Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah telah diputerakan pada 8 Mac 1926. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Klang dan Malay College Kuala Kangsar. Pada 1946 Baginda melanjutkan pelajaran di London dan Baginda merupakan penuntut pertama yang belajar di London selepas perang. Baginda telah dilantik menjadi Tengku Laksamana Selangor pada 1946 dan pada 1950 Baginda dilantik menjadi Raja Muda Selangor.

Pada hari ini 28 Jun 1961, Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah telah dimahkotakan dengan penuh istiadat di Balai Rong Seri Istana Alam Shah, Klang, Selangor iaitu sebagai Sultan Selangor yang ketujuh. Istiadat pertabalan dimulakan dengan tembakan meriam sebanyak 9 das berserta dengan suara nobat. Keberangkatan Sultan telah didahului oleh satu barisan khas dikepalai oleh Tengku Maharaja Lela sambil membawa semboyan.

Apabila baginda mengambil tempat bersemayan di atas singgahsana, nobat pun di palu dengan lagu `Hairullah’ kemudian upacara kemahkotaan pun dimulakan. Sejurus setelah berlaku istiadat kemahkotaan, Baginda Sultan Selangor hari ini telah berikrar untuk menjalankan pemerintahan negara menurut saluran-saluran perlembagaan dan berpandukan kepada undang-undang agama Islam. Pada hari ini juga baginda telah mengurniakan pingat emas dan perak kepada 216 orang, di antaranya termasuklah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Perak, Pahang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan lain-lain.

Sesungguhnya dengan pertabalan Sultan Selangor pada hari ini telah memberi kebanggaan kepada rakyat Negeri Selangor khasnya dan rakyat Malaysia keseluruhan.

Sumber : Arkib Negara