Tags

1. Tengku Ampuan Puteri Binti Daeng Merewah @ Paduka Sri Sultan Ala’ uddin Riayat Shah [ Suri Sultan Salehuddin Shah ]

2. Tengku Ampuan Tengah Binti Raja Haji [ Suri Sultan Ibrahim Shah ]

3. Tengku Ampuan Basik Binti Arung Temujung Ibni Yam Tuan Selangor – Arung Pasai [ Suri Sultan Muhammad Shah ]

4. Tengku Ampuan Atfah Binti Almarhum Sultan Muhammad Shah [ Suri Sultan Abdul Samad ]

5. Tengku Ampuan Maharum Binti Almarhum Tunku Dziauddin kemudian bergelar Tengku Ampuan Paduka Seri Negara [ Suri Sultan Alauddin Sulaiman Shah ]

6. Tengku Ampuan Zubaidah Binti Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasiruddin Karamatullah Shah [ Suri Sultan Alauddin Sulaiman Shah ]

7. Tengku Ampuan Fatimah Binti Almarhum Sultan Idris Murshid Al-Azzam Rahmatullah Shah kemudian bergelar Tengku Ampuan Paduka Seri Negara [ Suri Sultan Alauddin Sulaiman Shah ]

8. Tengku Ampuan Jemaah Binti Raja Ahmad [Suri kepada Sultan Hishamuddin Alam Shah]

9. Tengku Ampuan Rahimah Binti Almarhum Sultan Abd Jalil Rahmat Shah [ Suri kepada Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ]

*** Sejarah berhubung gelaran Tengku Ampuan akan di jelaskan di bawah…

Dengan Izin Penulisan YM Raja Kobat Salehuddin Ibni Almarhum Raja Muda Musa Ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz Ibni Almarhum Raja Muda Musa Ibni Almarhum Sultan Ngah Jaafar Ibni Almarhum Raja Kecil Tengah Ahmad Ibni Almarhum Raja Sa’id ‘Ibni Almarhum Daeng Merewah @ Paduka Sri Sultan Ala’ uddin Riayat Shah Ibni Almarhum Daeng Rilaga

SURI SINGGAHSANA ialah wanita yang bergelar selaku “Raja Ampuan ataupun Tengku Ampuan “.

SURI SINGGAHSANA ialah isteri Raja Yang Di Pertuan yang berhak semayam di Peterakna Singgahsana di samping Baginda. Lantas, sang isteri Baginda ini juga berwatak “SURI NEGERI” @Permaisuri Negeri . Namun,TIDAK semesti sekalian “SURI NEGERI ” layak bersemayam di Singgahsana ~ TIDAK sekaligus @ BUKAN semua ‘Suri Negeri’ mempunyai hak istimewa berkedudukkan di sisi suami nya Raja Yang Di Pertuan di Singgahsana.

Tatkala seorang Raja Pemerintah itu mempunyai isteri yang kedua dan isteri itu juga bergahara penuh mahu pun separuh gahara, wanita itu biasanya akan berikhtiraf Tengku Permaisuri @ Pemaisuri.

Namun demikian, Raja Permaisuri itu tidak disembah kerana dia bukan “Suri Singgahsana”. Sang Suri Singgahsana itulah yang rasmi; dan beliau lah yang bergelar TENGKU AMPUAN dan mematuhi adat zaman berzaman, Tengku Ampuan berhak disembah.
Manakala, tentang isteri kedua Baginda itu pula, yakni, si Raja Permaisuri {sekiranya dia berzuriat anak raja} @ Permaisuri ~ sekiranya dia bukan berbenih diraja ~ Taraf & Darjat nya adalah lebih sedikit dari tingkatan Raja Kecil Besar sahaja, iaitu, TIDAK pula ke paras Martabat Raja Di Hilir Perak.

Bagi wanita yang tidak mempunyai zuriat diraja, seperti yang tersebut sebentar tadi, tidak layak di sisi adat dikararkan sebagai Raja Perempuan mahu pun Raja Permaisuri, atau lagi diraja-rajakannya demi membolehkan wanita itu menduduki di sisi suaminya di atas Singgahsana.

Adab dan Adat telah meletakkan taraf bagi Suri Negeri yang bukan berbenih raja, hanya boleh ditegur selaku “TENGKU ” cuma bagi/dalam bualan lisan; dan pangkat tarafnya terikhtiraf selaku “PERMAISURI” sahaja (yakni, bukan ‘Raja’ Permaisuri) dan beliau itu:

1. Tidak boleh didudukkan di Singgahsana.
2. Tidak boleh disembah.
3. Tidak boleh dipersebutkan sebagai “Tuanku”.
4. Tidak boleh diperbahasakan “patik” oleh orang-orang bawahan dan sebagainya. Pengakuan mereka terhadap Permaisuri adalah secara berbahasakan diri sebagai “Hamba Tengku”. Anak-anak raja sekaliannya membahasakan diri kepada Permaisuri cuma secara “saya”*.
5. Tidak boleh dinobatkan secara jawatan atau gelarannya atas apa-apa jua sebab yang berkait dengan kedudukannya sebagai “Permaisuri”.

Ini berimplikasi hanya seorang “Raja” sahaja yang akan ketara bersemayam di atas Singgahsana. Perihal tersebut adalah bersabit dan sudah menjadi adat semenjak kerajaan Srivijaya di Palembang lagi, mematuhi adat resam zaman berzaman.

Meskipun demikian, ia tidaklah bermakna bahawa seseorang “Permaisuri” itu akan jatuh maruah kemasyarakatannya mahu pun kemuliaannya; malah mematuhi resam zaman silam, sememang sudah menjadi adat seseorang Raja Yang Dipertuan itu dialu-alu mempersuntingi wanita dari kerabat orang-orang golongan bangsawan demi memekatkan darah persaudaraan di antara Raja dengan sida-sida yang baik-baik.

Orang-orang Besar Negeri biasanya amat mengasihi Raja Pemerintah yang ada seorang “Permaisuri” dari golongan orang-orang kebanyakan. Wanita itu dalam teorinya, sudah tentu akan memahami perasaan mereka kerana wanita itu adalah dari golongan mereka. Maka lebih mudah para pembesar sekaliannya menyayangi dan merasa senang dengan sang Permaisuri. Kepada Permaisuri itulah tempat mereka mengadu nasib dan membisik-bisikkan nasihat “demi kebaikan negeri”. Di dalam sejarah Perak dan Melaka sungguh banyak terkisah Raja-Rajanya yang mempunyai Permaisuri yang lebih dimuliakan daripada Raja Perempuan, oleh itu sering berlaku sang Permaisuri itu amat berpengaruh dari dalam kamar peraduan diraja!

__________________________________
Nota kaki: Penulis YM Raja Kobat memaparkan hasil penyelidikan dan pengkajiannya ini dengan tanbih (peringatan) bahawa isi kandungannya adalah tanpa prejudis dan prasangka terhadap barang siapa sekali pun adanya.