Sejarah telah merakamkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa sering kali dilakukan oleh pembesar-pembesar atas nama takhta, mengambil kesempatan ketika berteduh di bawah payung kuasa naungan Raja.

Kekuatan dan kelemahan seseorang Raja dipengaruhi oleh kekuatan atau kelemahan terutama di kalangan mereka yang diberi amanah menjadi pembesar dan penasihat Raja. Hubungan Raja, pembesar, pemimpin dan rakyat perlu dibina secara sihat, disuburkan melalui saluran komunikasi yang berkesan.

Barisan yang diberikan kepercayaan dan tanggungjawab menasihati Raja, wajib bersifat ikhlas, arif lagi berilmu, berkata benar betapa pahit sekalipun, supaya Raja tidak dibuai dalam khayalan – tidak diulit gurindam pujian.

Seandainya jambatan komunikasi yang kukuh dapat dibina, persefahaman dapat diluluskan, hubungan harmonis dapat diakrabkan, Insya-Allah Raja akan selamat bertakhta, penuh berdaulat – dikasihi rakyat.

Jika Raja gagal menjunjung kebenaran ini Maka hancur musnahlah negara.