Kerajaan adalah bertanggungjawab untuk memainkan peranan yang lebih berkesan dalam usaha-usaha untuk memupuk di kalangan generasi muda yang terdiri daripada berbilang kaum supaya sentiasa mencintai sistem pemerintahan Beraja yang ada pada hari ini di samping memberi kesedaran kepada mereka tentang kepentingan aspek-aspek Kesultanan Melayu.

Sehubungan dengan itu pada hari ini 20 September 1985, Jabatan Muzium Negara telah menganjurkan satu Pameran Sejarah Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor iaitu DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Alhaj, bertempat di Jabatan Muzium Negara, Jalan Damansara, Kuala Lumpur. Pameran itu telah dirasmikan oleh Baginda Sultan sendiri.Di antara matlamat utama pameran tersebut diadakan adalah:

Untuk menanamkan semangat cintakan Sistem Beraja serta menambahkan pengetahuan rakyat tentang sistem tersebut, supaya keharmonian dan kesejahteraan negara dapat dikekalkan.
Menarik minat dan sambutan orang ramai khususnya rakyat Selangor terhadap pameran tersebut dan dengan kaedah itu diharap dapat mengembalikan semangat dan sikap menghargai institusi kesultanan sebagai lambang kedaulatan dan keutamaan negeri.

Baginda Sultan bertitah bahawa Baginda sangat berdukacita dengan sikap generasi muda terutama yang dilahirkan selepas merdeka yang tidak mengambil kira tentang `Sistem Beraja’. Mereka tidak peduli tentang pahit maung dan pengorbanan yang pernah dialami oleh raja-raja yang memerintah sejak zaman Kerajaan Melayu dulu hinggalah datangnya penjajah dan membawa kepada kemerdekaan negeri dan negara. Menurut Baginda lagi, kelunturan semangat mencintai Sistem Beraja dan kurangnya pengetahuan tentang sistem tersebut adalah kerana sikap masyarakat sekarang yang lebih mementingkan kebendaan, beza membezakan dan berlumba-lumba ke arah kepentingan diri sendiri, dan apabila keadaan seumpama itu berlaku berlarutan dan tidak dibendung dengan segera, maka timbulkan perasaan tidak puas hati dan kurang mencintai Sistem Beraja di negara ini.

Sesungguhnya dengan adanya pameran Sejarah Jubli Perak pemerintahan Sultan Selangor diharap akan menambahkan pengetahuan orang ramai mengenai Sistem Beraja terutama di kalangan generasi muda yang memerlukan banyak pendedahan mengenainya selaras dengan arus pembangunan yang semakin mencabar.

Sumber : Arkib Negara