KUALA LUMPUR, 30 Okt — Raja-Raja Melayu menitahkan seluruh rakyat Malaysia untuk memahami dan menghayati sejarah pembentukan negara dan Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan kepada kontrak sosial iaitu semangat permuafakatan dan persefahaman antara kaum dan persetujuan Raja-Raja Melayu.

“Raja-Raja Melayu berpegang bahawa kontrak sosial yang telah dipersetujui ini merupakan watikah yang menjadi asas kepada keadilan sosial di negara ini yang merangkumi cita-cita bagi mencapai hasrat pembahagian ekonomi secara adil.
“Sikap tolak ansur antara kaum menunjukkan kematangan rakyat pelbagai kaum di negara ini,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-222 yang berlangsung di Istana Negara pada 13 dan 14 Oktober lepas memandang berat mengenai trend politik semasa yang dilihat sedang meniup angin perkauman dan mencabar kedaulatan Perlembagaan negara.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja mengambil maklum akan perkembangan semasa serta kebimbangan yang disuarakan oleh individu-individu dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan berhubung perkara-perkara menyentuh agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, orang Melayu dan bahasa Melayu.

Majlis Raja-Raja, menurut kenyataan itu memandang serius kewujudan jumlah jenayah yang dikategorikan sebagai jenayah berat, yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman dan imej negara.

Raja-Raja Melayu bersama Yang Dipertua-Yang Dipertua negeri memahami serta menghargai usaha-usaha kerajaan persekutuan menyatupadukan rakyat berlandaskan semangat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kenyataan itu, Raja-Raja Melayu menitahkan setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama supaya terus bersatu serta setia kepada negara demi memelihara kedaulatan dan kemakmuran negara kerana setiap rakyat mempunyai peranan dalam pembangunan negara.

Setiap rakyat hendaklah terus menghormati dan akur kepada Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang dan mengelakkan tindak-tanduk yang membawa pertelingkahan, perselisihan faham dan syak wasangka antara kaum yang menjejaskan kemakmuran dan keharmonian negara, titah Raja-raja Melayu.

“Demi kedaulatan dan keharmonian negara yang kita kasihi ini, Raja-Raja Melayu berharap rakyat tidak akan memberi peluang untuk penglibatan dan campur tangan pihak luar dalam urusan negara,” menurut kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu turut menyeru orang Melayu supaya bersatu padu dan tidak bertelingkah sesama sendiri berlandaskan semangat persaudaraan Islam, agar kedudukan orang Melayu tidak terpinggir dan terhakis dalam arus pembangunan negara.
“Pemimpin-pemimpin pertubuhan Melayu wajib mencari persamaan, bermuafakat menggunakan hikmah dan kebijaksanaan, melindungi dan membela nasib orang Melayu,” menurut kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu menegaskan bahawa keutuhan bangsa Melayu serta nasib orang Melayu tidak akan terpelihara jika para pemimpin pertubuhan Melayu lebih cenderung untuk bertelagah dan memilih untuk berselisih faham.

“Raja-Raja Melayu berdoa agar Malaysia yang dikasihi ini sentiasa berada dalam keadaan aman damai dan rakyatnya yang berbilang kaum terus bersatu serta kekal makmur dan sejahtera.

“Semoga Malaysia terus mendapat perlindungan dan rahmat Allah Subhanahu Wata”ala,” menurut kenyataan itu. — Bernama –