Pada hari ini dalam tahun 1871, angkatan perang Inggeris telah menyerang dan membedil pekan Kuala Selangor. Penyerangan ke atas Kuala Selangor ini adalah ekoran dari peristiwa 14 Jun 1871, apabila sebuah tongkang dari Pulau Pinang telah diserang dan disamun oleh lanun-lanun Cina dari Kuala Selangor.

Penyerangan ini telah menyebabkan kematian seramai 34 orang. Tongkang tersebut telah dibawa oleh lanun-lanun itu ke Kuala Selangor, tempat kediaman Raja Mahadi. Peristiwa ini telah dilaporkan kepada Inggeris di Pulau Pinang yang kemudiannya telah menghantar kapal Kerajaan Negeri-negeri Selat iaitu H.M.S. Rinaldo dan Pluto untuk menangkap saki baki lanun tersebut. Pada 3 Julai, rombongan ini telah sampai ke Kuala Selangor dan telah menemui Syed Mashhur, Raja Mahmud dan Raja Mahadi.

Semasa perjumpaan ini, telah berlaku pertengkaran antara kedua mana belah pihak, dimana seorang ahli rombongan Inggeris telah terbunuh dan enam orang cedera. Hal ini telah memaksa Inggeris menyerang kota dan pekan Selangor pada hari ini. Serangan bermula pada pukul 4.45 pagi, apabila kapal perang Rinaldo yang memudiki Sungai Selangor telah ditembak dengan meriam-meriam dari kota di Kuala Selangor.

Maka berlakulah tembak menembak dari kota -dua belah pihak, di mana tiga orang askar pihak Inggeris telah mengalami kecederaan. Walau bagaimanapun, kapal Rinaldo terus mudik dan berlabuh di pekan Kuala Selangor pada pukul 6.30 pagi dan terus membedil lagi pekan tersebut. Dua hari kemudian, pada 6 Julai, kapal Rinaldo bersama-sama Pluto datang semula menyerang Kuala Selangor dan membinasakan kubu, lima buah perahu yang muat senjata dan rumah-rumah yang ada di situ.

Setelah memusnahkan harta benda tersebut, kapal Rinaldo dan Pluto belayar meninggalkan Kuala Selangor.

Sumber ; Arkib Negara