Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra, adinda kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke-V, yang juga Tengku Bendahara Kelantan dilantik sebagai Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan dan pewaris takhta kesultanan Kelantan berkutkuasa serta merta.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Aiseri Alias berkata, keputusan itu dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri (MPN) yang bermesyuarat hari ini dengan dipengerusikan oleh Yang Dipertuanya, YAM Tengku Abdul Halim Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ibrahim.

Istiadat penyerahan watikah pelantikan gelaran Tengku Mahkota Kelantan berlangsung di Istana Negeri di Kubang Kerian pada 2 petang tadi. Mohd. Aiseri memberitahu satu sidang akhbar bahawa mesyuarat MPN itu dihadiri oleh 14 daripada 15 anggotanya kecuali Tengku Razaleigh Hamzah yang tergugur secara automatik sebagai anggota kerana tidak hadir mesyuarat sebelum ini tanpa keizinan majlis itu.