Pada hari ini dalam tahun 1981, Sultan Selangor telah merasmikan pembukaan Tugu Negeri Selangor sempena sambutan Hari Pahlawan. Tugu yang terletak di bandar baru Shah Alam dan berharga $2.6 juta itu telah mula dibina pada bulan September 1979 dan siap pada bulan Jun 1981.

Ia telah direka bentuk oleh seorang arkitek bumiputera Datuk Baharuddin Abu Kassim. Tugu ini juga dibina untuk memperingati jasa pahlawan-pahlawan Selangor yang telah berkorban nyawa mempertahankan kedaulatan negeri dan mempunyai unsur-unsur keislaman di dalam zaman Mogul. Tugu Negeri Selangor tidak menunjukkan patung atau apa bentuk lembaga-lembaga yang memegang senjata dan bendera. Ia hanyalah merupakan sebuah tugu yang dihiasi indah dengan pancuran air dalam sebuah taman. Ketinggian tugu tersebut adalah 120 kaki dan bahagian atasnya menghala ke pusat bandar.

Di kawasan tugu itu juga, terdapat padang perbarisan untuk lintas hormat atau kawad. Keseluruhan daratan dibina setinggi tiga kaki, di tengah-tengahnya disediakan tempat memberi hormat diraja. Sesungguhnya, Tugu Negeri Selangor yang dibina berhampiran dengan Ibu Pejabat Kerajaan Selangor itu telah menjadi salah satu tempat tumpuan pelawat-pelawat ke Shah Alam.

Sumber : Arkib Negara