Adapun diceriterakan oleh orang yang empunya ceritera, bahawa Puteri Syahrul-Bariyah, anak Raja Kida Hindi, telah Hamil lah ia dengan Raja Iskandar;’ tetapi Raja Iskandar tiada tahu akan isterinya HaruiI itu, dan Tuan Puteri Syahrul-Bariyah pun tiada tahu akan dirinya bunting itu. Tatkala Tuan Puteri Syahrul-Bariyah kembali kepada ayahnya, Raja Kida Hindi, maka baharulah ia tahu akan dirinya bunting itu; dirasanya dirinya tiada haid. Maka Tuan Puteri Syahrul-Bariyah pun memberi tahu kepada ayahnya, Raja Kida Hindi, katany a, “Ketahuilah ayahanda, bahawa Hamba ini dua bulanlah se­karang tiada haid. Setelah Raja Kida Hindi mendengar kata anaknya itu, maka Raja Kida Hindi pun terlalu sukacita oleh anaknya itu bunting dengan Raja Iskandar; maka dipelihara­’kannya dengan sepertinya. Setelah genaplah bulannya, maka Tuan Puteri Syahrul-Bariyah pun beranaklah seorang lelaki, Maka oleh Raja Kida Hindi akan cunda itu pundi namai Aristun Syah uialadul-malihul-mukarram, terlalu sangat di­kasihi oleh Raja Kida Hindi.

Hatta berapa lamanya Raja Aristun Syah pun besarlah, terlalu baik rupanya,seperti rupa ayahanda baginda, Raja Is­kandar Zul-Karnain. Maka oleh Raja Kida Hindi dipinangkannya anak raja Turkistan. Maka Raja Aristun Syah. beranak se­orang lelaki, maka dinamainya Raja Aftus. Setelah empat puluh lima tahun lamanya Raja Iskandar kembali ke negeri Makaduniah, maka Raja Kida Hindi pun kembali ke rahmat Allah; maka cunda baginda, Raja Aristunlah kerajaan dalam negeri Hindi mengangkatkan kerajaan ninda baginda. Adalah umur baginda di atas kerajaan tiga ratus lima puluh lima tahun; maka Raja Aristun Syah pun berpindahlah dari negeri yang fana ke negeri yang baka. Maka anakanda baginda Raja Aftus­lah naik kerajaan dalam “negeri Hindi; adalah umur baginda di atas kerajaan seratus dua puluh tahun, maka baginda pun hilang; maka Raja Aska’inat naik raja, umur baginda di ataskerajaan tiga tahun. Setelah sudah hilang maka Raja Kasdas namanya naik raja pula; adalah umur baginda di atas kerajaan dua belas tahun. Setelah sudah baginda hilang, maka Raja Amtabus namanya naik raja pula di atas takhta kerajaan; ada­lah umur baginda di atas kerajaan tiga belas tahun. Setelah sudah baginda hilang, maka Raja Zaman Yus namanya naik raja pula; adalah umur baginda itu di atas kerajaan tujuh tahun. Setelah sudah hilang baginda, maka Kharu Seka’inat namanya naik raja pula; adalah umur baginda itu di atas kerajaan tiga puluh tahun. Setelah sudah hilang baginda, maka Raja Arkhad Seka’inat namanya naik raja pula, adalah umur baginda di atas kerajaan sembilan tahun. Setelah sudah hilang baginda, maka Raja Kudar Zakuhun, anak Raja Amtabus pula naik raja, adalah umur baginda itu di atas kerajaan tujuh puluh tahun. Setelah sudah hilang baginda, maka Nabtayusar nama­nya naik raja; adalah umur baginda itu di atas kerajaan empat puluh tahun.

Maka Raja Ardis Mikan naik kerajaan; adalah baginda ber­isterikan anak Raja Nusyirwan Adil, raja masyrik dan maghrib, maka beranaklah baginda dengan tuan puteri anak Raja Nu­syirwan Adil seorang lelaki bernama Raja Darmanus. Maka anak cucu bagindalah kerajaan turun-temurun sampailah kepada anak cucu baginda yang bernama Tersi Berderas naik raja. Akan baginda itu anak Raja Zaman, cucu Syah Tersi, cicit Raja Dermanus, piut Raja Ardis Mikan anak Raja Kudar Zakuhun, cucu Raja Amtabus, cicit Raja Sabur, piut Raja Aftus, anak Raja Aristun Syah, anak Raja Iskandar Zul­Karnain. Maka Tersi Berderas beristerikan anak Raja Sulan, raja di negeri Amdan Negara; kata seTerigah riwayat, Raja Sulan itu daripada anak cucu Raja Nusyirwan Adil, anak Kobat Syahriar, raja masyrik dan maghrib; melainkan Allah subha nahu wa taala juga yang mengetahuinya Tetapi akan Raja Sulan itu raja besar sekali, segala raja-raja Hindi dan Sindi, sekalian dalam tangannya, dan segala raja-raja yang di bawah angin ini sekaliannya takluk kepada baginda itu. Maka Raja Tersi Berderas beranak dengan puteri anak Raja Sulan itu tiga orang lelaki, Raja Hiran seorang namanya, ialah kerajaan di benua Hindi dan seorang namanya Raja Suran, diambil ninda baginda Raja Sulan; seorang lagi Raja Fandin namanya, ialah kerajaan di benua Turkistan.