KLANG: Paduka Sri Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah Masjid Istana Diraja yang dibina di dalam kawasan Istana Alam Shah di sini dijadikan pusat bagi menyatupadukan Waris dan Kerabat Diraja Selangor.

Titah baginda, difahamkan kira-kira 1,000 waris dan kerabat Diraja Selangor yang masih hidup masing-masing mungkin mempunyai fahaman dan pemikiran berbeza serta ada yang berkecil hati antara satu sama lain.

“Maka beta berharap masjid ini akan menjadi satu pusat yang paling sesuai bagi mengeratkan silaturrahim dan mengukuhkan persaudaraan waris-waris dan kerabat-kerabat Diraja Selangor,” titah Sultan Selangor semasa merasmikan Masjid Istana Diraja bernilai RM9 juta, yang diilhamkan dan dibiayai sepenuhnya oleh baginda hari ini.

Turut berangkat ke majlis perasmian masjid, yang mampu menampung 1,000 jemaah, ialah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah

Sultan Selangor turut mengalu-alukan waris dan kerabat Diraja Selangor serta warga kerja istana menggunakan kemudahan di Masjid Istana Diraja bagi mengadakan majlis keagamaan seperti kenduri kesyukuran, doa selamat, pengurusan jenazah dan majlis akad nikah.

“Beta difahamkan ada kerabat yang akan mendirikan rumahtangga dan ada juga yang ingin berkahwin lebih daripada satu. Bagaimanapun, beta ingatkan kepada mereka yang hendak kahwin lebih daripada satu perlulah mengikuti Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003,” titah baginda, membuatkan hadirin tertawa.

Sultan Selangor bertitah fungsi Masjid Istana Diraja adalah sama dengan masjid lain dan boleh digunakan tetamu yang menghadiri majlis atau istiadat di Istana Alam Shah.
Namun, solat Jumaat tidak dilakukan di Masjid Istana Diraja berikutan lokasinya yang terlalu hampir dengan Masjid Diraja Sultan Suleiman, yang dibina lebih 100 tahun lalu, titah baginda.

Sultan Sharafuddin sekali lagi mengingatkan bahawa setiap majlis ilmu yang diadakan di masjid itu sama ada ceramah, syarahan, kursus atau seminar mestilah bebas daripada unsur politik.

Baginda menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memantau setiap aktiviti majlis ilmu agar para jemaah dapat meningkatkan pengetahuan khusus kepada perkara berfaedah dan bermanfaat.

“Masjid Istana Diraja ini menjadi sebahagian daripada Istana Alam Shah, justeru beta menitahkan supaya ia dijaga dan dipelihara sebaik-baiknya sama seperti penjagaan ke atas istana,” titah baginda.

Pembinaan Masjid Istana Diraja seluas 2,159.9 meter persegi di atas tapak Balai Musolla dan Balai Nobat, Istana Alam Shah, mengambil masa dua tahun bermula Januari 2009 dan siap dibina pada Mei lalu.

Selain mempunyai ruang untuk majlis akad nikah dan perkahwinan, masjid tiga tingkat yang mempunyai reka bentuk bercirikan masjid-masjid lama di Kaherah, Mesir, turut mengeluarkan Watikah Perakuan Nikah yang akan disahkan oleh Imam dilantik Sultan Selangor selaku jurunikah bertauliah.

Masjid Istana Diraja mempunyai satu menara setinggi kira-kira 36 meter dan empat buah pintu gerbang, dengan pintu gerbang utamanya menghadap Istana Alam Shah yang dihiasi dengan jubin-jubin seni tangan dari Turki, yang dipilih sendiri Sultan Selangor.

Masjid itu direka bentuk sebagai masjid terbuka dengan ruangan dalam bangunan kebanyakannya tidak berdinding bagi menambahkan pengudaraan sekaligus mengurangkan penggunaan alat pendingin hawa. – BERNAMA