak hingga akhirnya Tengku Kudin berjaya menawan semula Kuala Selangor dengan bantuan daripada Pahang, Inggeris dan askar upahan.

Maka, bermulalah siri campur tangan Inggeris bermula di negeri Selangor sehinggalah wujudnya pentadbiran Inggeris di Tanah Melayu pada tahun 1874