ALKISAH maka tersebutlah perkataan sebuah negeri di tanah Andalas, Palembang namanya; nama rajanya Demang Lebar Daun, asalnya daripada anak cucu Raja Sulan juga Adapun negeri Palembang itu, Palembang yang ada sekarang inilah. Muara Tatang nama sungainya, di hulunya itu ada sebuah sungai, Melayu namanya. Adalah dalam sungai itu ada satu bukit bernama Bukit Si Guntang; di hulunya Gunung Mahamiru, di daratnya ada satu padang bernama Padang Penjaringan . Maka ada dua orang perempuan balu berhuma padi, terlalu luas humanya; adalah namanya seorang Wan Empuk dan se­orang namanya Wan Malini. Maka terlalulah jadi padinya. Tiada dapat terkatakan; telah Hampir akan masak padinya itu.

Sebermula maka tersebutlah perkataan anak Raja Suran yang tiga bersaudara, yang dipeliharakan oleh Raja Aktabu’l­-Ard. Setelah besarlah terlalu baik parasnya anak raja ketiga itu; yang tua dinamai oleh Raja Aktabu’l-Ard Nila Pahlawan, yang Tengah dinamai Krisyna Pandita, dan yang bongsunya dinamai Nila Utama, Maka ketiga anak raja itu bertanyakan ayahnya kepada ninda baginda, Raja Aktabu’l-Ard. Maka sahut Raja Aktabu’l-Ard, “Adalah akan ayahmu itu anak cucu Raja Iskandar Zul-Karnain, nasab Sulaiman ‘alaihi s-salam, pancar Nusyirwan Adil, raja masyrik dan maghrib. Maka ada­lah pesan ayahmu apabila tuan Hamba besar, disuruhnya han­tarkan ke dunia. Sekarang kembalilah tuan ke dunia”

Setelah ketiga anak raja itu mendengar kata ninda baginda itu terlalulah sukacitanya; seraya katanya, “Berilah kami ke­tiga bersaudara ini jalan ke dunia itu.” Maka oleh Raja Ak­tabu’l-Ard ketiga cucunda baginda itu diberinyalah memakai alat kerajaan dengan selengkap pakaian anak raja-raja, yang bertatahkan ratna mutu manikam, serta dikenakannya mah­kota itu ketiganya, Setelah itu maka ketiga baginda pun ber­mohonlah kepada ninda dan bonda baginda. Maka dipeluk dicium baginda serta ditangisinya, Maka oleh Raja Aktabu’l­Ard diberinya seekor lembu yang amat putih, seperti perak yang terupam wamanya; maka ketiga anak raja itu pun naik­lah ke atas lembu itu lalu berjalanlah keluar.

Dengan takdir Allah Subhanahu wa taala Yang Maha Kuasa, maka teruslah ke Bukit Si Guntang itu waktu malam. Maka kepada malam itu dipandang oleh Wan Empuk dan Wan Malini dari rumahnya, di at as Bukit Si Guntang itu bemyala seperti api. Maka kata Wan Empuk kepada Wan Malini, “Ca­haya apa gerangan di Bukit Si Guntang itu? Bemyala seperti cahaya matahari terbit kelihatan. Takut pula beta melihat dia.” Maka kata Wan Malini, “Janganlah kita ingar-ingar, jika­lau gemala naga besar gerangan itu.” Maka Wan Empuk dan Wan Malini pun diamlah dengan takutnya, lalu keduanya tidur.

Setelah hari siang maka keduanya pun bangunlah; maka kata Wan Empuk kepada Wan Malini, “Mari kita lihati, apa yang terang bercahaya di Bukit Si Guntang semalam itu.” Maka kata Wan Malini, “Marilah.” Maka keduanya basuh muka dan makan sirih lalu turun berjalan. Maka dilihatnya padinya berbuahkan emas, berdaunkan perak dan berbatang­kan suasa. Maka kata Wan Empuk, “Yang bercahaya semalam rupanya padi kita ini berbuahkan emas, berdaunkan perak dan batangnya suasa ini. ” Maka sahut Wan Malini, “Beta pan­dang semalam di at as Bukit Si Guntang itu, bukannya padi huma kita ini.” Maka keduanya naiklah ke Bukit Si Guntang itu. Maka dilihatnya tanah negara bukit itu menjadi seperti wama keem as-em asan; maka datang sekarang tanah itu di­ceritakan orang seperti emas juga.

