Sultan Musa UddinSatu upacara yang penuh istiadat dan diiringi oleh paluan nobat bersempena Paduka Sri Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Alauddin Suleiman Shah ditabalkan dengan rasminya sebagai Sultan Selangor yang Ke-7 oleh Gabenor Selangor masa itu, iaitu Leftenan-Genaral Shotaro Katayama pada 4 November 1943 telah diadakan.

Istiadat pertabalan yang gilang gemilang ini telah dijalankan di Balai Rong Istiadat Mahkota, Kelang. Istiadat ini telah dihadiri oleh ratusan orang jemputan khas termasuk wakil-wakil Sultan Perak dan Kedah, wakil Yang di-Pertua Negeri Sembilan, Pegawai-pegawai Tertinggi tentera Jepun dan wakil-wakil kaum.

Istiadat bermula pada pukul 11 pagi dengan keberangkatan Paduka Sri  Sultan Musa Ghiatuddin dan Tengku Permaisuri ke atas ‘Panca Persada’ setinggi tujuh tingkat bagi menjalankan istiadat menepung tawar dan ‘bersiram tabal’.

Sultan Musa Uddin, Sultan Of SelangorSelepas menukar pakaian dengan jubah kerajaan baginda dan permaisuri berkenan untuk menerima mengadap para tetamu yang hadir.

Gabenor Selangor, Leftenan General Shotaro Katayama telah tiba pada pukul 5 petang dan disambut oleh Yang Tuan Muda dan kerabat-kerabat diraja yang lain. Leftenan General Shotaro Katayama seterusnya telah Memahkotakan Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah dan Tengku Permaisuri.

Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan Paduka Sri Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah pada hari ini dalam tahun 1943, merupakan pengesahan pihak Jepun terhadap kedudukan baginda sebagai Sultan Selangor yang baru, bagi menggantikan Adindanya Sultan Hishamuddin Alam Shah yang telah disingkirkan oleh pemerintah tentera Jepun.

Sumber : Arkib Negara dan lain-lain sumber