Pada hari ini dalam tahun 1898, selepas memerintah Negeri Selangor lebih kurang 39 tahun, Paduka Sri Sultan Abdul Samad Ibni Ungku Panglima Besar Raja Abdullah Ibni Almarhum Sultan Ibrahim yang berusia lebih kurang 93 tahun telah mangkat pada jam 10.45 pagi di Istana Jugra.

Jenazah Almarhum Sultan Selangor yang ke 4 ini telah dimakamkan di Bukit Jugra, Kuala Langat. Paduka Sri Sultan Abdul Samad menaiki takhta kerajaan Negeri Selangor selepas kemangkatan ayah saudara dan mertuanya iaitu Sultan Muhammad, Sultan Selangor yang ke 3 pada tahun 1857. Sebelum itu baginda adalah Tengku Panglima Raja dan berkuasa di Daerah Langat. Perlantikan baginda sebagai Sultan adalah hasil dari desakan saraan Raja Jumaat dari Lukut yang mendapat persetujuan dari 4 orang pembesar negeri yang merupakan Ketua Lembaga Pusaka Selangor iaitu Datuk Engku Klang, Datuk Penggawa, Datuk Aru, Datuk Pengawa Ulu Langat.

Raja Muda Mahmud, Putera gahara almarhum Sultan Muhammad pada masa itu adalah terlalu muda usianya untuk dijadikan Sultan. Zaman pemerintahan Baginda merupakan zaman pergolakan politik Negeri Selangor di mana telah berlakunya saudara merebut takhta kerajaan dan kawasan. Baginda telah melantik menantunya Tengku Dhiauddin atau dikenali sebagai Tunku Kudin menjadi ‘Wakil Mutlaknya’ memerintah Negeri Selangor. Kuasa Tunku Dhiauddin ini tidak diakui oleh pembesar-pembesar negeri terutama Raja Mahadi yang menganggapnya sebagai orang dagang. Dalam masa pemerintahannya juga, negeri Selangor yang kaya dengan hasil buminya telah menarik orang-orang Cina untuk membuka lombong bijih, bersama-sama dengan orang Melayu. Perusahaan bijih ini telah menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar pemiagaan peperangan yang penting.

Pada zaman itu juga, Kerajaan Inggeris telah campurtangan di dalam perkara siasah Negeri Selangor dan telah meletakkan seorang Residen British iaitu J.G. Davidson di negeri itu. Kemangkatan Sultan Abdul Samad pada hari ini dalam tahun 1898, telah digantikan oleh cucundanya Raja Muda Sulaiman ibni Almarhum Raja Muda Musa sebagai Sultan Selangor ke-V dengan gelaran Sultan Ala’uddin Suleiman Shah.

Jenazah baginda telah dimakamkan selepas upacara perisytiharan Sultan Selangor yang baru.