Maka dilihat oleh Wan Empuk dan Wan Malini di atas tanah yang menjadi emas itu ada tiga orang lelaki muda teruna, muda wangsa, duduk di atas lembu putih seperti perak, leng­kap ketiganya itu memakai pakaian anak raja-raja yang ber­tatahkan ratna mutu manikam; memakai mahkota ketiga, ter- lalu sekali elok parasnya, Maka Wan Empuk dan Wan Malini pun hairan tercengang-cengang melihat paras sikapnya orang muda ketiga itu; seorang memegang curik dan satu kayu yang bercap di tangannya, seorang memegang lembing dan seorang memegang pedang, sekaliannya daripada keemasan. Maka Wan Empuk pun fikir dalam hatinya, “Anak raja mana orang muda ketiga ini, sekonyong-konyong ada di Bukit Si Guntang ini, dari mana gerangan datangnya? Dan apa jua bangsanya? Baik aku bertanya kepadanya; entah sebabnya maka padiku berbuahkan emas, dan tanah negara bukit itu pun seperti emas. “

Setelah keduanya berfikir, lalu bertanya, “Siapa tuan hamba ketiga ini? Anak ‘raja mana tuan hamba? Anak raja jinkah atau anak raja perikah, atau anak raja inderakah? Hendaklah berkata benar tuan Hamba ketiga kepada kami kedua ini; kerana lamalah kami duduk di lembah Bukit Si Guntang ini, seorang manusia pun tiada datang ke mari, baharu pada hari inilah kami melihat tuan hamba ketiga ini.”

Maka sahut Nila Pahlawan, “Adapun kami ini bukan dari­pada jin dan peri, dan bukan kami daripada bangsa indera; bahawa adalah bangsa kami ini daripada manusia. Asal kami daripada anak cucu Raja Iskandar Zul-Karnain, dan nasab kami Raja Nusyirwan Adil, raja masyrik dan maghrib, pancar kami daripada Raja Sulaiman ‘alaihi s-salam, dan. nama kami Nila Pahlawan, dan yang seorang ini Krisyna pendita, dan yang seorang Nila Utama; dan nama curik kami ini Si Mandang Kini, dan kayu ini Cap Kerupa namanya, dan pedang ini Badram Balawa namanya, dan lembing ini Lembuara namanya.”

Maka kata Wan Empuk dan Wan Malini, “Jikalau tuan hamba daripada anak cucu Raja Iskandar apa sebab maka tuan hamba ke mari, dari mana jalan tuan hamba?” Maka Nila Pahlawan pun berceriteralah seperti ceritera ayahnya kepada Raja Aktabu’l-Ard. Segala hikayat Raja Iskandar beristerikan anak Raja Kida Hindi, dan peri Raja Suran masuk ke dalam laut, dan peri duduk dengan bondanya beranakkan baginda ketiga bersaudara itu, semuanya dihikayatkannya kepada Wan Empuk dan Wan Malini. Maka kata Wan Empuk, “Apa alamatnya seperti kata tuan hamba itu?” Maka sahut Nila Pahlawan, “Mahkota kami ketiga inilah alamatnya; serta padi habis ber­buahkan emas, berdaunkan perak dan berbatangkan suasa, dan tanah negara bukit inimenjadi seperti wama keemas-emasan. Jikalau embuk tiada percaya, pandanglah alamat kami, anak cucu Raja Iskandar Zul-Karnain; pancar Sulaiman alaihi s-salam.”

Maka Wan Empuk dan Wan Malini pun percayalah akan kata orang muda itu, serta dengan sukacitanya. Ketiga anak raja itu dibawanya kembali ke rumahnya. Maka ketiga baginda bersaudara pun duduklah dipeliharakan oleh Wan Empuk dan Wan Malini; padinya pun dituainyalah. Maka Wan Empuk dan Wan Malini pun kayalah dengan sebab mendapat anak raja itu.

Maka terdengarlah kepada Demang Lebar Daun bahawa Wan Empuk dan Wan Malini mendapat anak raja dari Bukit Si Guntang, daripada anak cucu Raja Iskandar Zul-Karnain itu. Maka Demang Lebar Daun pun mudiklah, mendapatkan Wan Empuk dan Wan Malini mengadap anak raja itu. Maka di ambilnya ketiga anak raja itu dibawa dengan kenaikan baginda lembu putih itu ke negeri Palembang, dipeliharakannya dengan sempumanya. Maka Nila Pahlawan digelar Sang Si Perba. Dengan takdir Allah taala, maka lembu kenaikan baginda itu pun muntahkan buih, maka keluar daripada buih itu seorang manusia lelaki, hadir dengan pakaiannya, serta ia berdiri mem­baca ciri demikian bunyinya:

Ahusta Paduka Seri Maharaja serta Seri Sepah Buana suran bumi boji bala pikrama nakalang kama makuta dan Menteri Buana prasama Sakritbana Tanggadarma dan busaya kuta dan singgahsana ranawikrama dan Rawanaba Palawikasad dadi prabu di kala mula mali mala ka Seri Darma Rajadiraja, Raja Permaisuri. *

Maka oleh Demang Lebar Daun dinamainya “Batala”, erti­nya orang yang membaca ciri. Daripada anak cucu Batala itu­lah asal orang membaca ciri dahulukala.